
World Athletics Marathon Championships bakal mengalami satu perubahan besar dalam mencorak sukan larian jarak jauh apabila badan induk olahraga dunia memperkenalkan kejohanan maraton global yang berdiri sendiri bermula tahun 2030.
Dunia larian jarak jauh bakal memasuki fasa baharu apabila World Athletics mengumumkan satu pelan strategik besar yang akan mengubah landskap maraton global bermula tahun 2030.
Menerusi pengumuman tersebut, maraton tidak lagi akan menjadi sebahagian daripada World Athletics Championships seperti yang kita kenali hari ini.
Sebaliknya, disiplin ini akan mempunyai kejohanan tersendiri, dikenali sebagai World Athletics Marathon Championships.
Buat masa ini, acara maraton masih akan kekal dalam World Athletics Championships pada edisi 2027 dan 2029. Namun bermula 2030, ia akan dipisahkan sepenuhnya dan berdiri sebagai kejohanan global tersendiri.
World Athletics Marathon Championships Angkat Status Maraton
Langkah ini dilihat sebagai usaha untuk mengangkat status maraton ke tahap lebih tinggi, selari dengan popularitinya sebagai antara acara larian paling ikonik di dunia.
Kejohanan maraton baharu ini akan dianjurkan setiap tahun, dengan kategori lelaki dan wanita diadakan secara selang seli, mengekalkan frekuensi sedia ada dalam format yang lebih fokus.

Menariknya, World Athletics turut mengesahkan bahawa Athens sedang dipertimbangkan sebagai tuan rumah edisi pertama pada tahun 2030, satu pilihan yang cukup simbolik memandangkan kota tersebut merupakan tempat kelahiran maraton.
Athens Jadi Simbol Permulaan Era Baharu
Presiden World Athletics, Sebastian Coe menyifatkan inisiatif ini sebagai peluang untuk mencipta platform global khusus bagi acara maraton.
“Kami amat teruja untuk meneroka kemungkinan menganjurkan Kejohanan Maraton Dunia secara berasingan bersama Athens, lokasi asal kepada disiplin ikonik ini.
“Hanya beberapa acara sukan di dunia yang membawa makna dan nilai seperti maraton. Ia bukan sahaja ujian prestasi tertinggi, tetapi juga simbol penyertaan massa. Ini adalah peluang untuk mewujudkan satu perayaan global khas untuk maraton, dalam suasana yang menghormati sejarahnya sambil membentuk masa depan komuniti pelari dunia,” katanya.
Dalam masa sama, Ketua Pegawai Eksekutif World Athletics, Jon Ridgeon turut menegaskan kepentingan Athens dalam naratif maraton global.
“Maraton adalah antara acara paling universal dalam sukan, dan Athens adalah rumah spiritualnya. Meneroka kemungkinan kejohanan berasingan di sini mencerminkan cita cita kami untuk membawa pentas terbesar dunia kembali ke tempat asalnya,” jelasnya.
Kesan World Athletics Marathon Championships Kepada Dunia Larian
Selain pengumuman kejohanan baharu, World Athletics turut menjalin kerjasama strategik bersama Persekutuan Olahraga Greece (SEGAS) bagi menaikkan status Athens Marathon The Authentic ke tahap tertinggi dalam kalendar larian global.
Perlumbaan tersebut kini telah dianugerahkan status Elite Label, satu pengiktirafan penting yang menandakan kualiti dan potensi tinggi acara tersebut di peringkat antarabangsa.

Lebih menarik, Athens menyasarkan untuk mencapai Platinum Label menjelang 2029, sekali gus meletakkannya sebaris dengan maraton elit dunia seperti Boston, London dan Berlin.
Presiden SEGAS, Sofia Sakorafa menyifatkan langkah ini sebagai permulaan kepada transformasi besar dalam pengalaman larian di Athens.
“Hari ini, kami mengajak dunia untuk menyertai perjalanan ini. Ia bukan sekadar perlumbaan, tetapi komitmen terhadap kecemerlangan. Kami sedang membina pengalaman bertaraf dunia yang menghormati sejarah laluan maraton ini,” katanya.
Pelaburan Besar dan Masa Depan Maraton Global
Sebagai sebahagian daripada pelan jangka panjang, pelaburan besar turut dirancang untuk memodenkan laluan maraton asal yang berusia lebih 2,500 tahun tanpa mengorbankan nilai sejarahnya.
Gabenor Attica, Nikos Hardalias turut menegaskan komitmen untuk menjadikan Athens sebagai ibu kota global maraton.
“Komitmen kami jelas, untuk mengembalikan Attica bukan sahaja sebagai tempat kelahiran maraton, tetapi sebagai pusat globalnya,” katanya.
Langkah ini secara tidak langsung mencerminkan perubahan besar dalam dunia larian, di mana maraton kini bukan sekadar acara elit, tetapi fenomena global yang menggabungkan prestasi dan penyertaan massa.
Dengan pengenalan World Athletics Marathon Championships, masa depan sukan ini dilihat semakin fokus, lebih eksklusif dan berpotensi besar untuk berkembang ke tahap yang lebih tinggi.
BACA: 10 Petanda Anda Kini Bukan Lagi Pelari Beginner
Dan bagi komuniti pelari, ini bukan sekadar perubahan format. Ini adalah permulaan kepada era baharu dalam dunia maraton global yang lebih tersusun, kompetitif dan berprestij.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.
Sumber: World Athletics
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang




