
Foto: Sinar Harian
World #QuranHour 2026 bakal kembali dianjurkan tahun ini dengan membawa mesej yang lebih mendalam mengenai pembinaan jiwa dan kekuatan dalaman sebagai asas kepada perubahan masyarakat.
Kempen World #QuranHour 2026 anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) itu akan berlangsung buat kali ke-11 dengan tema “Membentuk Manusia Sebelum Membina Dunia”, berteraskan Surah al-Muzzammil, surah ke-73 dalam al-Quran yang mengandungi 20 ayat.
Taklimat sinergi media bagi program tersebut telah berlangsung pada 25 Februari 2026 bersamaan 7 Ramadan 1447H di Studio My #Qurantime, Karangkraf Sdn Bhd dengan penglibatan pelbagai rakan media dan rakan strategik.
Menurut penganjur, Surah al-Muzzammil menyeru manusia untuk bangkit di malam hari sebagai proses pembinaan dalaman sebelum memikul amanah kehidupan pada siang hari.
Pendekatan ini menekankan bahawa perubahan besar dalam masyarakat bermula dengan kekuatan jiwa dan spiritual, bukan semata mata strategi luaran.
Penganjuran perdana World #QuranHour 2026 dijadualkan berlangsung di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak dan buat julung kalinya akan dilaksanakan dalam Bahasa Inggeris bagi meluaskan penyertaan komuniti antarabangsa serta wakil diplomatik asing.
Sehingga kini, kempen #QuranHour yang merangkumi empat program utama tahunan iaitu World #QuranHour, Arafah #QuranHour, Malaysia #QuranHour dan World #QuranConvention telah mencatatkan 8.5 bilion capaian di media sosial.
Program tersebut turut dilaksanakan di lebih 5,000 lokasi di seluruh Malaysia serta 313 lokasi di 76 negara, sekali gus melibatkan penyertaan komuniti antarabangsa dan rakyat Malaysia di luar negara.
Pada tahun lalu, World #QuranHour memberi fokus kepada Surah al-Saff yang membawa kepada pembentukan Gerakan #Saff12, iaitu satu pendekatan yang merangkumi 12 sektor utama termasuk kesejahteraan dan kesihatan, pendidikan, pembangunan karakter, keusahawanan dan halal, pemerkasaan wanita, pembangunan belia, teknologi serta kewangan digital.
Gerakan ini mengetengahkan konsep From Revelation to Innovation yang membawa maksud kajian al-Quran perlu diterjemahkan kepada tindakan dan penyelesaian dalam pelbagai bidang kehidupan.
Melalui World #QuranHour 2026, naratif pembangunan masyarakat ini diteruskan dengan memberi tumpuan kepada kekuatan spiritual sebagai asas kepada gerakan perubahan yang lebih luas.
Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusof, menjelaskan bahawa pendekatan ini amat relevan dengan keadaan masyarakat masa kini yang dilihat kuat dari segi luaran tetapi berdepan tekanan mental dan spiritual akibat cabaran kehidupan moden.
“Al-Quran tidak mengajar manusia untuk sekadar menjadi kuat, tetapi bagaimana kekuatan itu dibina. Qiamullail membentuk disiplin rohani, bacaan tartil menajamkan kesedaran dan fikrah, manakala penyerahan kepada Allah melahirkan ketenangan.
“Inilah teras World #QuranHour 2026, membina manusia yang teguh sebelum menggerakkan masyarakat. Tanpa asas spiritual, gerakan dan struktur hanya akan tinggal sebagai slogan,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa kejayaan World #QuranHour digerakkan melalui kerjasama pelbagai pihak termasuk agensi media, kerajaan, korporat, NGO dan institusi pendidikan.
World #QuranHour 2026 juga diserikan dengan keberangkatan Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhun Sultan Haji Ahmad Shah diringi Duli Yang Teramat Mulia Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti AlMarhum Sultan Iskandar Al-Haj yang juga merupakan Ketua Perlembagaan UIAM.
Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin juga turut akan hadir ke majlis ilmu yang cukup dinantikan ini.
Kehadiran tetamu DiRaja ini dilihat sebagai simbol kesinambungan peranan institusi Raja Raja Melayu sebagai payung kepada kesejahteraan negara serta ketua agama Islam di negeri negeri.
Ia juga mencerminkan sokongan berterusan terhadap usaha memperkasakan budaya membaca, memahami dan mentadabbur al-Quran dalam masyarakat.
Sementara itu, Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Datuk Hussamuddin Yaacub berharap gelombang kesedaran terhadap al-Quran dapat dihidupkan semula melalui gerakan World #QuranHour 2026.
Menurut beliau, kempen ini bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan membaca, memahami dan mengamalkan ajaran al-Quran dalam kehidupan seharian.
“Di awal penganjuran, komitmen dan sokongan yang kami terima amat luar biasa. Maknanya kita berjaya gerakan dan saya rasa tahun pertama hampir 70 negara terlibat.
“Kami dapat sokongan daripada kerajaan masa itu. Wisma Putra gerakkan jaringannya di seluruh dunia untuk mengadakan World #QuranHour serentak dengan kami.
“Bagaimanapun perkara tersebut dilihat semakin perlahan dan kita harapkan semua pihak dapat bergabung untuk kembalikan gelombang tersebut,” katanya.
Tambah beliau, mulai tahun ini usaha menghidupkan semula gelombang tersebut boleh dilakukan dengan melaksanakan kempen secara serentak menggunakan naratif yang sama.
“Kita buat kerana ALLAH, kita kena selamatkan anak cucu. Perubahan mesti bermula dari diri sendiri dan gunakan segala kekuatan yang ada untuk mengubah persekitaran.
“Kita kena bertanggungjawab kembalikan kekuatan dan momentum World #QuranHour, naikkan semula kesedaran orang ramai supaya sekurang kurangnya mereka membaca al-Quran sejam satu hari. Sama sama kita berhenti sekejap untuk berinteraksi dengan al-Quran.
“Dulu seluruh dunia buat serentak tetapi sekarang macam tidak banyak sangat. Jadi, ini tanggungjawab kita,” jelasnya.
BACA: Tatu Di Badan, Sah Tak Jadi Suami? Ini Hukum Dalam Islam
World #QuranHour 2026 meletakkan Surah al-Muzzammil sebagai pelengkap kepada naratif #Saff12 dengan penekanan kepada pembinaan diri dan kekuatan spiritual sebagai asas perubahan.
Pendekatan ini menegaskan bahawa dunia yang lebih beradab dan penyayang hanya dapat dibina apabila manusia terlebih dahulu dibentuk melalui panduan al-Quran.
Surah al-Muzzammil juga dilihat sebagai manhaj pembinaan diri sepanjang tahun — menguatkan jiwa sebelum menggerakkan saf dan menghidupkan malam agar siang tidak rebah.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.