
Xiaomi EV sekali lagi mencipta sejarah dalam industri automotif apabila berjaya melengkapkan pusingan rasmi pertama dunia di litar Nürburgring Nordschleife menggunakan sistem pemanduan autonomi sepenuhnya tanpa seorang pun pemandu berada di dalam kenderaan.
Pencapaian bersejarah itu dilakukan menggunakan Xiaomi YU7 GT yang dilengkapi Track Package, dengan merekodkan masa 10 minit 29.483 saat bagi melengkapkan keseluruhan litar sepanjang 20.8 kilometer. Ujian tersebut turut disahkan mengikut prosedur pemasaan rasmi Nürburgring.
Susulan kejayaan berkenaan, Nürburgring turut memperkenalkan kategori rasmi baharu dikenali sebagai Autonomous Driving (Electric Vehicles), menjadikan Xiaomi pengeluar pertama yang mencatat rekod dalam kategori tersebut.
Nürburgring Nordschleife sering dianggap sebagai antara litar perlumbaan paling mencabar di dunia.
Digelar “Green Hell”, litar ini mempunyai 73 selekoh, perubahan ketinggian hampir 300 meter serta permukaan jalan yang sentiasa berubah dari segi tahap cengkaman.
Sepanjang sesi ujian, Xiaomi YU7 GT berjaya mengendalikan semua aspek pemanduan secara autonomi termasuk membrek, memecut, mengambil selekoh dan menyesuaikan diri dengan perubahan keadaan jalan tanpa sebarang campur tangan manusia.
Kejayaan ini bukan sahaja menguji kecerdasan sistem pemanduan autonomi Xiaomi, malah membuktikan keupayaannya beroperasi dalam situasi yang jauh lebih mencabar berbanding pemanduan harian biasa.
Menurut Xiaomi EV, pencapaian tersebut membuktikan kemampuan sistem Xiaomi HAD (Human Assisted Driving) yang dibangunkan syarikat itu sejak diperkenalkan pada tahun 2024.
Pada Mac 2026, Xiaomi turut memperkenalkan platform generasi baharu yang menggunakan seni bina Xiaomi XLA bersama model asas MiMo-Embodied, sekali gus meningkatkan keupayaan sistem memahami keadaan persekitaran, mengenal pasti pengguna jalan raya lain serta membuat keputusan pemanduan secara lebih pintar.
Berbeza dengan sistem terdahulu yang lebih bergantung kepada peniruan tingkah laku pemandu manusia, platform baharu ini dibangunkan bagi membolehkan kenderaan memahami situasi jalan raya dengan lebih mendalam sebelum membuat keputusan sendiri.
Sistem pemanduan autonomi Xiaomi dibina menggunakan seni bina hujung ke hujung (end-to-end architecture) yang dipadankan dengan model dinamik kenderaan.
Teknologi tersebut membolehkan sistem memantau keadaan kenderaan serta permukaan jalan secara masa nyata sebelum membuat ramalan dan mengawal stereng, sistem brek serta penghantaran kuasa secara berterusan.
Pendekatan ini membantu memastikan kestabilan kenderaan walaupun ketika melalui selekoh berkelajuan tinggi atau perubahan permukaan jalan yang mendadak.
Menurut Xiaomi EV, projek di Nürburgring bukan sekadar bertujuan mencipta rekod.
Sebaliknya, ia menjadi platform penting untuk mengumpul data sebenar dalam keadaan pemanduan ekstrem.
Maklumat tersebut akan digunakan bagi mempertingkatkan model dinamik kenderaan, strategi kawalan serta sistem keselamatan berlapis yang dibangunkan syarikat itu.
Semakin banyak data diperoleh daripada situasi sebenar, semakin tepat sistem kecerdasan buatan dapat membuat keputusan ketika berdepan pelbagai senario pemanduan.
BACA: Ronaldo Tutup Mulut Pengkritik, Kini Jadi Pemain Pertama Jaringkan Gol Di Enam Edisi Piala Dunia
Kejayaan di Nürburgring turut memperlihatkan kesungguhan Xiaomi dalam mengembangkan teknologi kenderaan elektrik pintar.
Sejak memasuki industri automotif, syarikat itu memberi tumpuan kepada pembangunan ekosistem yang menggabungkan kecerdasan buatan, kenderaan elektrik dan teknologi pintar dalam satu platform.
Menurut Xiaomi, syarikat akan terus memperkukuhkan pembangunan teknologi pemanduan autonomi melalui ujian kejuruteraan yang ketat dan situasi dunia sebenar.
Matlamat akhirnya ialah menawarkan pengalaman mobiliti yang lebih selamat, lebih pintar dan lebih cekap kepada pengguna di seluruh dunia.
Dengan kejayaan mencatat pusingan rasmi pertama tanpa pemandu di Nürburgring Nordschleife, Xiaomi bukan sahaja melakar sejarah baharu untuk syarikat itu sendiri, malah membuka lembaran baharu dalam perkembangan teknologi pemanduan autonomi global.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.