
200,000 tempahan dalam 3 minit. Ya, anda tak salah baca. Xiaomi, jenama yang selama ini terkenal dengan smartphone dan peranti pintar, kini menggegarkan dunia automotif dengan pelancaran SUV elektrik pertama mereka iaitu Xiaomi YU7.
Dalam masa kurang dari sejam, tempahan mencecah 289,000 unit. Tak mustahil, sebab apa yang ditawarkan bukan setakat EV biasa tetapi kombinasi kuasa, teknologi dan harga yang betul-betul buat ramai pengeluar lain tak senang duduk.
Berita ini disahkan oleh Xiaomi menerusi satu hantaran di Weibo dengan berkata, “Xiaomi YU7 telah menjual lebih 200,000 unit dalam 3 minit. Terima kasih atas sokongan anda.”
Ini diikuti dengan hantaran lain yang menyatakan bahawa SUV terkini itu telah menerima hampir 300,000 tempahan dalam jam pertama dengan berkongsi, “Xiaomi YU7 telah menjual lebih 289,000 unit dalam satu jam.”
Xiaomi YU7 tampil dengan tiga varian berbeza dengan setiap satunya direka untuk memenuhi keperluan pengguna yang berbeza.
Sama ada anda mencari EV harian yang efisien, pemanduan semua cuaca dengan AWD, atau prestasi maksimum yang menyaingi kereta sport moden, YU7 memberikan pilihan yang sesuai dengan gaya pemanduan dan keutamaan teknologi anda.
| Varian | Kuasa | Tork | 0-100km/j | Jarak (CLTC) | Harga (anggaran) |
|---|---|---|---|---|---|
| Standard RWD | 235kW | 528Nm | — | 835km | ~RM170k |
| Pro AWD | 365kW | 690Nm | — | 800km | ~RM188k |
| Max AWD | 508kW | 866Nm | 3.23s | 760km | ~RM220k |
Xiaomi YU7 Max AWD dilengkapi dengan dua motor dan boleh mengalahkan banyak model performance EV sedia ada.
Tidak ramai pengeluar EV boleh bangga dengan keupayaan pengecasan sepantas ini. Xiaomi YU7 hadir dengan sistem pengecasan ultra pantas yang membolehkan jarak sehingga 620km ditambah dalam hanya 12 minit. Ini dimungkinkan oleh penggunaan teknologi pengecasan tinggi serta bateri besar bersaiz 96.3 kWh ke atas.
Dalam dunia sebenar, ini bermakna anda boleh berhenti sekejap di R&R untuk secawan kopi dan bila kembali ke kereta, ia sudah bersedia untuk dibawa ke destinasi seterusnya tanpa rasa gelisah tentang jarak atau masa pengecasan.
INFOTAINMEN & AI
Bahagian dalam YU7 menampilkan skrin end-to-end HyperVision yang memaparkan semua informasi penting dalam satu baris paparan digital. Ini memberikan pengalaman visual yang bersih dan moden, sekaligus membantu pemandu memfokus pada maklumat utama tanpa gangguan.
Lebih menarik, sistem infotainmen YU7 mempunyai integrasi penuh dengan peranti rumah pintar Xiaomi.
Ini bermakna anda boleh mengawal peralatan seperti penghawa dingin rumah terus dari dalam kereta. Ia bukan sekadar kereta pintar, tapi sebahagian daripada ekosistem pintar harian anda.
YU7 juga dikuasakan dengan cip NVIDIA Thor U yang direka khusus untuk keupayaan pemanduan autonomi.
Digabungkan dengan teknologi radar 4D, kenderaan ini mampu mengesan persekitaran secara lebih tepat, memberikan bantuan pemanduan yang selamat dan efisien dalam pelbagai situasi lalu lintas.
BACA: Jeff Bezos Belanja Kira-Kira RM236 Juta Untuk Majlis Perkahwinan
Tesla Model Y selama ini memegang takhta EV global, tapi YU7 mungkin ‘Tesla Killer’ sebenar berdasarkan beberapa faktor:
Dengan permintaan luar biasa, Xiaomi menghantar satu mesej jelas. Mereka bukan sahaja memasuki industri EV tetapi mereka masuk untuk menjadi yang terbaik!
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.