Murah rezeki! Semua orang mahukan rezeki murah, terutamanya wang ringgit dan harta benda. Murah rezeki bermaksud rezeki yang senang diperoleh dan cukup buat menampung keperluan selepas berusaha bersungguh-sungguh dengan jalan halal. Rezeki tidak hanya dalam bentuk wang ringgit dan harta benda tetapi juga dalam bentuk kemakmuran termasuk kesihatan yang baik.

Dalam Islam, Allah dan Rasulullah telah memberikan banyak panduan kepada umatnya cara beroleh rezeki berkat dan murah rezeki.  Panduannya terkandung dalam al-Quran dan sunah, terpulang pada kita untuk mengkaji dan menghayatinya.

10 Panduan Agar Murah Rezeki, Ingat Rezeki Bukan Hanya Wang Semata!

 

1)Banyak dan selalu taubat

Taubat bermakna meninggalkan segala dosa, wajib ke atas setiap Muslim. Ini termasuklah meninggalkan dosa, menyesal kerana perlakuannya, berazam tidak mahu mengulanginya lagi. Tidak cukup dengan itu, kita wajib memulangkan segala yang hak jika berkaitan dengan hak manusia lain. Taubat bukan sekadar di mulut tapi mesti dihayati. Sayidina Ali pernah menyuruh seorang sahabat mengulang istighfarnya semula kerana istighfar yang dibuat sebelum itu dalam tergesa dan tiada penghayatan.

2) Takutkan Allah

Kita wajib memelihara diri daripada perbuatan yang mengakibatkan dosa. Dengan kata lain, mesti meninggalkan larangan Allah. Gagal mengawal diri bermakna akan terkeluar dari kalangan orang yang bertakwa. Bagaimana mahu tanamkan rasa takut pada Allah? Antaranya dengan sentiasa merasakan Allah melihat segala yang kita lakukan, yakin bahawa Allah maha mengetahui, merasakan malaikat sentiasa mencatat perbuatan kita dan bekerja bukan kerana takut ketua atau majikan tetapi kerana menganggap itu ibadah kepada Allah.

3) Sentiasa mengingati Allah

Mengingati Allah boleh sahaja dalam pelbagai bentuk amalan. Yang paling utama dengan menjadikan semua amalan ikhlas kerana Allah dan menepati syarak. Dalam Islam, amalan mengingati Allah lebih dilaksanakan dalam bentuk lisan. Ini termasuk zikir seperti al-Basmallah (Bismillahirahmanirrahim) atau beristighfar (Astaghfirullahalazim). Paling mudah adalah dengan mengamalkan Bismillah setiap kali memulakan sesuatu daripada hal sekecilnya sehingga urusan yang besar-besar.

4) Selepas berusaha, maka bertawakallah

Banyak kisah teladan yang dapat kita hayati berkaitan kisah tawakal. Isteri Nabi Ibrahim yang juga bonda Nabi Ismail, Hajar hanya mampu bertawakal ketika ditinggalkan bersama anaknya, Ismail, di padang pasir tandus.  Dia tidak membantah kerana itulah perintah Allah kepada suaminya dan diyakini oleh suami bahawa Allah akan memelihara mereka berdua.

IKLAN

Ketika anaknya menangis dahaga selepas bekalan mereka habis, dia berlari antara Safa dan Marwah kalau-kalau terjumpa manusia supaya dapat meminta sedikit air. Sehingga akhirnya Allah turunkan rezeki air yang terpancar di bawah tapak kaki anaknya.

Rezeki itu melimpah-ruah sehingga menjadi telaga zamzam yang kita nikmati sehingga kini, malah lokasinya berkembang sebagai kota Mekah yang dikunjungi jutaan umat Islam saban tahun. Elakkan tawakal yang salah, iaitu mengharapkan bantuan semata tapi tak mahu berusaha langsung. Rezeki tidak jatuh dari langit begitu sahaja kecuali jika kita berusaha mendapatkannya.

5) Beribadat dengan sebenar-benarnya

Lakukan ibadat secara konsisten dan ikhlas kerana Allah. Walaupun bersungguh lakukan ibadah tapi tidak bermakna kita boleh mengabaikan aspek mencari rezeki. Harus seimbang kedua-duanya, malah menganggap bekerja itu juga satu ibadat.  Rasulullah bersabda yang diriwayatkan Ma’qal b Yasar, “Allah berfirman, wahai manusia, beribadatlah kepada-Ku dengan bersungguh-sungguh agar Aku penuhi hatimu dengan rasa mencukupi (kaya jiwa) dan Aku penuhi tanganmu dengan rezeki. Wahai manusia, janganlah jauhi Aku jika tidak akan Aku penuhi hatimu dengan kemiskinan dan aku penuhi tanganmu dengan kesibukan.” (Riwayat Abu Hakim)

6) Menunaikan rukun Islam kelima

Haji adalah rukun Islam kelima, yang diwajibkan kepada orang yang berkemampuan. Memang ramai yang bertangguh untuk menunaikan haji walaupun diri berkemampuan atas alasan masih muda dan beranggapan biarlah buat haji apabila diri sudah tua. Hakikatnya ramai yang kurang sedar akan janji Allah betapa ibadat haji itu sebenarnya akan membuka lebih pintu rezeki buat kita.

IKLAN

Andainya belum berkemampuan, pasanglah niat mulai sekarang, insya-Allah, dimurahkan rezeki untuk sampai ke sana. Jika belum berpeluang menunaikan haji kerana belum tiba giliran, kita masih boleh menunaikan umrah bila-bila masa sahaja.

7) Hubungkan silaturahim

Silaturahim yang dimaksudkan adalah dalam kalangan kaum keluarga berhampiran. Silaturahim merujuk kepada amalan berbuat baik kepada kaum kerabat yang mempunyai hubungan kekeluargaan  atau perkahwinan.   Bersilaturahim dalam ruang lingkup amat luas, sama ada dari segi membantu harta, bersikap baik atau mendoakan kesejahteraan mereka.

Banyak hadis yang mengaitkan mengenai menjaga silaturahim dengan murahnya rezeki. Antaranya yang diriwayatkan Abu Hurairah bahawa Rasulullah bersabda, “Sesiapa yang ingin  diperluaskan  rezekinya, dipanjangkan umurnya, maka hendaklah dia menjalinkan silaturahim.” (Riwayat Bukhari)

Islam juga tidak melarang kita berurusan dengan kalangan ahli maksiat, sama seperti Islam tidak melarang kita daripada berhubungan dengan orang bukan Islam. Bersilaturahim dengan kalangan ahli maksiat bukanlah suatu kesalahan tetapi kita harus memastikan agar pergaulan itu tidak sama sekali mempengaruhi kita agar menjadi ahli maksiat seperti mereka.

IKLAN

8) Sedekah secara konsisten

Allah berfirman dalam surah Saba’: 39, “Dan apa ahaja yang kamu dermakan, maka Allah akan menggantikannya dan Dialah juga sebaik-baik Pemberi rezeki.” Tidak usah bimbang jika harta yang susah payah kita cari diberikan kepada orang lain. Perasaan takut miskin itu hanya tipu daya syaitan semata-mata. Sebaliknya jika kita yakin seperti yang dijanjikan Allah dan diceritakan Rasulullah seperti ini, pasti rasa bimbang itu akan tersingkir pergi.

9) Membantu fakir miskin

Sama ada kita sedar atau tidak, Allah akan menolong kita apabila kita menolong orang yang memerlukan. Rasulullah sendiri adalah seorang yang amat rapat dengan orang miskin. Banyak cara yang boleh kita laksanakan untuk membantu orang miskin, antaranya dengan mendampingi dan menziarahi mereka, memperuntukkan bantuan bulanan yang termampu buat mereka, selain berdoa agar kita terhindar daripada ditimpakan ujian seperti mereka.

10) Berhijrah mencari rezeki

Rasulullah berhijrah dari Mekah ke Madinah dalam usaha untuk mengembangkan dakwah, selain memperkukuhkan ekonomi orang Islam. Sahabat Rasulullah yang kebanyakannya adalah individu kaya, juga berhijrah ke Madinah tanpa rasa bimbang dengan nasib mereka di tempat baru.

Sahabat yang terkenal, Abd Rahman Auf seorang pedagang kaya meminta ditunjukkan pasar agar dia boleh berniaga di Madinah. Hasilnya, dia berjaya mengembalikan kekayaan yang ditinggalkan di Mekah dan itu dapat digunakan untuk membantu perjuangan orang Islam di Madinah.

Selain itu, berdasarkan sejarah juga, para pedagang dari Arab datang ke Asia untuk berniaga selain menggunakan peluang untuk berdakwah. Kedatangan mereka untuk meneroka peluang yang ada, selalunya berbekalkan tawakal dan natijahnya mereka berjaya membina empayar niaga tersendiri.

 

Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.

KLIK DI SEENI