2 Kluster Terkini COVID-19 Berkait Dengan Himpunan Besar-besaran Di Kuching & Bandar Baru Bangi – KKM

Share

Dalam satu sidang media yang diadakan semalam berkaitan perkembangan terkini COVID-19 di Malaysia, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mendedahkan terdapat dua kluster COVID-19 yang berkait rapat dengan perhimpunan besar-besaran, selain himpunan di Sri Petaling.

Seperti yang dimaklumkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum ini, perhimpunan besar-besaran sememangnya memberi impak secara mendadak dalam peningkatan kes-kes COVID-19 di Malaysia.

Mengikut hasil siasatan terhadap beberapa kes dan kluster COVID-19 di Malaysia, KKM ingin memaklumkan mengenai dua kluster COVID-19 didapati berkait rapat dengan perhimpunan besar-besaran.

Dus kluster terbaharu itu terdiri daripada:

1. Persidangan keagamaan di gereja selama 3 hari di Kuching, Sarawak

Sumber: Petikan dari Sidang Media KKM

– 83 orang telah disahkan positif COVID-19
– 2 kematian (kes 358 dan 2,471)
– 5 kritikal dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU)
– 50 kes sedang dirawat di hospital
– 25 bawah pemerhatian di pusat kuarantin
– 1 kes discaj dan telah pulih sepenuhnya

2. Majlis perkahwinan di Bandar Baru Bangi, Selangor yang telah membentuk jangkitan sehingga generasi ke-5.

Sumber: Petikan dari Sidang Media KKM

– Sehingga 6 April 2020, 88 kes disahkan positif COVID-19
– 1 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU)
– Setakat ini, tiada kes kematian dilaporkan berkaitan dengan kluster ini

Kedua-dua kluster ini melibatkan jangkitan sehingga generasi kelima.

Susulan daripada itu, tindakan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai 18 Mac 2020 adalah bertepatan sekali bagi memutuskan rantaian penularan virus COVID-19 di kalangan masyarakat.

Jangan stigmakan mereka

Walau bagaimanapun, setiap individu perlu memainkan peranan masing-masing untuk membantu kerajaan dalam memastikan usaha mengekang penularan jangkitan COVID-19 ini berjaya.

Masyarakat juga diseru untuk mengelakkan daripada mempersalahkan atau mendiskriminasikan mana-mana pesakit atau kumpulan yang dikaitkan dengan kluster jangkitan COVID-19. Janganlah kita stigmakan mereka.

Apa yang penting adalah kita membantu mengesan, menguji, mengasing, merawat jangkitan COVID-19 di kalangan mereka yang terlibat dan juga keluarga mereka dan kontak rapat mereka.

IKLAN