Hiburan

Ada Aras Tersendiri, Remy Ishak Tidak Tergugat Dengan Bakat Baharu

Share

Walaupun semakin ramai bakat-bakat baharu yang muncul mewarnai industri seni tanah air, sekalipun tidak pernah timbu perasan tergugat dalam diri pelakon Remy Ishak yang kini berusia 41 tahun.

Menerusi laporan Kosmo, Remy beranggapan yang dia dan bakat-bakat baharu masing-masing berada dalam kelas yang berbeza.

“Saya melihat situasi ini seperti permainan bola sepak; ada Liga Perdana dan ada Liga Super. Jadi, sebenarnya, kami berada dalam liga yang berbeza. Tidak ada keperluan untuk bersaing,” jelas Remy.

Tambahnya lagi, kehadiran generasi baharu adalah satu proses semula jadi dalam industri seni, di mana bakat baharu akan menggantikan yang lama. “Saya pun melalui proses yang sama dahulu, jadi tiada apa yang perlu dirisaukan,” katanya.

Remy juga mengakui bahawa pelakon-pelakon muda hari ini layak menerima bayaran yang tinggi kerana permintaan terhadap mereka amat tinggi dari kalangan penonton.

“Nama-nama seperti Mierul Aiman, Nadhir Nasar, dan Amir Ahnaf memang layak menerima bayaran tinggi kerana zaman sekarang adalah zaman mereka. Saya pula berada pada level saya sendiri, mungkin lebih kepada filem, platform penstriman, atau OTT (over the top) sekarang,” jelasnya.

Remy turut berkongsi pandangannya mengenai kerjayanya di masa hadapan. Menurutnya, tidak mungkin dia akan terus memegang watak hero hingga umur 50 tahun.

Dikenali menerusi drama “Lelaki Kiriman Tuhan,” Remy belum merancang untuk menamatkan kerjayanya sebagai pelakon. “Masih banyak watak yang saya ingin lakonkan. Saya pernah cuba keluar dari bidang seni dan melakukan perkara lain, tetapi tidak boleh kerana sudah terlalu seronok berlakon. Apabila sudah terjun ke dunia hiburan, memang sukar untuk berhenti,” ujarnya.

Dengan semangat yang masih membara, Remy Ishak terus berusaha untuk memberikan yang terbaik dalam setiap lakonannya, menyumbang kepada perkembangan industri seni tanah air tanpa merasa tergugat oleh generasi baharu yang muncul.

Sumber: Kosmo!

BACA: Demi 200 Kitab Turath Ulama Alam Melayu, Pelajar Malaysia Di Mesir Berhabis Hampir RM20,000 Wang Simpanan

 

IKLAN