
“Ayah, sumber kekuatan dan inspirasi saya” – Amin Idris
Dalam dunia yang serba pantas dan penuh tekanan, lelaki yang benar-benar berjaya bukan hanya dinilai dari pencapaiannya di mata dunia, tetapi juga dari caranya mengurus tanggungjawab sebagai anak, suami, dan pemimpin dalam keluarga. Salah satu figura lelaki moden yang menjadi contoh teladan dalam hal ini adalah personaliti TV dan penceramah motivasi terkenal, Amin Idris.
Baru-baru ini, Amin Idris telah berkongsi detik paling menyentuh hati dalam hidupnya – saat beliau mengimamkan solat jenazah ayahandanya sendiri. Suatu pengalaman yang bukan sahaja menduga emosinya sebagai seorang anak, tetapi juga menguji kekuatan spiritual dan keteguhan jiwanya sebagai seorang lelaki.
Tidak hanya mengimamkan solat jenazah di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, Amin juga memberi baktinya menguruskan pengebumian Allahyarham di Tanah Perkuburan Bukit Kiara, Kuala Lumpur.
Dalam suasana sayu dan pilu, pengacara berusia 44 tahun itu kelihatan sebak namun kekal tenang.
KISAH KEBAIKAN ARWAH YANG TAK PERNAH DIKETAHUI
Lebih menyentuh hati apabila selepas pemergian ayahnya, Amin menerima pelbagai cerita daripada jiran-jiran, rakan-rakan dan kenalan yang berkongsi tentang kebaikan arwah semasa hidup. Ramai yang datang memberi penghormatan bukan sekadar kerana arwah seorang yang dikenali, tetapi kerana akhlaknya yang mulia.
Amalan bersedekah yang dilakukan Allahyarham seperti membantu orang dalam perniagaan dan insan memerlukan demi kelangsungan hidup hanya terdedah selepas menghembuskan nafas yang terakhir.
“Ayah saya juga yang bantu dia untuk memulakan kerjaya dan ayah saya juga banyak bersedekah kepada mereka dalam meneruskan kehidupan. Saya tak tahu.
“Tapi rupanya itulah amalan yang dia tak pernah cerita kepada orang. Tapi ia dikenang walaupun dia sudah meninggal dunia. Ini saya namakan sebagai kematian yang hidup,” kata Amin
Biarpun ibu bapanya bercerai, Amin mendedahkan Allahyarham tidak lupa tanggungjawab dalam membesarkan permata hati sebaik mungkin.
“Ayah saya ini dia berpisah dengan emak sejak kecil lagi. Tetapi satu contoh yang boleh tunjuk kepada masyarakat, walaupun dah berpisah dia tak putus menghantar nafkah. Menghantar duit kepada saya, adik-beradik dan juga emak untuk belajar serta meneruskan kehidupan,” kongsinya.
Malah sosok bapa juga menjadi inspirasi buat Amin dalam membina kerjaya. Biarpun sudah bersara dan uzur, bapanya tidak ketinggalan mencari rezeki sehingga ke akhir hayat.
Difahamkan, Allahyarham Idris merupakan salah seorang pengarah di DRB Hicom dan terdahulu bersara atas faktor kesihatan. Allahyarham juga pernah menjadi Ahli Lembaga Pengarah Bank Pembangunan Malaysia Berhad dari tahun 2010 hingga 2014.
Sumber: Instagram Berita AlHijrah, 2, Business Today
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.
Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
KLIK DI SEENI