Lelaki dan jam memang tak dapat dipisahkan. Malah Bagi MASKULIN, tak lengkap untuk seseorang lelaki untuk nampak segak jika tangannya polos tanpa jam tangan.
Dan pada masa kini, jam tangan bukan lagi berfungsi untuk memberitahu waktu sahaja. Ia lebih daripada itu dan mempunyai banyak fungsi-fungsi berbeza. Ada jam untuk majlis eksklusif, jam pintar, jam jogging dan juga jam berbentuk koleksi seperti G-Shock.
Bercakap tentang pemakaian jam pula, ada orang selesa memakai di tangan kiri dan ada juga yang lebih cenderung memakainya di tangan kanan.
Tapi jika ikutkan norma biasa ramai yang memakai jam di tangan kiri. Tapi apakah hukumnya dalam agama Islam kerana apa yang kita tahu tangan kiri lebih sinonim untuk kita gunakan membersihkan sesuatu yang kotor (basuh berak).
Inilah persoalan yang telah diajukan oleh seorang follower kepada Mufti Wilayah Pesekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri. Penjelasan ini turut dikongsi oleh beliau di laman sesawang rasminya iaitu www.muftiwp.gov.my.
Nak tahu apa hukum memakai jam di tangan kiri? Ikuti perkongsian Mufti Wilayah di bawah.
POIN PENTING ULASAN MUFTI WILAYAH:
Ya, Rasulullah memang suka mendahulukan bahagian kanan dalam urusan-urusan Baginda.
Sebagai contoh Rasulullah memulakan pemakaian, menyikat, makan dan minum dengan tangan kanan.
Ulama Syafie berpandangan pemakaian cincin di tangan kanan lebih afdal.
Bagi pemakaian jam pula, mereka berpandangan ia lebih sesuai didiyaskan kepada pemakaian cincin.
Pemakaian jam di tangan kiri tidak termasuk dalam tasyabbuh (menyerupai) perbuatan orang bukan Islam.
Kesimpulannya, memakai jam di tangan kiri adalah harus.
PERKONGSIAN PENUH MUFTI WILAYAH
Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Sahamah Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri
Soalan:
Assalamualaikum S.S Mufti, apakah hukum seseorang itu memakai jam di tangan kiri ? Adakah ia dianggap menyelisihi sunnah kerana Rasulullah S.A.W suka kepada tayammun (mendahulukan anggota kanan) dalam setiap urusan baginda ?
Jawapan:
Ads
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.
Secara asasnya, memang benar bahawa Rasulullah S.A.W suka mendahulukan bahagian kanan dalam urusan-urusan baginda. Ini dapat kita lihat di dalam sebuah riwayat daripada A’isyah R.A beliau berkata:
كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم يُعْجِبُهُ التَّيَمُّنُ فِي تَنَعُّلِهِ وَتَرَجُّلِهِ وَطُهُورِهِ وَفِي شَأْنِهِ كُلِّهِ
Maksudnya: Adalah Nabi S.A.W suka kepada mendahulukan bahagian kanan, dari sudut memakai selipar, menyikat rambut, semasa berwudhu’, dan juga dalam urusan baginda seluruhnya.
Riwayat Al-Bukhari (168)
Ini bermakna baginda sentiasa mendahulukan anggota kanan dalam urusan seharian seperti memulakan pemakaian selipar dengan kaki kanan, menyikat rambut dengan tangan kanan, makan dan minum dengan tangan kanan, dan perbuatan-perbuatan selainnya.
Ads
Meskipun begitu, terdapat beberapa riwayat yang secara spesifiknya menunjukkan kepada perhiasan atau aksesori yang dipakai oleh Rasulullah S.A.W di tangan baginda iaitulah cincin. Antaranya adalah sebuah riwayat daripada Anas bin Malik R.A beliau berkata:
كَانَ خَاتِمُ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فِي هَذِهِ وَأَشَارَ إِلَى الْخِنْصَرِ مِنْ يَدِهِ الْيُسْرَى
Maksudnya: Adalah cincin Nabi S.A.W di sini, lalu beliau menunjukkan kepada jari kelingkingnya dari tangan kiri.
Riwayat Muslim (2095)
Justeru hadis ini memberikan petunjuk kepada kita bahawa baginda S.A.W memakai cincin di tangan kiri baginda. Bahkan jika dilihat dari sudut hikmahnya, Nabi S.A.W makan dan minum dengan tangan kanan, justeru dengan memakai cincin di tangan kanan pasti akan menjadikan proses tersebut sedikit sukar. Imam Al-Buhuti Rahimahullah berkata: ‘’Memakai cincin di jari kelingking tangan kiri adalah lebih afdhal berbanding memakainya di jari kelingking tangan kanan, kerana ia lebih selesa dan tetap’’. Rujuk Kasyyaf Al-Qina’, Al-Buhuti (2/236).
Manakala para ulama Syafi’eyyah berpandangan bahawa pemakaian cincin di tangan kanan adalah lebih afdhal dan utama. Ini seperti pendapat Imam Al-Nawawi yang menyebut:
Ads
يجوز للرجل لبس خاتم الفضة في خنصر يمينه وإن شاء في خنصر يساره كلاهما صح فعله عن النبي صلى الله عليه وسلم لكن الصحيح المشهور أنه في اليمين أفضل ; لأنه زينة ، واليمين أشرف
Maksudnya: Adalah dibolehkan bagi seorang lelaki itu untuk memakai cincin perak di kelingking tangan kanannya. Dan sekiranya dia mahu (dia boleh memakainya) di jari kelingking tangan kirinya. Keduanya sahih dilakukan oleh Nabi S.A.W. Akan tetapi pendapat yang sahih lagi masyhur adalah lebih afdhal ia dipakai di tangan kanan. Kerana ia merupakan perhiasan dan tangan kanan adalah lebih mulia.
Rujuk Al-Majmu’, Al-Nawawi (4/333)
Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan, kami berpandangan bahawa isu pemakaian jam tangan adalah lebih sesuai diqiyaskan kepada pemakaian cincin. Ini kerana, kedua-duanya dipakai di tangan. Oleh kerana itu, apabila kita menyatakan bahawa dibolehkan untuk memakai cincin di tangan kiri, maka demikian juga diharuskan untuk memakai jam tangan di tangan kiri.
Pemakaian jam di tangan kiri ini tidaklah ia termasuk dalam tasyabbuh (menyerupai) perbuatan orang-orang kafir. Ini kerana, ia langsung tidak dianggap sebagai perbuatan yang terkhusus dengan budaya dan adat mereka. Bahkan menjadi suatu kebiasaan yang meluas di seluruh dunia bahawa orang-orang Islam juga memakai jam di tangan kiri.
Kesimpulan
Sebagai penutup, kami menyatakan bahawa hukum memakai jam di tangan kiri adalah harus. Ini berdasarkan qiyas kepada pemakaian cincin. Adapun begitu, sekiranya seseorang itu memakan jam tangan di tangan kanan dengan tujuan untuk mengikuti sunnah Nabi S.A.W yang suka mendahulukan anggota kanan, ia adalah lebih afdhal dan mendapat pahala Insha Allah. Tambahan pula sekiranya pemakaian jam di tangan kanan itu tidak menyebabkan kesukaran untuk makan dengan tangan kanan seperti dengan menanggalkan jam semasa makan, maka ia lebih utama.
Akhir kalam, kami berdoa semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita dalam beragama. Ameen.
Gentleman semua dah baca MASKULIN? Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
Kepala botak tengah menjadi masalah yang sering berlaku apabila berusia. Ramai golongan lelaki sebolehnya cuba elak untuk botak tengah, namun ia tetap terjadi dan masih ramai tidak tahu apa punca sebenarnya.
Namun anda boleh elak perkara ini berlaku jika sentiasa menjaga rambut dan amalkan gaya hidup, pemakanan dan tidak berdepan stres melampau.
Ini 5 sebab utama mengapa fenomena ‘botak tengah’ ini boleh berlaku kepada seorang lelaki.
Bahan Kimia Berlebihan
Menggunakan bahan kimia pada rambut juga merupakan salah satu faktor yang melambatkan pertumbuhan rambut. Melakukan bleaching, rebonding, mengerintingkan rambut atau kerap menggayakan rambut boleh menyebabkan rambut rosak dan ‘mati’.
Tekanan
Gangguan emosi merupakan salah faktor terbesar untuk memiliki rambut yang tidak berkualiti. Menderita akibat stress boleh menyebabkan rambut anda gugur dengan sangat cepat.
Antara faktor lain yang menyumbang kepada permasalahan ini adalah kekurangan nutrisi. Mengamalkan diet yang tidak seimbang akan menghancurkan folikel (akar) rambut sehingga menyebabkan rambut sukar untuk tumbuh.
Pengambilan Ubat
Pengambilan ubat-ubatan secara tak langsung akan memberikan kesan kepada kulit kepala dan juga rambut.
Tak Cukup Tidur
Kurang tidur juga boleh menjadi punca rambut lambat panjang. Sebaiknya anda perlu tidur antara 7 ke 8 jam setap hari bagi menjana sel-sel rambut ketika anda tidur ini kerana ketika itu tubuh dan otak anda seTidur yang mencukupi, antara 7 ke 8 jam dalam sehari mampu menjana sel-sel rambut ketika anda tidur kerana ketika itu tubuh dan otak anda sedang berehat.
Gentleman semua dah baca MASKULIN? Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
Jangkaan umur bagi rakyat Malaysia bagi tahun 2018 ialah 75 tahun, meningkat sebanyak 2.8 tahun berbanding 72.2 tahun pada 2000. Jika dibahagikan mengikut jantina, ternyata wanita mendahului lelaki hampir 5 tahun (4.9 tahun), iaitu 77.6 tahun berbanding 72.7 tahun bagi lelaki.
Statistik yang sama juga ditunjukkan di negara-negara lain. Di Jepun misalnya, jangka hayat lelaki ialah 81.1 tahun, manakala wanita pula 87.1 tahun (6 tahun perbezaan).
Persoalan yang timbul adalah mengapa lelaki meninggal dunia awal berbanding wanita?
Lewat matang dalam membuat penilaian
Lelaki, terutamanya remaja dan dewasa muda, kebiasaannya mengambil masa lebih lama untuk matang. Bahagian lobus frontal pada otak lelaki (yang berfungsi membuat penilaian dan pertimbangan tentang kesan daripada sesuatu tindakan) berkembang lebih perlahan berbanding wanita.
Oleh sebab itu, lelaki lebih cenderung untuk mengambil langkah-langkah yang berisiko dan terdedah kepada bahaya seperti kemalangan jalan raya, merokok dan alkohol.
Pekerjaan yang lebih berisiko
Kerjaya seperti polis, tentera, bomba dan industri pembinaan adalah majoritinya dipenuhi oleh kaum lelaki. Pekerjaan seperti ini lebih berisiko kepada bahaya dan maut.
Penyakit jantung berlaku lebih awal
Hormon estrogen pada wanita melindungi mereka daripada mengalami penyakit jantung pada usia lebih muda berbanding lelaki. Tambahan pula, lelaki mempunyai kadar lipoprotein ketumpatan rendah yang lebih rendah sehingga meningkatkan lagi risiko serangan jantung.
Lebih 70% daripada serangan jantung mengejut berlaku dalam kalangan lelaki dan mereka meninggal dunia 3 kali lebih kerap disebabkan penyakit jantung berbanding wanita.
Selalu mengelak daripada berjumpa doktor
Wanita kebiasaannya lebih memgambil berat tentang kesihatan dirinya. Lelaki pula suka mengambil mudah dan ‘malas’ bersusah payah untuk pergi mendapatkan pemeriksaan dan bantuan perubatan di hospital. Tabiat ini menyebabkan penyakit tidak dapat dikesan awal dan dicegah dengan baik.
Apa yang boleh dilakukan untuk melanjutkan jangka hayat lelaki?
Meskipun kebanyakan daripada faktor-faktor yang disebutkan di atas adalah tetap dan tidak boleh diubah, masih ada beberapa perkara yang boleh diusahakan. Contohnya, tabiat lelaki yang tidak suka membuat pemeriksaan kesihatan. Usaha ke arah membolehkan penyakit dikesan awal perlu dilakukan dari pihak diri sendiri, pasangan, keluarga dan pihak berkuasa.
Selain itu, tabiat-tabiat kurang sihat yang selalu diamalkan oleh lelaki juga perlu diubah. Ini termasuk merokok, kehidupan tidak aktif dan alkohol berlebihan.
Dalam tempoh beberapa hari ini suasana dan keadaan trafik di hampir kesemua lebuh raya utama di negara akan menjadi sangat sesak.
Ketibaan Tahun Baru Cina pada minggu hadapan akan menyaksikan bermula pada minggu ini kenderaanb akan berpusu-pusu keluar meninggalkan ibu kota untuk pulang ke kampung halaman.
Dengan cuti yang panjang pasti ramai yang akan ambil kesempatan ini untuk pulang ke kampung. Bila jumlah kenderaan bertambah berkali-kali ganda di atas jalan raya kesesakan luar biasa pasti akan berlaku.
Dan dalam kesesakan ini kita sudah biasa melihat pemandu-pemandu yang mementingkan diri sendiri dan tak bertamadun melakukan kesalahan seperti menggunakan laluan kecemasan dan memotong barisan.
Jumlah kenderaan yang akan keluar dari bandar-bandar utama akan meningkat mendadak sepanjang musim perayaan ini.
Pastinya kita akan berasa sangat geram dengan sikap tak bertanggungjawab seperti ini. Jadi apa yang boleh anda lakukan?
Sebenarnya menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), anda sebagai pengguna jalan raya boleh membuat aduan kepada mereka. Tapi saluran manakah yang boleh kita sebagai pengguna jalan raya membuat aduan ini?
Anda boleh membuat aduan dengan menghangtar e-mel kepada aduantrafik@jpj.gov.my. Tapi perkara pertama ada perlu lakukan ialah maklumat berikut:
nyatakan secara ringkas laporan kesalahan yang ada saksikan
tarikh dan masa ia berlaku
lokasi kejadian
jenis kenderaan
nombor plat pendaftaraan yang melakukan kesalahan
foto atau video untuk dijadikan sebagai bukti
Jika anda lengkap mempunyai maklumat di atas janganlah ragu-ragu untuk terus e-mel kepada JPJ. Pihak JPJ akan membalas e-mel anda bahawa tindakan akan diambil dengan memanggil pemilik kenderaan yang melakukan kesalahan tersebut untuk memberikan maklumat lanjut. Jika didapati bersalah saman akan dikeluarkan.
Antara kesalahan utama yang boleh anda laporkan ialah;
Salah guna lorong kecemasan
Mengekori kenderaan di hadapan terlalu dekat
Memotong barisan
Foto: BERNAMA
Dan tahukah anda tiga kesalahan yang dinyatakan di atas boleh disaman serta-merta RM300! Anda juga jangan teragak-agak membuat aduan jika adan kenderaan melanggar lamput isyarat dan menggunakan telefon bimbit ketika memandu.
Tapi janganlah pula anda merakamkan foto atau video sambil memandu. Itu sudah jadi satu kesalahan pula untuk anda yang memandu. Jika boleh minta penumpang lain ambilkan foto atau video.
Andai kata anda seorang diri, tunggu bila kenderaan berhenti dan rakamkan apa sahaja kesalahan yang anda saksikan.
Sama-sama kita menjadi netizen yang lebih peka dengan keselamatan jalan raya!