
Selepas lebih satu dekad menerajui antara syarikat teknologi paling berpengaruh di dunia, Apple kini memasuki fasa baharu apabila Tim Cook mengumumkan peralihan kepimpinan yang signifikan.
Bermula 1 September 2026, Cook akan beralih daripada jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kepada peranan Pengerusi Eksekutif, menamatkan tempoh 15 tahun kepimpinannya sebagai CEO sejak mengambil alih daripada Steve Jobs pada Ogos 2011.
Perubahan ini turut menyaksikan pelantikan John Ternus, yang kini memegang jawatan Naib Presiden Kanan Kejuruteraan Perkakasan sebagai CEO baharu Apple. Dalam masa yang sama, Johny Srouji dilantik sebagai Ketua Pegawai Perkakasan berkuat kuasa serta-merta, sekali gus menandakan penyusunan semula kepimpinan utama dalam organisasi tersebut.
Apabila Tim Cook mengambil alih tampuk kepimpinan Apple daripada Steve Jobs, ramai mempersoalkan sama ada beliau mampu mengekalkan momentum inovasi syarikat tersebut. Namun sepanjang 15 tahun menerajui Apple, Cook bukan sahaja berjaya mengekalkan legasi itu, malah memperluaskan lagi pengaruh syarikat ke tahap yang lebih besar.
Di bawah kepimpinannya, Apple menyaksikan pertumbuhan signifikan dalam pelbagai segmen, khususnya dalam pembangunan ekosistem perkhidmatan digital.
Platform seperti App Store, Apple Music, Apple Pay dan iCloud berkembang menjadi komponen utama dalam strategi perniagaan Apple, menjadikan syarikat itu tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada jualan peranti fizikal.
Selain itu, antara pencapaian paling penting dalam era Cook adalah pengenalan Apple Silicon, yang menandakan peralihan strategik kepada cip buatan sendiri untuk produk seperti Mac. Langkah ini bukan sahaja meningkatkan prestasi peranti, malah memberi Apple kawalan lebih besar terhadap keseluruhan ekosistemnya.
Dalam kenyataannya, Cook menyifatkan tempoh kepimpinannya sebagai satu pengalaman paling bermakna dalam hidupnya.
“Ia merupakan satu penghormatan terbesar dalam hidup saya untuk menjadi CEO Apple dan diberi kepercayaan untuk memimpin syarikat yang luar biasa ini,” katanya.
Pelantikan John Ternus sebagai CEO bukanlah sesuatu yang mengejutkan dalam kalangan pemerhati industri. Dengan pengalaman lebih dua dekad bersama Apple sejak menyertai syarikat itu pada tahun 2001, Ternus memainkan peranan penting dalam pembangunan produk-produk utama Apple.
Sepanjang kerjayanya, beliau terlibat secara langsung dalam kejuruteraan bagi iPhone, iPad dan Mac, selain turut memainkan peranan dalam pembangunan Apple Silicon yang kini menjadi asas kepada kebanyakan peranti Apple.
Cook sendiri menyifatkan Ternus sebagai individu paling tepat untuk meneruskan legasi Apple.
“John Ternus mempunyai minda seorang jurutera, jiwa seorang inovator dan integriti sebagai seorang pemimpin. Saya amat yakin beliau adalah individu terbaik untuk membawa Apple ke masa depan,” jelas Cook.
Dalam reaksinya, Ternus menyatakan rasa terharu dan bersedia memikul tanggungjawab tersebut.
“Saya amat bersyukur diberi peluang ini untuk meneruskan misi Apple. Sepanjang karier saya di sini, saya berpeluang bekerja di bawah Steve Jobs dan dibimbing oleh Tim Cook,” katanya.
Walaupun tidak lagi memegang jawatan CEO, Tim Cook tidak akan meninggalkan Apple sepenuhnya. Sebagai Executive Chairman, beliau akan terus mengetuai Lembaga Pengarah serta memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju jangka panjang syarikat.
Peranan ini memberi ruang kepada Cook untuk terus menyumbang dari sudut strategik, khususnya dalam aspek tadbir urus korporat dan visi masa depan Apple.
BACA: 5 Tip Memilih Compression Tights Agar Kualiti Larian Lebih Maksima
Peralihan ini dilihat sebagai langkah strategik yang dirancang dengan teliti, bukan perubahan mendadak. Dengan latar belakang Ternus yang kukuh dalam kejuruteraan produk, Apple dijangka akan terus memberi penekanan kepada inovasi hardware, khususnya dalam era selepas Apple Silicon.
Dalam masa yang sama, kesinambungan kepimpinan melalui kehadiran Cook sebagai Executive Chairman memberikan kestabilan kepada syarikat.
Apa yang jelas, Apple kini berada dalam fasa evolusi baharu — daripada syarikat yang dibentuk oleh visi Steve Jobs, dikembangkan oleh Tim Cook, dan kini bakal diteruskan oleh generasi kepimpinan baharu.
Sumber: Apple
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.