Arif Aiman Dicalonkan Untuk Anugerah ‘AFC Player of The Year 2025’

Share

Pemain lincah Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi, mencatat sejarah tersendiri apabila namanya tersenarai sebagai salah seorang daripada tiga calon untuk anugerah berprestij ‘AFC Player of The Year 2025’.

Majlis penganugerahan ini akan berlangsung di Riyadh pada 16 Oktober 2025, anjuran Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Pencalonan ini menandakan satu detik bersejarah buat bola sepak Malaysia kerana Arif menjadi pemain pertama dari negara ini yang berjaya menembusi senarai akhir calon anugerah tersebut.

Prestasi Cemerlang Musim 2024-25

Sepanjang musim lalu, Arif mempamerkan aksi luar biasa di pentas domestik dan Asia.

Beliau berjaya menjaringkan lima gol dalam saingan Liga Juara-Juara AFC Elite, selain memainkan peranan penting membantu Harimau Selatan meraih empat kejuaraan domestik.

Secara keseluruhan, pemain berusia 23 tahun itu menutup musim 2024-25 dengan 42 penampilan, 18 gol serta 14 bantuan jaringan, sekali gus membuktikan konsistensi serta ketajamannya di bahagian serangan.

Saingan Sengit Dengan Bintang Asia

Foto : Majoriti

Arif bukan bersendirian dalam perebutan anugerah berprestij ini.

Dua lagi calon yang bakal menjadi saingan utamanya ialah Akram Afif, penyerang utama Qatar dan kelab Al-Sadd, serta bintang Arab Saudi yang beraksi bersama Al-Hilal, Salem Al Dawsari.

Kedua-dua pemain ini mempunyai reputasi besar di pentas Asia, sekali gus menjadikan pencalonan Arif sebagai satu pengiktirafan besar terhadap kebolehannya yang kini sebaris dengan nama-nama terkemuka rantau ini.

Tidak berhenti di situ, Arif meneruskan prestasi cemerlangnya pada musim semasa 2025-26.

Setakat ini, beliau sudah melakukan 9 penampilan dengan rekod 5 gol serta 10 bantuan jaringan, menjadikan dirinya kekal sebagai tonggak utama JDT di jentera serangan.

Prestasi ini sekaligus menunjukkan bahawa pencalonannya bukan sekadar nasib, tetapi hasil kerja keras, disiplin, dan bakat semula jadi yang dimilikinya.

Kebanggaan Negara, Inspirasi Generasi Muda

Foto : Berita Harian

Pencalonan Arif Aiman sebagai calon ‘AFC Player of The Year 2025’ membawa erti besar buat bola sepak Malaysia.

Ia membuktikan bahawa pemain tempatan juga mampu berdiri sama tinggi dengan bintang Asia lain.

Lebih penting, kejayaan ini diharap dapat menjadi sumber inspirasi buat generasi muda untuk terus mengejar impian dalam bidang sukan, khususnya bola sepak.

Buat penyokong bola sepak tanah air, pencalonan ini adalah bukti nyata bahawa Malaysia masih mampu melahirkan bintang berkualiti di pentas antarabangsa.

BACA LAGI : “Bukan Hanya Ragbi..” – Pakar Dedah Jantung Boleh Berhenti Akibat Pelanggaran Ketika Sukan

Sumber : Instagram JOHOR DARUL TA’ZIM FC

Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

 

Published by
Darwisy Farain