MASKULIN rasa rata-rata daripada anda pasti pernah menonton filem legenda, Forrest Gump yang menceritakan tentang kehidupan seorang lelaki lurus berdepan pelbagai cabaran dalam hidupnya.
Salah satu babak yang paling diingati ramai pastinya apabila Forrest Gump berlari tanpa henti dalam tempoh yang sangat panjang sehingga wajahnya diselaputi jambang menebal.
Tapi pernahkah anda terfikir untuk melakukan larian seperti yang dilakukan oleh Forrest Gump? Mungkin tidak bagi kita yang nak lari 5 kilometer pun sudah mengah.
Namun berbeza bagi seorang lelaki berasal dari Wigan, United Kingdom. Matthew Melling kini digelar sebagai ‘real life Forrest Gump’ selepas dia melakukan larian sebanyak 5 kilometer setiap hari selama 964 hari berturut-turut!
Segalanya bermula pada bulan Januari 2017 apabila Matthew mencabar dirinya untuk berlari sejauh 5K setiap hari selama sebulan. Rancangan asalnya hanyalah untuk menurunkan berat badan kerana sebelum ini dia mempunyai berat badan sedikit berlebihan.
BACA: 10 Tip Buat Newbie Yang Ingin Mulakan Aktiviti Larian
SAHUT CABARAN RAKAN
Selepas berjaya melakukannya selama sebulan rakan-rakannya mencabar untuk dia terus lakukan selama 50 hari.
Spoiler alert – ya, dia berjaya melakukannya dengan cukup bergaya sekali.
Dan pada hari ini Mathhew masih meneruskan lariannya selepas kira-kira dua tahun setengah. Pelbagai cabaran juga dilaluinya sepanjang melakukan larian ini antaranya dibaling telur, berhenti kerja dan merentasi sebanyak 20 buah negara.
Dia juga berlari unutk menyokong badan amal bagi mengumpul dana membantu mereka yang kurang bernasib baik.
Selepas mendapat perhatian media tempatan, Matthew membuka sebuah laman Facebook diberi nama ‘The Wigan Runner’. Tidak mahu mempersiakan perhatian yang diberikan kepadanya, Matthew banyak membantu pelbagai badan amal untuk meraih kutipan dan itulah antara pembakar semangatnya untuk terus berlari 5K sehari tanpa henti.
BAGAIMANA IA BERMULA
Memetik temubualnya bersama Metro.co.uk, Matthew berkata segalanya bermula hanya untuk memperbaiki kecergasan dan kesihatannya.
“Saya mahu lihat sama ada boleh atau tak untuk berlari setiap hari untuk sebulan. Dahulu saya bukan seorang pelari, berbadan sedikit besar dan kurang motivasi diri. Namun sekarang segalanya berubah dan ia menjadikan hidup saya lebih positif,” jelasnya.
Sejak 5 Januari 2017, Matthew tidak pernah berhenti berlari hinggalah ke hari ini. Tak pernah skip walaupun sehari!
Sememangnya dia layak digelar sebagai ‘The Real Life Forrest Gump’.
Sumber: Metro.co.uk, The Wigan Runner
Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
KLIK DI SEENI