Selamat menyambut tahun baru 2018, semoga kita juga boleh berjaya menurunkan berat badan seperti mereka yang pernah kami kongsikan kisahnya di sini.
Encik Isa Abdullah yang juga merupakan seorang jurulatih gym, kali ini kami akan kongsikan kepada anda mengenai perjalanan kisah sebenar bagaimana beliau berjaya menurunkan berat badannya dari 100 Kg kepada 60 Kg dalam masa 4 bulan sahaja. Menakjubkan bukan dan itu bukanlah sesuatu yang mustahil baginya. Jadi, jika anda juga ingin turunkan berat badan, inilah masanya untuk anda merealisasikan impian tersebut dengan menjadikan kejayaan Encik Isa Abdullah sebagai inspirasi dan pembakar semangat anda.
Catatan berat sepanjang musim Jom Kurus Edisi 1 dan 2
Menjuarai peringkat kebangsaan kategori lelaki Jom Kurus 1 Malaysia Kevin Zahri, JK1M dua kali berturut-turut untuk edisi 1 dan 2 sememangnya tidak diduga. Matlamat utama sebenarnya adalah mencapai berat badan dan komposisi badan ideal untuk pencapaian peribadi bagi meneruskan gaya hidup sihat dan cergas bersama-sama rakyat Malaysia yang lain.
Berat sebelum menyertai JK1M: 104kg [22 December 2013]
Berat Permulaan: 96.5kg [11 Januari 2014]
Berat Akhir: 56.9kg [23 April 2014]
Berat Semasa: 64kg [23 Mei 2014]
Ads
Petua turunkan 10kg – 15kg dalam 6 minggu
Senaman ini saya sarankan kepada mereka yang beratnya 80kg ke bawah.
Lakukan senaman 3 kali sehari tanpa henti sehingga minggu ke-6. Dengan hanya kira-kira 30 minit setiap sesi. Contohnya: 6.40pagi, 5.30petang dan 8.30 malam. Masa bersenam boleh diubah suai mengikut keselesaan dan kesesuaian diri.
Langkah 1: Berjalan pantas
Langkah 2: Berlari
Langkah 3: Joging
Langkah 4: Memecut
Untuk sesi 6.40pagi dan 5.30petang: Ulang beberapa kali bermula daripada langkah 1 ke langkah 4 di atas sehingga 30-40 minit. Ianya sesuai dilakukan di luar rumah, padang pusat rekreasi atau trek larian.
Ads
Untuk sesi 8.30 malam: Boleh mencuba senaman kardio sama ada berjalan pantas atau berlari pada tanjakan (treadmill) atau berbasikal dengan sedikit latihan kekuatan dengan membuat sebarang angkatan berat. Cadangan: lakukan kardio selama 40 minit dan latihan kekuatan sekadar 10-20 minit.
Bagi mereka yang berat 80kg ke atas (mahupun mereka yang baru memulakan senaman) saya sarankan terlebih dahulu supaya hanya sekadar berjalan seperti biasa sejauh 5km setiap hari terlebih dahulu sehingga hari ke-21 supaya ianya menjadi rutin. Ini berdasarkan pengalaman peribadi saya sendiri – sepanjang 3 minggu yang pertama saya hanya mampu berjalan sahaja.
Saya tidak berupaya berlari mahupun lompat bintang! Pasti semput, tak cukup nafas. Mulai hari ke-22 barulah saya selang-selikan dengan berjalan biasa dengan berjalan pantas. Pada minggu kelima dan keenam barulah saya meningkatkan intensiti kepada berjalan biasa > Joging > berjalan pantas secara berselang seli. Cara ini juga sesuai untuk mereka yang baru memulakan sesi senaman bertujuan menguatkan otot betis dan peha serta mengurangkan kecederaan pada tumit dan buku lali.
Amalan Pemakanan
Ads
Makanlah 5 kali sehari. Jangan sesekali mengabaikan atau mengorbankan masa sarapan mahupun makan tengahari anda. Tak kisah la makan apa saja asalkan cukup senaman. Gandakan pengambilan putih telur, dada ayam atau ikan dalam menu harian [Utamakan pengambilan protein di dalam pemakanan harian]. Kurangkan pengambilan makanan berminyak, manis dan bergaram. Berhenti makan sebelum kenyang. Minum air suam selepas makan untuk memberikan rasa kenyang. Jika ada air sejuk (contoh: jus oren) minum air sejuk sehingga habis terlebih dahulu sebelum menjamah makanan.
Kepada mereka yang tidak sukakan aktiviti berjalan atau berlari, bolehlah memilih sebarang aktiviti kardio lain contohnya: zumba, senam robik, melompat tali, berbasikal, aktiviti mendaki, meredah hutan dan sebagainya. Pasti ramai yang suka menari dgn iringan muzik segar, rancak dan terkini.
Jom Kurus dan Cergas! Anda juga boleh melakukannya!
Ketika bersenam haruslah banyakkan bersabar. Bersenamlah mengikut kemampuan masing-masing jangan terlalu memaksa diri. Bersenam dalam keadaan riang gembira. Elakkan sebarang stress. Saya mengucapkan anda semua selamat berjaya, semoga perkongsian ini dapat membantu mencapai berat badan ideal anda.
Jadi, bagaimana anda sekarang setelah baca kisah inspirasi diet Encik Isa Abdullah? Cuba semak semula gaya pemakanan anda selama ini, kekerapan bersenam serta aktiviti fizikal rutin harian. Jika berada dalam keadaan yang membimbangkan dengan berat badan yang berlebihan, inilah masanya untuk anda berubah kepada gaya hidup yang lebih sihat dan bermakna.
SUMBER : Kevin Zahri
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang
Lahirnya bukanlah dari keluarga yang dilimpahi kesenangan. Azam yang ditanamnya sejak kecil untuk keluar dari kepompong itu, digenggam erat hingga memperlihatkan siapa dirinya hari ini. Said Saiful Fazli, lelaki biasa yang kini mencipta evolusi juga perubahan sisi 360 darjah buat cabang kariernya sehingga menjadi individu yang bisa dikagumi. Tiada istilah ‘tidak boleh’ dan ‘mengalah’ dia terus mengorak langkah mengotakan impian. Bagi dirinya, tiada siapa yang mampu mengubah nasib selain diri sendiri.
Percubaan berani
Benarlah, tiada apa yang mustahil untuk digapai tanpa keberanian yang diraih dalam diri. Karisma yang dibawa oleh Said Saiful Fazli atau lebih dikenali dengan gelaran CDM Said yang merupakan graduan bidang Veterinar Universiti Putra Malaysia ini, berjaya mencipta pencapaian yang layak dibanggakan olehnya. Menukar lapangan kerjaya bukanlah suatu mudah apatah lagi dia mencuba perkara yang belum pernah diterokainya sebelum ini. Namun, bekalan semangat yang dimilikinya menjadi taruhan utama untuk tidak berputus asa dan terus melangkah jauh.
“Saya merupakan salah seorang agen Sahajidah Hai-O Marketing. Saya mula terfikir untuk beralih arah dari seorang pegawai veterinar ke bidang perniagaan pada sekitar tahun 2009 dek kerana masih mencari pekerjaan yang boleh memberi keuntungan yang lebih daripada berada di zon ‘makan gaji’. Sudah pasti ia melibatkan sesuatu bidang yang berkaitan dengan perniagaan. Atas pengaruh rakan yang memberi galakan kepada saya untuk menjadi salah seorang agen dalam bisnes ini merupakan peluang terbaik tatkala saya sudah pun nekad untuk berhenti bekerja dan beralih arah ke dunia perniagaan ketika itu.
Keputusan yang diambil adalah perubahan yang sangat drastik dalam hidup saya. Semestinya saya nak jadi lebih baik dan berjaya. Saya bukanlah berasal dari keluarga yang berada. Tambahan pula, saya merupakan anak tunggal dalam keluarga. Tanggungjawab yang saya pikul pula adalah lebih berat berbanding orang lain kerana hanya saya seoranglah yang mampu mengubah taraf keluarga saya, terutamanya buat kedua orang tua saya. I need something yang memberikan hasil yang cepat. Bila saya sudah dapat jalannya, why not saya teruskan perjalanan yang saya ambil untuk terus sehingga ke penghujungnya?”
Korset dan lelaki
“Ketika mula menceburi bidang ini, tidak pernah langsung terlintas di fikiran saya untuk menjual korset. Ya, korset! Menjual korset bukanlah kehendak saya tetapi saya harus lakukannya. Kebetulan pula pada ketika itu, permintaan terhadap korset dilihat begitu tinggi. Mungkin kerana wanita sudah mula sedar untuk kelihatan kurus sentiasa. Namun, saya ambilnya sebagai satu cabaran and I try. Tiga bulan pertama adalah sesuatu yang agak sukar buat saya. Manakan tidak, saya yang sebelum ini tidak punya sebarang pengalaman berniaga perlu menjual korset untuk kaum wanita. Bayangkanlah, perasaan seorang lelaki untuk menjual pakaian wanita kepada pelanggan wanita dan itu sudah pasti, mereka akan punya perasaan malu apabila saya mengatur bicara perihal baju dalam, badan serta seluar dalam wanita. Saya pun punya rasa yang sama diawalnya”.
Mungkin tidak semua mampu melalui apa yang dia pernah laluinya sebelum ini. Siapa sangka, korset dan lelaki bisa bersatu. Dia berjaya membuktikannya. Tiada apa yang mustahil asalkan lemparan kata-kata negatif sekelilingnya diusir jauh dari kamus hidup.
“Tipulah jika saya tidak pernah berputus asa pada permulaannya. Namun kata orang tua-tua, alang-alang menyelup pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. So, I take it as a challenge and just keep going. Ini kerana, saya pernah terfikir bahawa jika ada lelaki lain yang sudah berjaya dalam bidang ini, bahkan berbelas-belas tahun masih melopori bidang ini, mengapa tidak saya? Dari situ, iltizam terus membara dalam diri saya untuk terus menggali ilmu serta mempelajari teknik yang betul untuk mengukuhkan cara perniagaan saya. Apa yang pasti, saya akui betapa pentingnya seseorang itu untuk terus konsisten dan terus membina pengalaman sebanyak mungkin kerana ia merupakan ilmu yang tidak mampu dibeli dengan wang ringgit”.
Pencapaian bermakna
“Dalam bisnes ini, terdapat beberapa peringkat mengikut pencapaian agen. Selepas enam tahun berkecimpung dalam bisnes ini, saya sudah pun berada di tahap yang paling tertinggi kerana jualan korset yang saya berjaya lakukan melebihi RM 2 juta. Ia merupakan pencapaian yang memberangsangkan buat saya yang dulunya bermula dari bawah, kini berjaya mendaki ke peringkat yang paling tertinggi dengan pangkat CDM atau Crown Diamond Manager. Sekarang ini pula, jualan saya telah pun menjangkau sehingga RM 4 juta setiap bulan. Percaya atau tidak, ini semua adalah menerusi hasil jualan korset sahaja. Dengan jualan bisnes ini juga, saya mampu untuk melancong ke 25 buah negara dalam masa 5 tahun dan memiliki beberapa buah aset hartanah bernilai di Kuantan dan Kuala Lumpur. Bagi saya, jumlah jualan yang berjaya dilakukan adalah pencapaian yang ingin saya capai dalam bisnes ini. Kini, agen saya sudah pun mencecah seramai 2000 orang”.
The born of CLA
“Apabila menceburi bidang perniagaan, sudah pasti saya inginkan keuntungan. Dari merangkak, saya belajar berjalan. Dan kini saya bisa berlari pantas menuju ke garisan penamat. Selain ingin memiliki misi peribadi untuk berjaya, saya juga tidak melepaskan peluang untuk mengajak orang lain untuk turut serta menyertai dan bersama-sama mengubah haluan hidup. Namun harus diingatkan, sekali anda melangkah ke dalam bidang ini, tiada apa yang mudah. Kuatkan diri. Kini saya tidaklah secara langsung menjual korset seperti dahulu kerana saya lebih fokus untuk membimbing serta memberi galakan buat mereka yang baru berjinak-jinak untuk mengetahui selok-belok bidang perniagaan. Saya juga turut memberi ceramah kepada mereka bagaimana untuk membina keyakinan diri, khususnya dalam bidang yang memerlukan mereka untung menguasai pelbagai kemahiran. Ini misi saya. Menggalakkan mereka untuk menceburkan diri dalam bidang perniagaan. Saya juga adalah testimoni yang telah berjaya untuk mereka jadikan inspirasi untuk sama berjaya.
“Di bawah saya ada lebih 2000 orang agen yang harus di pantau. Ini adalah cabaran terbesar buat saya. Apa yang penting, saya harus pastikan mereka akan kekal bertahan untuk mencapai target jualan yang telah ditetapkan. Hari demi hari bilangan mereka semakin bertambah. Pelbagai kerenah jugalah yang terpaksa saya hadapi. Jadi, saya memegang tanggungjawab besar ini untuk memastikan mereka yang berada di bawah saya turut mencapai jualan yang memberangsangkan.”
Rentetan agen yang begitu ramai di bawah kelolaannya, CDM Said telah menubuhkan CLA ataupun Charismatic Leaders Academy dan sebagai Pengasas sekali gus untuk membantu dan memberi pendedahan dengan lebih terperinci mengenai dunia perniagaan ini sendiri terutamanya mengenai teknik pemasaran yang betul supaya agar mereka dapat mencipta sesuatu yang luar biasa sepertinya.
Pendorong
“Tidak mungkin saya berdiri semegah ini tanpa insan yang menjadi pendorang untuk saya maju ke hadapan.Said Aluwi Yaacob dan Naveesah Hamza. Dua insan inilah yang tidak pernah jemu memberi semangat dan mendidik saja sejak kecil lagi hingga menjadi seseorang yang boleh menghamparkan senyuman gembira di wajah mereka. Benarlah, jika setiap yang diusahakan itu perlulah punya seseorang atau mentor yang menjadi tulang belakang kita. Azlan Deraman dan Siti Rohana Yusof adalah mentor untuk saya sentiasa maju dalam bidang perniagaan ini. Jatuh bangun itu adat berniaga. Dan merekalah kompas untuk dituju dan tangan yang akan menghulur untuk saya bangkit berjuang.
Jangan sombong, kerana itu adalah penyakit paling kronik yang akan binasakan sesebuah perniagaan. Cari orang yang boleh di jadikan rujukan untuk membina. Kesilapan itu pasti. Tidak perlu malu bertanya kerana itu adalah peluang untuk belajar sesuatu yang baru dalam kehidupan”
Asam garam perniagaan
“Saya pernah hilang kumpulan yang membuat jualan bersama-sama. Pernah tiada pengikut serta agen yang berada di bawah saya. Rasa jatuh dan tersungkur itu semuanya telah saya alami. Ada juga suatu ketika di mana saya terpaksa menghabiskan kesemua wang simpanan saya untuk memusingkan balik modal dan jualan. Dibaling korset kepada saya oleh pelanggan itu adalah perkara yang perit untuk dilupakan. Sampai begitu sekali kepahitan yang saya telan. Namun, setiap racun itulah menjadi penawar untuk saya semakin kuat langsung membuktikan segala angan yang saya impikan bakal menjadi realiti”.
Turun naik dalam hasil jualan yang dilakukan sudah sinonim dalam perniagaannya. Setiap satu cabaran yang menimpa dirinya ditepis dengan solusi untuk menjadikan ia bukanlah satu alasan. Walaupun ada ketikanya perasaan menyerah kalah itu hadir membayangi dirinya tetapi kecekalan itu menjadikan dirinya kuat untuk bangkit. Dugaan itu adalah pelajaran baru baginya.
“Dalam dunia perniagaan ini, pelbagai situasi yang tidak terduga akan kita hadapi. Ya, saya pernah ditipu, ditikam belakang oleh orang terdekat, wang dilarikan dan pelbagai lagi. Namun itulah resam yang harus saya hadapi. Tidak pernah sekali pun saya meletakkan kesilapan itu seratus peratus pada mereka. Mungkin ada juga kesilapan daripada saya yang saya tidak dapat lihat sebelum ini. Tapi percayalah, bahawa akan hadirnya pelangi selepas turunnya hujan. Kita juga manusia yang mungkin kadangkala terlepas pandang akan sesetengah perkara remeh yang sebenarnya boleh menjadi punca sesuatu masalah. Orang sanggup lakukan apa sahaja demi wang.”
Nasihat
“Sebenarnya, ramai lagi yang masih belum menyelami potensi diri sendiri. Peluang itu sentiasa ada untuk berjaya dalam hidup. Antara percaya atau tidak. Bina kepercayaan dalam diri sendiri, walaupun apa jua halangan yang mendatang. Bayangkan, saya hanya menjual produk pakaian dalam sahaja tapi mampu membina legasi yang besar hari ini. Jangan sesekali menutup minda kita dan bijaklah merebut peluang. Dari situ, kepercayaan dalam diri adalah kunci utama untuk terus maju ke hadapan.
Tiada apa yang mudah dalam hidup ini. Galilah sebanyak mana pun ilmu kerana ia merupakan bekalan yang akan membawa kita melangkah lebih jauh. Tetapi, ingatlah bahawa ilmu dalam dunia perniagaan ini tidak akan dapat diperolehi hanya dari buku semata-mata. Pengalaman merupakan pengajaran untuk kita gagah menempuh pelbagai lagi dugaan yang lebih mencabar. Suatu hari, kejayaan yang telah dikecapi membuatkan kita bisa menarik nafas lega dan titik peluh yang mengalir bagaikan tiada ternilai harganya. Bergurulah dengan orang yang punya segunung pengalaman kerana merekalah yang akan membimbing anda untuk mengecapi kejayaan. Tiada salah untuk bertanya, bahkan ia bukanlah satu yang sia-sia. Keep learning dan ambil setiap yang berlaku itu sebagai batu loncatan untuk menjadi lebih baik.”
saidsaifulfazli
www.myclagroup.com
58
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang
Kebanyakkan jerawat yang berlaku bukan disebabkan kotoran. Dinding liang pori sebenarnya jauh di dalam kulit dan sukar kotoran pada permukaan kulit hendak sampai ke bawah. Mencuci muka sebenarnya untuk membuang kotoran dan sel kulit mati pada permukaan kulit sahaja. Pencucian muka yang kerap dan kuat dapat membukakan lagi dinding liang pori dan menolak kotoran sampai ke dinding liang pori. Akibatnya liang pori tersumbat dan menyebabkan jerawat berlaku.
Cara yang terbaik adalah mencuci muka dua kali sehari dengan perlahan-lahan.
Stres memberi kesan kepada hormon anda. Tindak balas hormon akibat stres menyebabkan kelenjar minyak pada liang pori menjadi aktif yang akan mengeluarkan sebum/minyak dan menghasilkan kulit mati dengan banyak. Akibatnya jerawat akan tumbuh jika anda tidak mencuci dengan segera. Kebanyakkan punca stres disebabkan oleh kekurangan tidur. Jika anda kekurangan waktu tidur, jangan terkejut jika jerawat tumbuh di muka selepas anda bangun dari tidur.
Berjemur di bawah sinaran matahari selama 10 – 20 minit sehari boleh membantu menghilangkan jerawat terutamanya jerawat yang tumbuh di bahagian badan. Di samping membekalkan Vitamin D (bagus untuk kulit anda matahari juga dapat membunuh bakteria di permukaan kulit. Apa yang tidak elok adalah terdedah pada matahari terlalu lama iaitu sekitar satu jam ke atas. Akibatnya matahari akan merosakkan kulit dan menyebabkan kulit anda terasa gatal. Simptom ini tidak menyebabkan jerawat serta merta. Biasanya dalam masa satu ke dua minggu jika tidak dirawat dengan segera jerawat akan tumbuh. Jika anda mempunyai jerawat, cuba ingat kembali adakah anda terdedah pada matahari terlalu lama pada minggu yang lepas? Jadi, elakkan diri anda terdedah daripada sinaran matahari terlalu lama.
Saya rasa anda sendiri pun tahu picit jerawat boleh memudaratkan lagi keadaan jerawat tetapi ramai yang masih melakukannya. Walau apa pun alasan jerawat masih tidak boleh di picit sewenang-wenangnya. Ramai yang menyangka memicit jerawat dengan tangan adalah mengeluarkan jerawat dari permukaan kulit. Pernyataan ini salah. Memicit jerawat sebenarnya anda menolak lagi bakteria, minyak dan sel kulit mati jauh di dalam kulit. Akibatnya kulit akan luka, bengkak dan kemerahan. Bagi yang bernasib baik ia akan meninggalkan kesan parut hitam yang mengambil masa berbulan-bulan untuk hilang. Bagi yang kurang bernasib baik ia akan meninggalkan parut berlubang selama-lamanya.
Mungkin anda sudah berputus asa setelah mencuba pelbagai produk dan cara untuk menghilangkan jerawat tetapi tidak berjaya dan anda mengambil keputusan untuk membiarkan saja jerawat itu sembuh sendiri. Jangan biarkan jerawat anda begitu saja. Ia tak kan sembuh sendiri malah akan bertambah teruk jika tidak dirawat. Sebenarnya jerawat boleh sembuh kalau kena pada caranya. Tak ada rahsia untuk memiliki kulit yang cantik, bersih dan licin. Jika anda masih tidak berjaya menghilangkan jerawat selepas mencuba pelbagai produk, nasihat saya berhenti membazirkan wang dan masa anda mencuba produk jerawat yang lain. Beralih ke cara lain iaitu berjumpa doktor pakar kulit.
PETUA SIHAT
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang
Untuk pengetahuan anda, Ipoh pernah disenaraikan di dalam laman web pelancongan antarabangsa, Lonely Planet, sebagai satu-satunya destinasi pelancongan di Malaysia yang terbaik pada tahun 2016. Pembangunan pesat bandar Ipoh dengan pusat-pusat pelancongan, kafe-kafe dan lain-lain lagi yang tumbuh bak cendawan selepas hujan menjadikan bandar ini destinasi yang wajib dilawati. Salah satu sebab mengapa Ipoh menjadi lokasi pilihan kepada ramai para pelancong adalah kerana kemampuannya untuk mengekalkan dan memelihara warisan klasik tanpa dimakan dek peredaran zaman yang menghauskan perubahan. Banyak bangunan-bangunan klasik yang masih terpelihara dengan baik di luaran tetapi fungsi dalamannya diubah untuk mengikut keperluan semasa atau lebih tepat lagi mengikut selera anak-anak muda yang tinggal di Ipoh. Sebab ini jugalah Ipoh digelar sebagai bandar hipster Malaysia! Memang lain dari yang lain.
Bukan itu sahaja, Ipoh turut kaya dengan keindahan alam semulajadinya yang memiliki keistimewaannya yang tersendiri. Tersendiri bagaimana? Kalau anda nak tahu, teruskan membaca senarai 22 tempat menarik di Ipoh.
Taman tema Lost World of Tambun ini secara umumnya terbahagi kepada dua iaitu dry park dan wet park. Di dry park anda boleh meningkatkan adrenalin dengan menaiki roller coaster yang juga sesuai untuk kanak-kanak, juga terdapat rumah hantu jika anda inginkan sedikit thrill. Di samping itu, anda boleh melawat Petting Zoo yang menempatkan pelbagai jenis haiwan seperti arnab, rakun, ular, zirafah, harimau dan bermacam lagi. Terdapat juga aktiviti-aktiviti lasak seperti berakit, merentas hutan, meneroka gua, mendaki gunung dan banyak lagi.
Di wet park terdapat Jungle Wave Pool yang memiliki kolam berombak yang terbesar di Malaysia, Adventure River pula adalah di mana anda dapat mengelilingi sungai buatan yang agak panjang dengan menaiki pelampung. Aktiviti-aktiviti lain di wet park ini adalah seperti Sandy Bay, Kids Explorabay, Cliff Racer dan Tube Raiders.
Aktiviti-aktiviti ini mungkin kedengaran agak lasak, namun jangan risau, permainan-permainan ini dibahagikan mengikut kesesuaian umur dan kemampuan pengunjung, jadi datanglah bersama ahli keluarga anda ke sini untuk memberikan mereka pengalaman yang tidak akan dilupakan!
Waktu Operasi: Isnin – Jumaat kecuali Khamis (11.00am – 6.00pm) | Sabtu, Ahad, Cuti Sekolah & Cuti Umum (10.00am – 6.00pm) | Khamis (Tutup). Telefon: +605 5428888. Lokasi: No.1, Persiaran Lagun Sunway 1, Sunway City Ipoh, 31150 Ipoh
Terletak berdekatan dengan Gunung Rapat dan 5 km dari bandaraya Ipoh adalah sebuah gua batu kapur yang besar digelar Gua Kek Look Tong. Pada tahun 1960, gua ini dijadikan tapak perlombongan besi. Kini, ia merupakan tokong Buddha yang telah memenangi pelbagai anugerah kerana keindahan lanskap taman yang ada disebalik gua ini. Siapa menyangka akan diraikan dengan pemandangan yang sebegitu indah sebaik sahaja keluar daripada terowong gua ini?
Sebaik sahaja anda sampai ke taman ini, anda akan dapat mendengar keriuhan burung-burung dan angsa yang dipelihara di sini. Yang lebih menarik lagi, anda boleh beriadah di sini kerana terdapat jalan yang disediakan untuk berjogging mengelilingi dua tasik yang indah. Taman ini juga memiliki salah satu daripada laluan refleksologi pejalan kaki yang terpanjang di Ipoh.
Waktu yang terbaik untuk anda melawat gua dan taman ini adalah pada waktu pagi supaya anda dapat menikmati keindahan taman ini di samping udara yang menyegarkan.
Waktu Operasi: Setiap hari termasuk hari cuti umum (7.00am – 6.00pm)/ Telefon: +605-312-81129. Lokasi: Kek Look Tong, Gunung Rapat, Ipoh
Art of Old Town persis namanya merupakan sebuah destinasi yang dihiasi dengan ilustari-ilustrasi kreatif pada dinding-dinding bangunan di sini. Ilustrasi-ilustrasi ini telah dihasilkan oleh Ernest Zacharevic, seorang seniman yang menerima pengiktirafan dunia atas lukisan-lukisan mural yang beliau hasilkan di sini. Beliau juga turut terlibat dalam penghasilan seni jalanan di New York.
Mural dinding yang terdapat di sini diinspirasikan daripada budaya masyarakat Ipoh. Masa yang diambil untuk melihat keseluruhan Art of Old Town ini adalah lebih kurang 30 minit. Anda perlu berjalan sekitar Market Street, Jalan Tun Sambanthan, Jalan Padang, Jalan Bijeh Timah dan Concubine Lane 3. Jangan lupa membawa kamera anda sekali untuk mengabadikan diri anda dengan karya-karya kreatif ini.
Terletak di Jalan Tunku Abdul Rahman yang sebelum ini dikenali sebagai Jalan Kuala Kangsar adalah sebuah taman rekreasi yang dikelilingi pemandangan alam semulajadi. Sebelum tiba ke taman rekreasi ini, anda perlu menaiki bot yang akan membawa anda menyeberangi tasik ditemani dengan lanskap indah bukit batu kapur.
Setibanya di taman rekreasi ini, anda akan dapat melihat air terjun buatan manusia di atas bukit batu kapur. Untuk anda yang membawa anak pula, taman rekreasi ini turut dilengkapi dengan taman permainan dan juga mini zoo. Selepas berjalan-jalan anda boleh menaiki menara tinjau untuk menikmati keindahan taman sepuas-puasnya sebelum pulang.
Bayaran Bot: Dewasa RM3 | Kanak-kanak 3 – 12 tahun RM1.50 | Warga emas 55 tahun ke atas RM1.50. Telefon: +605-5063088. Lokasi: Taman Rekreasi Gunung Lang Off Jalan Kuala Kangsar, 30010 Ipoh
Rumah yang dipenuh dengan ilusi optikal dan magikal ini dibuka pada tahun 2015. Masa yang diambil dalam proses menyiapkan semua lukisan-lukisan ini adalah dalam sekitar empat bulan. Terdapat lapan orang pelukis yang terlibat dalam projek ini.
Fantasy House Trick Art memiliki empat bahagian yang berbeza antara satu sama lain dari segi tema mereka. Pertama adalah galeri yang memaparkan bandaraya Ipoh, yang kedua adalah bahagian rumah terbalik ataupun upside-down house, yang ketiga adalah dunia fantasi dan yang terakhir sekali bertemakan Bilik Penderaan.
Pasti anda pernah melihat bukan gambar-gambar pengunjung yang pernah datang ke tempat ini? Amat menarik. Anda juga akan dapat pulang dengan foto-foto yang pasti akan menjadi kerana kakitangan-kakitangan di sini akan membantu anda mendapatkan gambar yang sempurna secara percuma.
Bayaran Masuk: Dewasa dengan MyKad RM15 | Dewasa tanpa MyKad RM19 | Pelajar dengan kad pelajar RM10 | Warga emas 60 tahun dan ke atas RM10 | Kanak-kanak RM10 | Pemegang kad OKU Percuma
Waktu Operasi: Isnin – Jumaat (9.00am – 6.00pm) | Sabtu, Ahad, Cuti Umum (9.00am – 8.00pm). Telefon: +605 2550 007. Lokasi: Funtasy House Trick Art 16, Jalan Market, 30000 Ipoh.
Pembinaan Stesen Keretapi Ipoh dimulakan pada tahun 1914 dan dapat disiapkan pada tahun 1917 akibat Perang Dunia Pertama yang mengakibatkan masalah bahan dan kos binaan. Bangunan yang turut diberi gelaran Taj Mahal Ipoh ini telah direka bentuk oleh seorang arkitek British bernama AB Hubback yang juga merupakan arkitek bagi Stesen Keretapi Kuala Lumpur. Rekabentuk bangunan ini tidak diubah sama sekali sehingga ke hari ini, yang dilakukan hanyalah pengubahsuaian dalaman bangunan ini pada tahun 1993.
Stesen keretapi ini sangat indah bukan hanya kerana seni binanya, malahan, ia dikelilingi oleh tumbuhan bunga-bungaan tempatan yang berwarna-warni. Kecantikan lokasi ini telah menarik perhatian Hollywood untuk merakamkan filem Anna and the King lakonan Jodie Foster di sini. Untuk penginapan pula, Majestic Hotel turut berkongsi bangunan dengan stesen keretapi ini.
Lokasi: Ipoh Railway Station, Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab, 30000 Ipoh
Kinta Riverfront ialah satu destinasi yang agak menarik untuk dilawati pada waktu malam kerana terdapat cahaya lampu LED yang dipasang pada pokok-pokok di sepanjang laluan sungai Kinta ini. Konsepnya sama seperti I-City di Shah Alam. Lampu-lampu berwarna-warni yang menerangi kawasan ini memberikan suasana yang agak romantik dan mengujakan. Ia memang lokasi yang sempurna untuk anda bergambar dengan yang tersayang.
Waktu Operasi: Setiap hari. Lokasi: Jalan Lim Bo Seng, 30000 Ipoh
Sekiranya anda suka mempelajari sesuatu yang baru, lawatilah muzium ini. Ditubuhkan pada tahun 1957, Muzium Geologi Ipoh ini merupakan tempat yang penting untuk memberi didikan kepada masyarakat tentang geologi dan geosains di Malaysia.
Penyusunan muzium ini juga adalah sangat teratur mengikut kesesuaian informasi yang disampaikan, ibarat anda membuka buku teks yang bermula dengan pengenalan dan berakhir dengan konklusi. Muzium ini terbahagi kepada tujuh bahagian iaitu dari A sehingga G. Anda akan mempelajari struktur geologi dan sejarah bumi serta bagaimana perlombongan mineral dilakukan. Di sini juga anda dapat melihat pameran pelbagai koleksi yang unik melibatkan batuan, batu permata, fosil dan mineral yang turut didatangkan dari luar negara. Tidak lupa juga pameran sampel-sampel bijih timah yang boleh ditemui di Lembah Kinta. Perjalanan anda di muzium ini akan ditutup dengan penceritaan tentang sumbangan geologi kepada manusia. Satu destinasi yang perlu anda lawati untuk menjadikan percutian anda lebih terisi lebih-lebih lagi untuk anak-anak yang mempunyai perasaan ingin tahu.
Bayaran Masuk: Percuma. Waktu Operasi: Isnin – Khamis (9.00am – 12.30pm & 2.00pm – 4.30pm) | Jumaat (9.00am – 12.00pm & 3.00pm – 4.30pm) | Sabtu, Ahad, Cuti Umum (Tutup). Telefon: +605-540 6000. Lokasi: Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia, Jalan Sultan Azlan Shah, 31400 Ipoh
Datanglah ke dataran ini sekiranya anda ingin berjalan-jalan cari makan di sekitar Ipoh. Terdapat banyak pilihan gerai dengan pelbagai jenis makanan yang dijual di sini, boleh kenyang juga perut melihat pilihan yang terlalu banyak. Contoh makanan yang anda boleh temui di sini adalah nasi kerabu ayam dara, pattaya banjir, sate kambing, char kuew teow, nasi itik, sup tulang, nasi goreng daging pedas, nasi ayam dan banyak lagi. Untuk pengetahuan anda, gerai-gerai yang terpilih sahaja yang boleh dibuka di sini, ini bermakna besar kemungkinan untuk anda berpuas hati dengan apa sahaja yang anda makan di sini.
Taman Alam Kinta menempatkan lebih daripada 150 spesies burung air. Dengan keluasan 900 hektar, taman ini memiliki populasi burung air yang lebih daripada 1000 ekor. Antara spesies yang boleh dijumpai di sini adalah burung panglim, wak-wak, raja udang, bangau, toing air dan banyak lagi. Anda juga boleh menaiki menara pemerhati burung yang disediakan di taman ini untuk melihat habitat-habitat pelbagai jenis burung ini seluas pemandangan anda.
Telefon: +6012-5009400. Lokasi: Taman Alam Kinta, Kampung Pisang, Batu Gajah, Ipoh, Perak
Terletak di bahagian tengah Dataran Bandaraya Ipoh adalah sebuah menara jam yang agak tinggi dan unik sekali reka bentuknya. Untuk anda yang ingin mengisi perut yang lapar, di sekitar Dataran Jam ini anda dapat melihat banyak gerai makanan yang dibuka. Dinasihatkan supaya anda datang ke kawasan gerai ini sekitar pukul 6 petang kerana agak ramai pengunjung yang datang ke sini untuk menikmati selera.
Pada asalnya masjid ini dinamakan Masjid Negeri (Perak) namun pada tahun 1984, masjid ini ditukarkan namanya kepada Masjid Sultan Idris Shah II untuk memperingati Sultan Idris Iskandar Shah II yang kembali ke Rahmatullah pada tahun itu.
Terletak di Bandaraya Ipoh, masjid ini mula dibina pada tahun 1966 yang memakan belanja sebanyak RM1,840,000.00. Batu asas masjid ini telah diletakkan oleh Allahyarham Tun Haji Abdul Razak yang merupakan Timbalan Perdana Menteri pada masa itu pada tahun 1967.
Lokasi: Masjid Sultan Idris II, Jalan Sultan Iskandar, 30000 Ipoh
Jika anda sedang merancang untuk bercuti ke ipoh dan berminat untuk melihat apa pilihan hotel yang menanti anda disana, kami telah menyediakan beberapa entri untuk memudahkan anda membuat pilihan. Mencari sesuatu yang istimewa? anda boleh melihat senarai 14 hotel menarik di Ipoh untuk pengalaman menginap luar biasa.
Jika anda perlukan penginapan yang memberi nilai paling baik untuk wang, anda boleh membaca senarai hotel murah di Ipoh. Amat sesuai untuk mereka yang sedang merancang percutian bajet ke Ipoh.
Bandaraya Ipoh bukan sahaja kaya dengan warisan sejarah yang dipelihara dengan baik, malahan, terdapat juga destinasi-destinasi pelancongan yang menarik yang baru dibuka dan bakal dibuka.
Untuk anda yang menjadikan fotografi sebagai hobi, jangan lupa untuk menjadikan Ipoh sebagai salah satu destinasi anda. Pelbagai lokasi yang menarik boleh dijadikan sebagai subjek ataupun latar belakang foto anda. Bandaraya yang meriah dengan bermacam tarikan seperti gerai-gerai makan, taman rekreasi, taman hiburan, lokasi-lokasi seni, dan gua-gua yang mengagumkan ini wajib dilawati untuk anda yang mendambakan satu pengembaraan yang menyeronokkan.
Akhir kata, terima kasih kerana meluangkan masa anda untuk membaca senarai tempat menarik di Ipoh ini. Saya berharap, pelbagai aktiviti yang menarik yang boleh anda rancang berdasarkan senarai ini. Apa yang anda tunggu lagi? Mari kita ke Ipoh!
sumber: maisinggah.com
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang
Ramai tidak sedar mereka melakukan kesalahan ketika menggunakan treadmill. Ketahui 5 kesalahan lazim yang boleh jejaskan prestasi, tingkatkan risiko kecederaan dan pelajari cara membetulkannya untuk hasil senaman lebih berkesan.