Di zaman moden ini segalanya agak sukar dan mencabar. Walau susah manapun dugaan yang bakal dihadapi, sebagai manusia, kita tetap akan mengharunginya dengan hati yang tabah serta usaha yang tidak berbelah bahagi.
Jika dahulu kita boleh menyara keluarga dengan hanya satu kerja sahaja dan perbelanjaan tidak sesukar hari ini. Namun, realitinya sudah berubah pada hari ini kerana sudah ramai orang yang sudah mula membuat 2 kerja dalam satu masa semata-mata mahu menyara keluarga.
Hari ini tidak pelik jika kita lihat orang kerja sebagai penghantar surat di siang hari, malam pula mengambil upah hantar makanan. Ini semata-mata mahu menyara anak dan keluarga.
Begitu juga dengan seorang graduan di sebuah universiti yang terkemuka di United Kingdom di mana dia sanggup bekerja sebagai tukang cuci. Dia melakukan sedemikian kerana semata-mata mahu membelikan tiket penerbangan untuk ibu bapanya melihat dia menggenggam segulung ijazah di negara asing.
Ikuti kisah perjalanan hidup Mohd Afiq yang diceritakan oleh rakannya Khairul Aiman Hamdan daripada bergelar seorang pemandu lori serta penternak kambing hinggalah graduan kelas pertama di UK.
“Tak payah bohong, cakap je aku dah tau Kelantan, kuat bau budu”. Satu bilik gelak.
Afiq berseloroh, dia tahu dia ‘kantoi’ dan aku tahu dia bercanda. Jarang sekali aku dengar, orang asal Subang, tapi bahasa Inggeris nya berloghat Kelantan. ?
Dan seperti biasa, aku suka untuk tahu latar belakang serta kisah anak-anak Malaysia yang belajar di luar negara. Semua orang ada kisah sendiri. Tambahan kisah-kisah inilah, yang buatkan hidup ini menarik. Ini mungkin cerita biasa bagi kalian, tapi bagi aku, kisah ini istimewa. Perlu aku kongsikan kisah anak muda ini dengan kalian.
Afiq, budak Kuala Krai dari Kampung Batu Mengkebang adalah legenda hidup yang aku bertuah dapat kenali. Umum, mungkin kerana aku asal bandar, bila dimomok cerita anak kampung berjaya ke menara gading atau berjaya dalam hidup adalah satu cerita klise. Mungkin selama ini aku sendiri tak pernah jumpa, maka penyebab aku tak pandang sebelah mata.
Ads
Bila aku teliti, pemegang biasiswa JPA ini punya cerita unik sendiri yang mahu aku tuliskan. Anak pasangan Ismail bin Abas dan Norma binti Abdullah ini merupakan seorang insan biasa, lahir di kampung biasa. Dengan ayahnya punyai kebun kelapa sawit dan kambing sebagai ternakan. Si ibu, suri rumah sepenuh masa dan kadangkala buat kerja sampingan jualan kain di kampung.
“Berapa adik beradik kau?”
‘Dua bang, tapi abang saya kelainan upaya. Kaki dia tak kuat macam kita. Jadi saya seorang yang tolong baba jaga kebun dan kambing”.
‘Saya dari kecik sekolah asrama bang. Sekolah pondok. Dari darjah empat, jauh sekolah saya, baba hantar untuk saya belajar elok. Boleh ubah nasib keluarga”.
‘Masa saya tingkat 1, saya masuk sekolah agama swasta. Baba nak bagi terbaik, dia bayar mahal. Yuran sebulan rm300. Dia kerja keras nak bagi segala yang termampu. Cuma masa saya PMR, saya kena keluar sekolah tu, sebab keputusan saya tak dapat ikut capaian minimum”.
“Berapa kau dapat?”
‘4A 4B 1C, masa tu saya sedih sangat. Tak dapat nak banggakan baba dengan umi. Saya anak harapan tapi tak dapat bagi apa-apa. Baba dengan umi ok je, tapi sayalah yang sedih’
“Habis tu, macamana kau boleh sampai sini (UK)?”.
‘Pulun bang, saya pindah sekolah lain, dapat masuk kelas akaun. Dari situ saya dapat rasa, saya minat nombor. Saya tengok matematik saya suka, kira kira saya suka. Bila peperiksaan percubaan saya dapat 9A, semua orang pandang. Masa tu memang saya tak pandang belakang bang. Saya usaha sehabis baik lagi, alhamdulillah SPM saya dapat 10A1B”.
Ads
“B apa?”
‘Bahasa Arab’ aku dengan dia gelak sama-sama. Orang kita, bukan ditanya 10A tu apa, tapi tanya yang B tu dulu.
Dia ada cerita dengan aku, zaman remaja dia memang banyak dibesarkan dengan kerja kebun dan jaga kambing. Asal ada masa cuti sekolah, jarang sekali dia jadi macam remaja lain, bercuti atau ke kelas tambahan. Dia tahu tanggungjawab dia adalah dengan keluarga, susah senang dengan keluarga.
Kalau biasanya, dia akan makan singgang sebagai makanan kegemaran dan lauk ayam bukanlah suatu yang biasa. Bukan kerana tak mampu, tapi dah jadi kebiasaan untuk berjimat, makan biasa atau bukan bermewah. Selalunya cuma nasi lauk sayur dengan ikan kering pun dah cukup lega bagi mereka sekeluarga.
Selepas keputusan SPM yang cemerlang, dia ditawarkan pengajian A level kelolaan Intec di Shah Alam, selesai A level terus ke University of Essex dalam pengajian Akaun dan Kewangan.
“Lepas kau tahu kau terbang kau buat apa?”
‘Ba paling bangga bang, dia tumbang lembu seekor dan kambing seekor. Setakat ni tak ada lagi anak kampung saya terbang gi UK. Senyum sungguh dia. Alang alang dah nazar, saya botakkan kepala’
“Tak bang, tapi dah nazar. Sebab tu masa dekat Intec, saya pakai kopiah. Langsung saya kena panggil budak kopiah. Bila rambut dah panjang, saya free hair ??”.
Aku gelak besar. Ada saja akal budak sekolah agama ni. Ketika belajar di Essex, Afiq bekerja Part time sebagai tukang cuci di Universiti.
“Aku tengok banyak jam kau kerja ni. Dah macam staff sepenuh masa, kenapa?’
” Saya nekad bang, alang alang saya tak balik dua tahun, saya nak umi dengan baba datang masa saya graduation. Bila saya terima ijazah, saya nak umi dengan baba ada ketika itu. Saya harap mereka bangga dengan saya. ”
” Maksud kau dengan kerja banyak jam ni?”
” Yalah, saya nak pulun lah kerja banyak bang. Dapat duit. Umi dengan baba tak pernah naik kapal terbang. Saya nak bayar tiket mereka naik flight datang sini, sebagai hadiah buat mereka yang besarkan saya sampai saya berjaya tamatkan pelajaran bang. Seumur hidup, saya hanya nak bagi hadiah terbaik buat mereka. Bukan setakat senggengam ijazah, tapi pengalaman berharga buat mereka untuk dapat tengok anak sendiri terima ijazah”‘.
Aku terdiam. Hadiah apa yang aku pernah bagi untuk mak ayah aku?
Hari ini, hari paling gembira buat kedua umi baba Afiq. Dari Kuala Krai ke Kuala Lumpur dengan bas, singgah dirumah saudara sebelum terbang buat pertama kali di dalam 54 tahun hidup mereka. Dari KLIA pula transit ke Abu Dhabi, lalu Ke Heathrow, hinggalah ke Colchester. Perjalanan paling panjang dari hidup mereka.
(Oh ya, umi baba afiq tak boleh berbahasa Inggeris. Apatah lagi ini kali pertama mereka ke luar negara. Naik kapal terbang pun tak pernah. Jadi Afiq, tumpangkan umi baba nya terbang bersama ibu rakan Afiq yang turut terbang ke mari untuk majlis graduasi. Risau dia kalau nak lepaskan umi baba terbang sendirian).
Hari ini akhirnya semua jasa umi baba nya terbalas bila dapat tengok anak harapan di atas pentas dengan Ijazah Kelas Pertama. Afiq juga akan mula bekerja di salah satu syarikat perakaunan terbesar di negara (Big Four). Perasaan bangga bukan kepalang. Gugur air mata kedua ibu bapa ini. Moga Afiq terus berpijak di bumi yang nyata dan dapat terus menggembirakan kedua umi dan babanya.
Dari tarik kelapa sawit, jaga kambing, hingga bawak lori, hari ini, anak itu pegang Ijazah paling berharga. Graduan kelas pertama, kursus Perakaunan dan Kewangan, University of Essex. Balasan buat ayah ibu. Aku tumpang bangga.
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang
Negara kita telah kehilangan seorang lagi tokoh negarawan yang cukup disegani. Bekas Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi, yang cukup dikenali dengan panggilan mesra ‘Pak Lah’, telah menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 7.10 malam tadi di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.
Berita pemergian tokoh yang terkenal dengan sifat sederhana dan tenang ini disahkan sendiri oleh menantunya, Khairy Jamaluddin, menerusi satu hantaran penuh penghormatan di laman media sosial Instagram beliau.
Dalam kenyataannya, Khairy menulis: “Tun Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia kelima, telah kembali ke rahmatullah pada jam 7.10 malam di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur.”
Khairy menitipkan doa, “Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan menempatkannya dalam kalangan orang-orang yang beriman serta beramal soleh.”
Legasi ‘Pak Lah’
Dilahirkan pada 26 November 1939 di Bayan Lepas, Pulau Pinang, perjalanan Tun Abdullah dalam arena politik negara bukanlah singkat. Beliau merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam Pengajian Islam dari Universiti Malaya pada tahun 1964.
Sebelum memegang jawatan tertinggi negara, Allahyarham pernah menyandang pelbagai portfolio penting kabinet, termasuk sebagai Menteri Luar Negeri dan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, membuktikan pengalaman luas beliau dalam pentadbiran.
Pak Lah mengambil alih tampuk pimpinan negara daripada Tun Dr Mahathir Mohamad pada 31 Oktober 2003.
Sepanjang enam tahun pentadbirannya sehingga 3 April 2009, beliau memperkenalkan gagasan Islam Hadhari, yang menekankan pendekatan Islam yang progresif dan menyeluruh. Selain itu, beliau turut memberikan fokus kepada pembangunan modal insan dan integriti dalam jentera kerajaan.
Gaya kepimpinan beliau yang tenang, berhemah, dan mudah didekati membuatkan beliau disenangi ramai dan dikenang sebagai pemimpin berjiwa rakyat.
Kehidupan Peribadi
Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi meninggalkan seorang balu, Tun Jeanne Abdullah.
Beliau juga mempunyai cahaya mata hasil perkahwinan terdahulunya dengan Allahyarhamah Tun Endon Mahmood, antaranya Nori Abdullah yang merupakan isteri kepada Khairy Jamaluddin.
Pemergian Tun Abdullah Ahmad Badawi adalah satu kehilangan besar buat negara. Sumbangan dan legasi kepimpinan beliau, terutamanya dalam mempromosikan kesederhanaan dan integriti, akan sentiasa terpahat dalam lipatan sejarah Malaysia.
Sama-samalah kita mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT. Al-Fatihah.
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang
“Bukan mudah untuk berdiri sekadar dengan tiket anda seorang pereka fesyen, tahun 2019 selain adanya butik baru di Kelantan, saya juga bakal keluar dengan satu projek mega iaitu Ezuwan Ismail Wedding. Ini adalah sebuah projek di mana saya sendiri dan team akan merancang sendiri majlis perkahwinan pelanggan dari mula sehinggalah ke akhir majlis mereka. Di Ezuwan Ismail Wedding, kami menyediakan pakej pelamin, foto, resepsi, pakaian dan katering khas buat bakal pengantin juga keluarga. Saya memandang ini dari sudut yang positif kerana setiap kali saya menghasilkan rekaan perkahwinan yang eksklusif, pelanggan VVIP saya pasti bertanya mengenai pakej-pakej ini, jadi inilah masa yang sesuai untuk saya serius dalam dunia perancang perkahwinan pula. Perniagaan seperti ini bukan bahan dagangan, perlu perancangan terperinci dan pasukan yang besar, maka 2019 adalah tahun terbaik untuk saya merealisasikan impian raja sehari yang inginkan sentuhan sepenuhnya dari Ezuwan Ismail.”
Berkongsi sedikit mengenai rekaannya di pentas peragaan Kuala Lumpur Fesyen Week 2019 yang lalu, dia mengambil penuh inspirasi retro dan seni pop dan dijadikan konsep utama peragaan. Tujuannya hanya satu iaitu ingin mengabadikan ikon seni negara, Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan Saloma dalam setiap rekaannya. Menghimpunkan 18 rekaan, dengan 12 wanita dan enam rekaan lelaki, Ezuwan menggunakan fabrik denim, neoprene, sifon, net, dutchess dan kapas kerana semua fabrik ini mempunyai keistimewaan serta selesa digayakan. Hadir dengan rona terang seperti kuning, merah jambu, biru dan merah, ia bersesuaian dengan tema seni pop yang memaparkan keceriaan serta kegembiraan.
“Tujuan utama pemilihan konsep ini adalah sekadar ingin menghubungkan fesyen sebagai medium perantara dalam mengembalikan nostalgia agung biduan dan biduanita negara. Daripada mengagungkan imej antarabangsa seperti Marilyn Monroe dan kartun Marvel, mengapa tidak karya hebat ini disimpan dan ditempatkan dalam kedudukan tertinggi, seterusnya menjadi simbolik kebanggaan rakyat Malaysia. Selain saya tidak mahu koleksi kali ini nampak terlalu berat untuk diterima ramai. Sebab itulah imej kartun ini ditampilkan dalam setiap rekaan busana. Ia kelihatan lebih diingati dan nampak hidup. Lebih indah ia adalah material dari hasilan rekaan pelukis tempatan dan dicetak di atas fabrik dengan proses pembikinan mengambil masa hampir dua bulan,” jelasnya yang turut mengagumi pereka baru meningkat naik dari label Seth & Luna.
PRIMA VALET REALISASI IMPIAN SEMUA GOLONGAN
Sebut sahaja Prima Valet, ia adalah sebuah gedung fesyen pelbagai jenama yang menjadi pilihan ramai pada hari ini dengan moto “Fesyen Untuk Semua”. Industri fesyen tanah air semakin berkembang maju dan mendapat perhatian dalam kalangan masyarakat tempatan.
Menjadi lumrah setiap insan ingin kelihatan menawan dalam setiap pengayaan di samping menitik beratkan soal kualiti dan tawaran harga yang dipasarkan. Melihatkan keadaan ekonomi yang kian mencabar, ramai penggemar fesyen lebih selesa memilih koleksi pakaian mampu milik tetapi masih mengekalkan nilai eksklusif. Maka Prima Valet diwujudkan berperanan sebagai pusat sehenti yang menghimpunkan pelbagai jenama daripada pereka-pereka baharu dan memberi peluang kepada semua lapisan golongan untuk merasai sendiri koleksi hasil tangan pereka tempatan.
Penubuhan dan pembukaan Prima Valet ini adalah salah satu cara untuk membolehkan pembeli melihat dan merasai sendiri secara lebih dekat koleksi rekaan-rekaan yang jika sebelum ini hanya boleh dilihat menerusi alam maya sahaja. Menghimpunkan pemilik jenama pakaian yang semakin kukuh di negara ini, jelas menunjukkan rekaan anak tempatan kini semakin mendapat sambutan hangat daripada penggemar fesyen tanah air terutamanya bagi golongan anak muda dan belia.
“Sebagai pereka, saya juga bertanggungjawab untuk melihat peminat label saya yang kurang berkemampuan turut mempunyai koleksi istimewa Ezuwan Ismail. Tanpa disedari kehadiran Prima Valet sebagai pusat sehenti fesyen mampu milik sedikit sebanyak merealisasikan impian pencinta fesyen tempatan. Kami para pereka juga selebriti bertindak sebagai pemangkin utama menggerakkan perniagaan ini bersama-sama.
Kini Prima Valet semakin berkembang dengan terdirinya dua cawangan di Kelantan, iaitu di KB Mall dan Pasir Tumbuh. Selain itu satu cawangan di Wangsa 118, Wangsa Maju dan gedung utama di Ostria Bangi. Jadi buat anda yang inginkan koleksi Ezuwan, boleh terus datang ke butik Prima Valet kerana harga yang ditawarkan sangatlah berpatutan dan berkualiti tinggi,” akhirnya menutup bicara bersama Maskulin.
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang
Aktiviti hiking sekarang dah jadi budaya dalam kalangan rakyat Malaysia, terutama lelaki yang nak jaga stamina, kecergasan dan kesihatan mental. Tapi bayangkan, lepas sejam dua mendaki, badan dah berpeluh, tekak haus, tiba-tiba nampak ada teh ais ikat tepi sejuk-sejuk? Confirm layan!
Baru-baru ini, tular satu video dekat TikTok (@kaki_jalann) yang merakam momen unik di Bukit Tok’Kun, Pulau Pinang. Seorang peniaga gigih naik ke puncak sambil bawa bekalan teh ais untuk dijual — style betul!
‘Berniaga Dari Beg Galas’ – Macam Stall Bergerak Atas Bukit
Lelaki yang dikatakan pendaki tegar Bukit Tok’Kun ni, siap bawa beg galas besar berisi bekas ais, beberapa botol teh ais, teh hijau susu dan segala keperluan untuk bancuh air ikat tepi.
Lebih mantap, dia turut bawa plastik ikat tepi, pengikat getah dan straw. Confirm padu, minuman ready-to-go terus lepas order. Harga? Hanya RM5 satu plastik — berbaloi kalau nak legakan tekak lepas penat mendaki.
Menurut video tersebut, lelaki ni memang selalu naik Bukit Tok’Kun. Kadang-kadang semata-mata nak berniaga, kadang-kadang naik sebab nak jaga stamina. Sambil-sambil boleh buat duit halal, steady betul mentaliti dia!
Netizen Puji, Bijak Ambil Peluang & Kreatif Cari Rezeki
Ruangan komen pun penuh dengan pujian. Ramai yang kagum dengan usaha lelaki ni. Mana tidaknya, bukan senang nak pikul beg besar penuh ais dan air naik sampai puncak. Tapi dia sanggup buat demi rezeki halal dan mudahkan orang lain.
Ada juga yang kongsi pengalaman, kata minuman sejuk atas bukit ni memang priceless, lebih-lebih lagi bila dah penat, haus, dan lupa bawa air sendiri. Memang timing dia tepat!
Dalam masa sama, ramai yang lihat usaha macam ni sebagai motivasi — sambil hiking jaga kesihatan, sambil support anak muda cari rezeki.
Jaga Alam Sekitar, Baru Aktiviti Hiking Lebih Padu
Tapi bro, jangan lupa bab paling penting — kebersihan! Usaha peniaga tu dah cukup kreatif, jadi kita sebagai pendaki atau pelanggan, kena ada kesedaran juga.
Tip Etika Hiking + Minum Teh Ais Atas Bukit:
✅ Jangan buang plastik air merata-rata, simpan dalam beg sampai jumpa tong sampah.
✅ Sisa ais atau air? Pastikan tak tumpah sembarangan, kawasan tak jadi licin.
✅ Tegur atau nasihat kawan-kawan lain kalau nampak buang sampah merata.
Kalau semua orang jaga etika ni, aktiviti hiking bukan saja sihat untuk badan, tapi sihat untuk alam sekitar juga. Bonus dapat minuman ikat tepi yang buatkan pengalaman hiking lebih memorable.
Lelaki ni dah buktikan, asalkan ada semangat, atas puncak bukit pun boleh cari rezeki. Hiking bukan sekadar cabar diri, tapi platform untuk bantu orang lain dan cipta kenangan unik. So next time panjat Bukit Tok’Kun, mana tau boleh pekena teh ais ikat tepi atas awan.
Kemsite memperkenalkan konsep “Outdoor Inside” di The Gardens Mall, membawa gaya hidup outdoor ke ruang urban dengan jenama premium dan pengalaman eksklusif yang menggabungkan alam, rekaan dan keselesaan moden.