
Selepas lebih sedekad menyepi daripada perhatian umum, kumpulan alternatif rock tempatan, Disagree akhirnya kembali bersuara menerusi single baharu berjudul “Let’s Do It All Again” yang dilancarkan secara rasmi pada 15 Mei 2026.
Kemunculan semula kumpulan yang pernah menjadi antara nama besar dalam arena alternatif rock Malaysia itu nyata memberi keterujaan buat peminat lama yang membesar bersama karya-karya mereka pada era 2000-an.
Disagree kini tampil semula dengan barisan asal terdiri daripada Zahid, Hamka dan Taa, namun dengan pendekatan muzik yang lebih matang serta sarat dengan emosi dan refleksi perjalanan hidup mereka sepanjang lebih sedekad meninggalkan dunia muzik.

Single baharu tersebut juga menjadi pembuka tirai kepada album penuh akan datang berjudul “Black & White in Colour”.
“Kami Tak Sempat Ucap Selamat Tinggal”
Menurut Disagree, kemunculan semula mereka bukan sekadar didorong nostalgia semata-mata, tetapi hadir daripada rasa bahawa perjalanan mereka sebagai sebuah kumpulan sebenarnya belum benar-benar selesai.
“Kami sebenarnya tidak sempat mengucapkan selamat tinggal,” ujar kumpulan itu.
“Kehidupan terus berjalan, begitu juga kami. Tetapi di suatu titik, ada sesuatu yang kami tinggalkan tanpa penyelesaian.”

Mereka mengakui perubahan kehidupan, komitmen keluarga dan fokus terhadap kerjaya masing-masing sebelum ini menyebabkan Disagree secara perlahan-lahan membawa haluan sendiri dan berehat daripada dunia muzik.
Namun, hubungan dengan peminat serta rasa rindu terhadap muzik ternyata tidak pernah benar-benar hilang.
Malah, sempena kemunculan kali ini, Disagree merancang untuk kembali mendekati peminat menerusi siri interaksi eksklusif, perkongsian cerita di sebalik muzik mereka serta beberapa penampilan khas di seluruh negara.
Lagu Tentang Kepulangan & Penyesalan
“Let’s Do It All Again” disifatkan sebagai sebuah anthem penuh emosi yang mengangkat tema kepulangan, penyesalan dan penghargaan terhadap peminat yang setia menunggu mereka selama ini.
Menurut kenyataan media tersebut, lagu ini mengisahkan perjalanan sebuah kumpulan yang suatu ketika dahulu memiliki segalanya sama ada semangat, hubungan kuat sesama ahli dan sokongan peminat. Dan semua ini perlahan-lahan menghilang tanpa penutup cerita yang jelas.
“Pada terasnya, lagu ini merupakan surat permohonan maaf yang ikhlas untuk memperbetulkan keadaan, serta satu undangan untuk kembali berhubung.”

Mereka turut menyifatkan lagu tersebut sebagai karya yang nostalgik tetapi masih memandang ke hadapan, menggambarkan bahawa sesebuah pengakhiran mungkin sebenarnya hanyalah satu jeda dalam perjalanan hidup.
Menariknya, proses rakaman lagu dilakukan di Malaysia dan Australia sebelum diadun dan diterbitkan oleh pemenang pelbagai anugerah AIM, Greg Henderson.
Ia kemudiannya dimaster oleh pemenang Grammy, Leon Zervos di Studios 301, Australia.
Dari Suara Anak Muda Ke Perspektif Lebih Matang
Buat peminat muzik alternatif tempatan, nama Disagree bukan asing dalam landskap muzik era awal 2000-an.
Mereka dikenali dengan identiti indie progressive rock berbahasa Inggeris yang cukup unik ketika itu menerusi lagu-lagu seperti “Crumbs”, “Suicide Note”, “Scarecrow Adams”, “Osaka” dan “Haley”.
Disagree juga pernah menjadi antara nama tetap dalam festival ikonik Rock The World selain berkongsi pentas bersama kumpulan antarabangsa seperti Hoobastank dan The All-American Rejects.
Sepanjang karier mereka, kumpulan ini turut mencipta pelbagai pencapaian termasuk memenangi tiga Anugerah Industri Muzik (AIM) dan menerima pengiktirafan sebagai album paling pantas terjual daripada Universal Music Malaysia pada tahun 2005.
Namun menurut Disagree, jika dahulu mereka dikenali dengan intensiti emosi grunge dan suara anak muda, kini mereka hadir dengan perspektif lebih matang.
“Kami masih kumpulan yang sama di hati.
“Cuma kini lebih matang, sedikit rapuh di beberapa sudut, tetapi lebih tekad dan bersemangat berbanding sebelum ini.”
Mereka menjelaskan bahawa muzik Disagree hari ini masih berakar pada bunyi grunge dan alternatif rock, tetapi kini diperkaya dengan penceritaan hidup, emosi dan refleksi yang lebih mendalam.
BACA: Hyunjin Stray Kids Jadi Wajah Baharu GUESS, Buka Era Baharu Fesyen Denim Ikonik
Album Baharu Sarat Emosi
Album penuh “Black & White in Colour” pula bakal membawa pelbagai tema berat dan emosional termasuk patah hati, trauma, pergolakan hidup, hubungan semula serta kepercayaan.
Menurut mereka, setiap lagu dalam album itu menggambarkan fasa berbeza dalam evolusi perjalanan Disagree, tentang daripada siapa mereka dahulu, apa yang telah hilang dan siapa mereka hari ini.

Walaupun senarai lagu masih dirahsiakan, album tersebut dianggap sebagai simbol penutup dan kelahiran semula buat kumpulan itu serta para peminat yang membesar bersama muzik mereka.
“Lebih daripada sekadar kemunculan semula, ia mencerminkan bahawa identiti kumpulan ini sentiasa dibentuk oleh mereka yang mempercayai mereka.
“Tanpa peminat, mereka tidak lengkap, menjadikan kemunculan semula ini bukan sekadar kebangkitan, tetapi satu perjalanan yang penuh makna kembali ke persada muzik,” tambah Disagree lagi.
Welcome back guys!
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang




