Kemunculan bulan Ogos sememangnya cuup istimewa di hati rakyat Malaysia. Apa tidaknya pada penghujung bulan ini atau lebih tepat pada 31 Ogos kita semua akan menyambut Hari Kebangsaan.
Setiap kali sambutan Hari Kebangsaan berlangsung kita juga akan sentiasa dihidangkan dengan pelbagai iklan dan kempen menarik dari pelbagai pihak bagi mencetuskan semangat patriotisme yang lebih mantap.
Bila bercakap tentang iklan sambutan hari kebangsaan atau kemerdekaan kita pasti tidak akan lupa tentang kisah iklan mencuit hati di antara dua kanak-kanak bernama Tan Hong Ming dan Ummi Khazriena.
Walau iklan tersebut hanya berdurasi selama 33 saat sahaja, namun impak yang dihasilkan oleh iklan bertajuk ‘Tan Hong Min In Love’ kekal sehingga ke hari ini. Itu hasil magis yang ditinggalkan oleh karyanan unggul tanah air, Allahyarham Yasmin Ahmad.
Menerusi iklan istimewa yang disiarkan pada tahun 2007 itu menonjolkan bagaimana seorang budak lelaki bernama Tan Hong Ming dengan penuh keikhlasan, naif dan selamba menceritakan kisah cinta pertamanya dengan rakan sekelas Ummi Khazriena Skhrudin. Sifat tanpa mengenal erti bangsa, warna kulit dan agama dilihat berjaya menyampaikan mesej keharmonian kaum kalangan rakyat Malaysia sehingga kini.
DIGABUNGKAN SEMULA
Boleh dikatakan setiap tahun pasti ramai yang bercerita tentang kecomelan mereka berdua yang tampil menerusi iklan tersebut. Dan kini selepas kira-kira 15 tahun, Tan Hong Min dan Ummie Khazriena disatukan kembali menerusi satu iklan Merdeka yang diterbitkan oleh pengeluar jersi sukan dan gaya hidup terkemuka yang berpengkalan di Pulau Pinang, Lokalteez dan Teamwear.
Menerusi video berjudul ‘Ummi & Tan Hong Ming: Remembering Yasmin AhmAd’, pada mulanya mereka kelihatan cukup malu-malu. Apa tidaknya mereka sudah lama tidak bertemu mata. Walaupun begitu jauh di sudut hati mereka berdua cukup teruja kerana dapat bertemu semula. Keakraban di antara mereka juga tidak dapat dinafikan masih wujud dengan cukup baik sekali.
Jelas Ummi kali terkahir mereka berdua berjumpa ialah pada tahun 2016 untuk sebuah iklan. Kemudian masing-masing seakan sibuk dengan urusan peribadi masing-masing dan jarang berhubung.
Ummi yang kini bertugas sebagai seorang eksekutif dan Tan Hong Ming pula baru saja menamatkan pengajian dalam bidang psikologi dari Sunway University sempat mengimbas kenangan bekerja di bawah arahan pengarah tersohor, Yasmin Ahmad.
Bila ditanya tentang pendapatnya tentang Arwah Yasmin Ahmad, Tan Hong Ming dengan teruja menyarakan pendapatnya. “Arwah Yasmin Ahmad berjaya menyerlahkan rasa muhibah dalam karyanya. Dan saya rasa itulah kualiti terbaik yang ada pada Yasmin Ahmad.
Manakala bagi Ummi pula dia berpendapat Arwah Yasmin Ahmad sebagai seorang insan seni yang mempunyai bakat sangat luar biasa. Disebabkan itulah menerusi karyanya dia berjaya mengeluarkan rasa dan jiwa.
“Bagi Ummi, dia adalah seorang dalam sejuta”, tambahnya lagi.
Anda boleh ikuti temu bual di antara Tan Hong Ming dan Ummi Khazriena menerusi video dari Lokalteez di bawah:
Selamat menyambut Hari Kebangsaan ke-65!
Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
KLIK DI SEENI