Dalam suasana Hari Raya yang penuh keceriaan, Kapten Mohammad Ghazi seorang juruterbang berusia 37 tahun, telah menarik perhatian dengan sikap murni dan inisiatif yang luar biasa.
Pada Hari Raya ketiga, beliau mengambil peluang untuk menggembirakan penumpang pesawat dengan memberi duit raya kepada kanak-kanak sebelum pesawat mendarat di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu, Kelantan.
Sikap Dermawan Kapten Mohammad Ghazi
Apa yang menjadikan kisah ini lebih istimewa adalah niat tulus Mohammad Ghazi yang ingin berkongsi rezeki dan menggembirakan hati orang lain, terutamanya pada musim perayaan.
“Niat saya hanya hendak berkongsi rezeki dan gembirakan mereka di Hari Raya kerana kebetulan giliran saya bertugas tahun ini,” ujar Mohammad Ghazi.
Sikap dermawan ini jelas menunjukkan bahawa beliau bukan hanya seorang juruterbang yang cekap, tetapi juga seorang insan yang peka dengan perasaan orang lain.
Dalam video yang tular di media sosial, Mohammad Ghazi dilihat berdiri di depan pintu pesawat sambil mengagihkan sampul duit raya kepada kanak-kanak yang menaiki pesawat.
Ads
Tindakan beliau yang tidak dijangka oleh ramai ini mendapat perhatian ramai, terutamanya bagi mereka yang menyambut Hari Raya di kampung halaman.
“Saya sedar ramai penumpang pulang beraya di kampung, jadi saya mahu beri sesuatu yang istimewa kepada mereka,” tambahnya.
Meneruskan Tradisi Pemberian Duit Raya
Walaupun sudah menarik perhatian ramai dengan tindakannya,Mohammad Ghazi berhasrat untuk meneruskan pemberian duit raya ini sepanjang bulan Syawal.
Beliau berharap dapat terus menggembirakan penumpang, khususnya kanak-kanak, yang mungkin tidak berpeluang merasai kegembiraan Hari Raya seperti kebiasaan.
Ads
Inisiatif ini menjadi satu tradisi yang menunjukkan nilai-nilai kemanusiaan yang tinggi dan mencerminkan semangat persaudaraan dalam masyarakat.
Apa yang paling menarik tentang kisah Kapten Mohammad Ghazi ini ialah keikhlasan dan kesederhanaan yang ditunjukkan.
Ads
Beliau tidak meminta perhatian atau pujian, namun apa yang dilakukan datang dari hati yang tulus.
Keikhlasan ini mengingatkan kita bahawa Hari Raya bukan sahaja tentang sambutan, tetapi juga tentang berkongsi kegembiraan dan rezeki dengan orang lain.
Tindakan kecil ini, meskipun tidak besar, mampu memberi makna yang mendalam kepada mereka yang menerimanya.
Sumber : Harian Metro
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang
Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin, meninggal dunia di sebuah hospital swasta di ibu kota pada hari ini, pada usia 86 tahun. Pemergian tokoh politik dan ahli perniagaan yang sangat dihormati ini disahkan oleh peguamnya, Datuk Dr Gurdial Singh Nijar, sebentar tadi.
Tun Daim berkhidmat sebagai Menteri Kewangan dua kali, yang pertama dari 1984 hingga 1991 di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau memainkan peranan penting dalam mengurus ekonomi Malaysia dan melaksanakan pelarasan struktur.
Walaupun beliau berada di luar kabinet selama tujuh tahun sejak 1991, Daim masih aktif terlibat dalam hal ehwal ekonomi negara atas pelantikan beliau sebagai penasihat ekonomi kepada kerajaan.
Beliau kemudian kembali untuk penggal kedua dari 1999 hingga 2001, sekali lagi di bawah Dr Mahathir, untuk menangani isu ekonomi berikutan krisis kewangan Asia.
Tun Daim Zainuddin dilahirkan pada 29 April 1938 di Alor Setar, Kedah. Beliau memulakan pendidikan awal di Sekolah Melayu Seberang Perak sebelum meneruskan pelajaran di Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH), Kedah dan Institut St Xavier, Pulau Pinang.
Berasal dari keluarga yang sederhana, usaha dan ketekunan Tun Daim membawanya ke Universiti Malaya di mana beliau menamatkan pengajian dalam bidang ekonomi.
Pendidikan formal yang diterimanya memberi asas yang kukuh untuk beliau menceburi dunia politik dan ekonomi negara.
Nama Tun Daim Zainuddin kembali mencuri perhatian pada 2018, apabila Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi menerajui kerajaan selepas kemenangan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Tun Daim, yang digelar sebagai “orang kanan” Dr Mahathir, dilantik mengetuai Majlis Penasihat Kerajaan.
Dalam kalangan wartawan, beliau turut dikenali sebagai “tokoh penuh misteri” kerana sering dikaitkan dengan spekulasi mengenai kekayaan dan pengaruhnya yang luar biasa.
Selain kerjaya politiknya, Tun Daim juga dikenali sebagai tokoh yang sangat berjaya dalam dunia perniagaan.
Beliau adalah pengasas dan penyokong utama kepada beberapa syarikat besar di Malaysia, terutamanya dalam sektor perbankan dan kewangan.
Sumbangannya dalam dunia korporat membolehkan beliau menjadi salah seorang ahli perniagaan yang dihormati di negara ini.
Tun Daim turut terlibat dalam pengurusan syarikat pelaburan negara seperti Khazanah Nasional, yang memainkan peranan penting dalam merancang dan menguruskan aset negara.
Kemampuannya untuk memahami hubungan antara sektor awam dan swasta membolehkan beliau memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi negara dan memastikan negara terus maju di peringkat global.
Sebagai seorang yang penuh dedikasi dan berwawasan, Tun Daim meninggalkan legasi yang tidak ternilai kepada Malaysia.
Beliau dikenang bukan hanya sebagai seorang Menteri Kewangan yang cemerlang, tetapi juga sebagai seorang penasihat ekonomi yang bijaksana dan seorang tokoh perniagaan yang berjaya.
Sumbangannya dalam merangka dasar-dasar ekonomi yang berkesan telah membentuk arah tuju ekonomi negara, membantu Malaysia mencapai kedudukan yang lebih stabil dan berkembang.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang
Jackie Shroff, nama yang tidak asing lagi dalam industri filem Bollywood, adalah seorang pelakon veteran yang telah berjaya mengekalkan popularitinya selama lebih dari empat dekad.
Baru-baru ini, figura ini berjaya mendapatkan hak perlindungan eksklusif berkaitan jenama dirinya termasuk imej, nama, suara dan personaliti.
Perkara itu diputuskan Mahkamah Tinggi Delhi, India selepas Shroff, 67, memfailkan tuntutan saman terhadap pihak yang menggunakan frasa serta imej mirip dirinya tanpa kebenaran.
Shroff berkata, dia gembira apabila pihak berkuasa mula memberi perhatian terhadap isu hak cipta selebriti di India yang sebelum ini sewenang-wenangnya dipergunakan dan dimanipulasi.
“Setelah sekian lama selebriti tidak mempunyai sebarang cara menentang penyalahgunaan identiti tapi akhirnya perkara itu mula berubah.
“Saya gembira mahkamah telah mengiktiraf dan melindungi hak-hak ini secara progresif,” katanya.
Mahkamah turut mengeluarkan perintah injunksi terhadap mana-mana pihak yang telah melakukan kesalahan serupa terhadap Shroff.
Di bawah ini adalah beberapa fakta menarik tentang beliau:
Nama sebenar Jackie Shroff ialah Jaikishan Kakubhai Shroff. Beliau dilahirkan pada 1 Februari 1957 di Mumbai, India. Jackie berasal dari keluarga yang mempunyai darah campuran Gujarat dan Turki.
Sebelum menceburi bidang lakonan, Jackie Shroff pernah bekerja sebagai model. Beliau mula mendapat perhatian apabila terlibat dalam iklan untuk jenama pakaian terkenal. Karier filemnya bermula apabila beliau ditemui oleh pembuat filem terkenal, Subhash Ghai, yang memberi beliau peluang dalam filem “Hero” pada tahun 1983.
Jackie Shroff bukan sahaja berlakon dalam filem Hindi, tetapi juga dalam filem Tamil, Telugu, Kannada, Bengali, Malayalam, Punjabi, Marathi, dan bahkan dalam filem antarabangsa. Keupayaan beliau untuk bertutur dalam pelbagai bahasa telah menjadikannya seorang pelakon yang serba boleh.
Sepanjang kerjayanya, Jackie Shroff telah menerima banyak anugerah dan penghargaan. Beliau telah memenangi Anugerah Filemfare untuk Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik sebanyak dua kali, serta menerima banyak pencalonan untuk pelbagai anugerah berprestij.
Jackie Shroff berkahwin dengan Ayesha Dutt, seorang penerbit filem dan bekas model, pada tahun 1987. Mereka mempunyai dua orang anak, seorang anak lelaki bernama Tiger Shroff yang juga merupakan seorang pelakon terkenal di Bollywood, dan seorang anak perempuan bernama Krishna Shroff yang merupakan seorang pengarah dan pengeluar filem.
Jackie Shroff aktif dalam pelbagai aktiviti sosial dan amal. Beliau terlibat dalam beberapa organisasi bukan kerajaan (NGO) yang berfokus pada kesejahteraan kanak-kanak, pendidikan, dan pemeliharaan alam sekitar.
Selain daripada berlakon, Jackie Shroff juga mempunyai minat yang mendalam terhadap pertanian organik dan berkebun. Beliau sering menghabiskan masa di ladangnya apabila tidak terlibat dalam penggambaran.
Jackie Shroff dikenali dengan imej “bapa yang penyayang” dalam banyak filemnya, dan ini menjadikannya popular di kalangan semua lapisan umur. Gaya unik beliau dan keperibadian yang mesra membuatnya disayangi oleh ramai.
Jackie Shroff terus menjadi salah satu figura yang dihormati dalam industri filem India, dengan sumbangan beliau yang tak ternilai kepada dunia perfileman. Keperibadian beliau yang menarik dan karier yang cemerlang menjadikan beliau sebagai ikon yang akan terus diingati sepanjang zaman.
Berdepan cabaran tatkala dunia diselubungi wabak COVID-19 telah memberikan pelbagai peringkat ujian kepada umat manusia. Tidak kira jantina, usia, pangkat dan pekerjaan boleh dikatakan kita semua terkesan dengan penularan wabak ini.
Bagi mereka yang berdepan masalah ekonomi, meneruskan kehidupan seharian merupaan satu ujian besar buat mereka. Dan dengan pelbagai dugaan ini jugalah muncul masalah bagaimana untuk tangani tekanan dan ketidaktentuan emosi.
Hari demi hari kita membaca berita atau atau laporan tentang pelbagai golongan berdepan masalah tekanan jiwa sehinggakan ada yang bertindak nekad mengambil nyawa sendiri.
Pada isu digital cover MASKULIN VOL. 2, kami sempat menemu bual aktor yang kini cukup disegani ramai, Ben Amir yang turut berkongsi rasa dan pengalaman bagaimana untuk membantu mereka yang berdepan masalah ini.
Lakonannya yang sering memaparkan seribu satu emosi terutamanya menerusi drama hit, ‘Sweet Dreams’ menjadikan Ben Amir sebagai antara pelakon yang paling ekspresif di negara kita sekarang.
Jadi tidak hairanlah jumlah pengikut serta peminat setianya semakin hari semakin ramai dan cukup setia menantikan perkembangan terbarunya. Ikuti temu bual MASKULIN bersama pelakon serba verstatil ini di bawah.
1. Perkembangan terkini serta projek baru yang bakal menyusul?
Buat masa sekarang banyak projek terpaksa ditangguhkan dahulu disebabkan PKP. InsyaAllah kalau segalanya okay, bulan depan saya akan mulakan penggambaran drama baru yang berkisarkan dunia undang-udang.
Di mana saya akan membawakan watak sebagai seorang peguam yang mengendalikan pelbagai kes jenayah. Ikut jadual, ia bakal ditayangkan pada September hadapan meerusi salah satu saluran Astro.
Kemudian ada juga terlibat dengan filem memegang watak sebagai perisik atau spy. Namun info lanjutnya saya masih belum boleh kongsi, cuma apa yang sata tahu ia sebuah filem komedi aksi. Ini juga projek menarik kerana pertama kali saya terlibat dengan genre komedi aksi.
2. Projek paling mencabar, apa yang membuatkan ia benar-benar memberi kesan kepada kerjaya?
Paling memberi kesan semestinya ‘Sweet Dreams’. Walaupun drama tersebut sudah ditayangkan dua tahun lalu namun masih ramai peminat yang masih ingat dan sering membicarakannya bersama saya. InsyaAllah hujung tahun ni kita akan shoot untuk musim kedua pula. Tak sabar untuk terlibat semula dengan karakter ini yang cukup mencabar.
3. Idola dalam dunia lakonan?
Kalau di Malaysia saya mengagumi Bront Palarae. Dia merupakan idola saya dalam lakonan kerana kariernya yang cukup kaya dan versatil. Dia boleh jadi kelajar, serius, dramatik dan segala macam emosi lagi dengan cara tersenduri. Manakala pelakon antarabangsa pula saya gemar lihat Denzel Washington dan Ryan Reynpolds. Mereka berdua juga sangat versatil mampu berlakon dalam pelbagai genre dengan berjaya.
4. Sering disalah erti disebabkan anda sejenis yang gemarkan privasi tetapi dilabel tidak mesra, pendapat anda?
Setiap orang ada perangai masing-masing dan pembawaan berbeza. Kalau dengan kawan kita lain, dengan orang pula kita lain. Saya dengan orang yang tidak berapa kenal, saya akan lebih berhati-hati dan reserve. Kalau sesiapa yang mengenali saya dengan rapat pasti tahu saya ni jenis banyak cakap juga. Siapa nak judge saya dengan macam tu terpulang pada mereka.
5. Ada terlibat dengan mana-mana kerja amal sepajang penularan pandemik ini?
Hujung tahun lepas saya ada lancarkan produk minuman tenaga, Bentamix. Dari situ kami anjurkan program stokis dan buka peluang untuk mereka yang terjejas seperti yang baru hilang kerja dan suri rumah untuk jana pendapatan. Jadi apa kita buat kita tolong untuk sama-sama berniaga dan jana pendapatan. Alhamdulillah, ada agen dapat jana pendapatan sehingga lima angka.
Kami juga ada juga buat program bersama badan sukan di Perak (MAKSAK) dengan beri sumbangan air vitamin dan barangan keperluan untuk lebih 200 buah keluarga yang memerlukan.
6. Pengurusan emosi amat penting tatkala musim pendemik, apa yang anda biasa lakukan jika mengalami masalah ini dan apa saranan anda mereka menangani stres sepanjang waktu ini.
Zaman pandemik memang ramai yang berdepan masalah emosi dan stres. Jadi kesihatan mental memang akan jadi isu besar di sebalik pandemik ini. Lain orang lain cara kendalikan tekanan. Tapi apa yang saya boleh kongsi, salah satu cara terbaik ialah makan makanan sihat.
Bila makan sihat, badan akan terasa lebih dan berfungsi sempurna. Good diet reflex pada hormon dan badan. Jadi jika badan cukup nutrien kita boleh handle stress dengan betul.
Dan satu lagi, kita kena bersenam. Ini kerana dengan senaman kita boleh release tekanan dan hilangkannya dengan baik serta berfikir dengan lebih waras. Senaman di rumah itu boleh dilakkan. Melakukan regangan badan juga sangat penting untuk rasalebih relaks dan badan pun rasa lebih baik.
7. Pernah atau tidak anda berhadapan dengan situasi atau individu yang mengalami masalah emosi melampau, apa yang anda akan lalukan jika berhadapan dengan situasi ini?
Ya, pernah. Apa yang saya buat ialah menjadi pendengar segala luahan mereka. Ketika emosi mereka tidak menentu, jadilah telinga yang baik dan setia mendengar. Paling penting perlu sentiasa ada di samping tatkala merea memerlukannya. Berikan perhatian terbaik.
8. Bagaimana pula anda menjaga emosi bila berhadapan dengan netizen yang sentiasa memberi komen negatif terhadap kerjaya anda.
Apa yang saya boleh buat ialah buat tak tahu sajalah. Tapi bukan tak ambil peduli. Cuma saya refleks semua apa yang mereka katakan dan tengok yang mana saya boleh tukar jadi lebih positif. Saya tak boleh harap semua orang sukakan saya, kerana itu adalah perkara mustahuil. Jadi saya perlu belajar untuk move on dan jangan jadikan ia terlalu personal.
9. Tiga tip kekal sihat sepanjang hari.
Pertama work out dan diet. Kedua, banyak minum air kosong. Dan ketiga minum Bentamix untuk tambah tenaga.
10. Tip penjagaan kulit wajah anda sebagai selebriti.
Saya bukanlah jenis yang sangat strict dengan apa sangat yang saya pakai dan guna. Tapi saya akan pastikan untuk selalu bersihkan atau cuci muka.
11. Tip penjagaan rambut Ben Amir?
Saya akan sapu minyak kelapa di rambut kira-kira dua kali sebulan. Ia dapat bantu rambut jadi lebat dan lembut. Kedua, pilih syampu kurang bahan kimia. Ketiga, jangan cuci rambut hari-hari. Dan tidak lupa juga jaga makan!
12. Memilih karya adakah penting bagi anda atau ia boleh membunuh kerjaya seorang selebriti ? Mengapa?
Ya, ia sangatlah penting. Pertama kerana nak jayakan satu-satu karya inikita kena kenali dulu dengan siapa kita akan bekerja. Kena ambil tahu dengan skrip dan karakter yang diberikan bagaimana. Sebagai pelakon juga saya kena jaga penjenamaan diri. Jadi kena pandai pilih jenis karya bagaimana untuk kita terima.
13. Harapan Ben terhadap kerjaya anda untuk hari mendatang.
Bagi saya sendiri, saya akan tetapkan sasaran untuk lima tahun akan datang. Apa yang saya sasarkan lima tahun lepas Alhamdulillah saya telah capai. Untuk next saya nak lebih berjaya dalam perniagaan, nak jadi pengarah atau produser. Itulah harapan saya pada masa akan datang.
Team MASKULIN: Farizul Izwany Ibrahim & Kim Rahim
Foto: Pinography
Solekan: Jib Salim
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang
Ramai tidak sedar mereka melakukan kesalahan ketika menggunakan treadmill. Ketahui 5 kesalahan lazim yang boleh jejaskan prestasi, tingkatkan risiko kecederaan dan pelajari cara membetulkannya untuk hasil senaman lebih berkesan.