Penjagaan rambut bukan hanya perlu dititikberatkan untuk wanita sahaja. Malah, sebenarnya ia penting buat lelaki juga.
Pasti korang rasa mencuci rambut setiap hari tu dah cukup menjamin rambut korang sihat dan bebas dari sebarang masalah dan ramai yang tidak tahu cara yang betul.
Sebenarnya masalah rambut seperti kelemumur, rambut putus, keguguran, berminyak atau kering bukan datang daripada kesalahan memilih syampu. Tapi masalah tercetus akibat cara mencuci rambut yang tidak tepat.
Mencuci rambut dengan cara yang salah membawa kesan buruk kepada kesihatan rambut. Biasanya anda membersihkan rambut menggunakan air panas atau air sejuk?
Sebenarnya bagi memperoleh kesihatan rambut yang optimum, langkah yang paling tepat adalah dengan mengatur suhu air ketika bersyampu.
Kebaikan Air Panas
Membersihkan rambut secara menyeluruh, air hangat merupakan pilihan yang tepat. Membersihkan rambut dengan air hangat boleh membantu membuka kutikel dan pori-pori pada kulit kepala.
Situasi ini membantu menyingkirkan minyak berlebihan, sel kulit mati, kotoran dan kelemumur yang bertompok dan menyumbat permukaan kulit kepala. Air panas juga boleh menyingkirkan sisa-sisa bekas produk rambut dari kulit kepala.
Selepas membersihkan rambut dengan air panas, kulit kepala akan menjadi lembap dan hangat. Kondisi ini akan membantu syampu dan perapi meresap ke dalam rambut dan kulit kepala dengan lebih berkesan.
Kelemahan Air Panas
Memang benar bersyampu dengan air panas dapat membantu membersihkan rambut dan kulit kepala. Tetapi, jika suhu air terlalu panas atau bersyampu terlalu lama boleh menyebabkan akar rambut cepat rosak.
Pada suhu yang terlalu panas, rambut akan mudah putus, gugur dan kering. Air panas menghilangkan minyak semula jadi rambut yang dikenali sebagai sebum. Sebum sangat penting untuk memastikan rambut terus bersinar dan kuat.
Kebaikan Air Sejuk
Ramai yang memilih membersihkan rambut dengan air sejuk kerana menyegarkan. Air sejuk dapat menutup pori-pori kulit kepala dan mencegah kotoran dan debu masuk serta berkumpul pada kulit kepala.
Selain itu, air sejuk menutup kutikel rambut dan menyerap kelembapan daripada perapi rambut. Malah, suhu kepala yang dingin dapat melancarkan peredaran darah. Darah mengandungi nutrisi yang diperlukan demi menjaga kekuatan akar rambut.
Kelemahan Air Sejuk
Air sejuk tidak sesuai buat mereka yang mempunyai rambut yang nipis. Mencuci rambut dengan air sejuk akan menjadikan rambut lepek dan tidak mengembang.
Jika anda memiliki rambut yang tipis, atau tinggal dan sering beraktiviti di daerah yang panas kering, mencuci rambut dengan air dingin akan membuat rambut tidak bermaya, berminyak dan tidak mengembang.
Solusi
Bagi menikmati hasil terbaik buat rambut anda, gabungkan kedua-dua air panas dan air sejuk ini. Mulakan dengan membasahkan rambut dengan air suam (bukan terlalu panas) untuk membuka pori-pori dan kutikel rambut.
Cuci rambut seperti biasa dan bilas dengan menggunakan air sejuk. Kombinasi ini adalah kesan terbaik untuk membersihkan rambut dari minyak dan kotoran serta menjaga kulit kepala agar tetap sihat.
Selamat mencuba!
Hamizatul Maizan Mohamed
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Maskulin untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
KLIK DI SEENI