Menyebut bola sepak dan nama pasukan Harimau Malaya adalah perkara yang sinonim bagi penggemar sukan bola sepak negara.

Pasukan Harimau Malaya sentiasa menjadi kebanggaan bukan hanya dalam penggemar sukan bola sepak tetapi rakyat Malaysia kerana perjuangan tanpa berbelah bahagi yang ditonjolkan oleh setiap individu sama ada di belakang tabir sehingga ke barisan pemain yang silih berganti sejak berpuluh tahun lalu.

Namun di sebalik apa yang ditonton umum di padang lewat kelincahan para pemain, ada kisah tersembunyi yang tidak diketahui sepanjang ‘perjalanan’ orang di sekeliling Harimau Malaya.

“Harimau Malaya: The Untold Journey” Bakal Jadi Karya Agung Dato’ Afdlin Shauki
Foto: Antara pemain skuad Harimau Malaya yang hadir di sidang media filem Harimau Malaya: The Untold Journey.

Mengangkat perspektif yang belum pernah dikupas dalam mana-mana penghasilan karya membabitkan Harimau Malaya, 4ward Pictures Sdn. Bhd dengan bangga mempersembahkan filem terbitan mereka, Harimau Malaya : The Untold Journey.

Filem yang dibawakan oleh Nashrul Nasir selaku Penerbit Eksekutif dan Alif Nabil sebagai Penerbit ini menerima sentuhan magis sutradara terkenal, Dato’ Afdlin Shauki yang juga merupakan penulis skrip Harimau Malaya : The Untold Journey.

Harimau Malaya : The Untold Journey diinspirasikan daripada kisah di sebalik tabir Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas Tan Cheng Hoe meletakkan jawatan sebagai jurulatih skuad kebangsaan pada Januari 2022.

IKLAN

“Dari inspirasi ini, Harimau Malaya : The Untold Journey berkembang bukan sekadar tentang pemain bola sepak tetapi kami mengambil naratif berbeza terutama mengangkat kisah tiga orang peminat tegar yang digelar Ultras yang disenarai hitam menghadiri perlawanan bola sepak selama setahun.

“Harimau Malaya : The Untold Journey juga menampilkan ‘sepak terajang atau ‘perjalanan panjang’ tentang individu-individu di belakang tabir, di sekeliling yang banyak membantu skuad kebangsaan tetapi tidak pernah ‘didendangkan’,” ujar Nashrul Nasir dari 4ward Pictures Sdn. Bhd.

Tambah Nashrul, penghasilan Harimau Malaya : The Untold Journey juga adalah sebuah apresiasi terhadap perjuangan skuad kebangsaan terutama selepas berjaya menewaskan Bangladesh sekaligus layak ke Piala Asia selepas 42 tahun.

“Kami percaya ada banyak kisah bersifat inspirasi yang boleh dikutip dan diambil daripada Harimau Malaya : The Untold Journey. Terutamanya kisah-kisah selepas Tang Cheng Hoe meletakkan jawatan sebagai jurulatih skuad kebangsaan pada 2022.

IKLAN

“Dengan kepakaran Dato’ Afdlin Shauki menulis skrip dan mengarahkan filem ini dalam atmosfera drama, kesukanan dan sejarah yang dibalut nilai komersial, Harimau Malaya : The Untold Journey adalah sebuah karya wajib tonton.

“Anda bukan hanya akan terinspirasi tetapi kami mahu menumbuhkan lebih segar patriotisme terhadap skuad kebangsaan dan Malaysia tercinta,” ujarnya.

Barisan Pelakon Hebat Tanah Air

Bagi Afdlin Shauki yang kali terakhir duduk di kerusi sutradara dua tahun lalu, kesempatan mengarahkan Harimau Malaya : The Untold Journey adalah platform yang digunakannya untuk mewujudkan kecintaan yang lebih besar bukan hanya terhadap sukan tetapi semangat setiakawan, pengorbanan dan patriotisme yang sepatutnya ada dalam diri setiap rakyat Malaysia.

“Harimau Malaya: The Untold Journey” Bakal Jadi Karya Agung Dato’ Afdlin Shauki
Foto: Dato’ Afdlin Shauki dan barisan pelakon yang bakal membintangi filem Harimau Malaya: The Untold Journey.

“Selaku rakyat Malaysia saya tidak seharusnya menolak peluang menggarap dan mengarah Harimau Malaya : The Untold Journey.

IKLAN

“Ini bukan sahaja kerana mahu ada satu masterpiece dalam karier pengarahan saya tetapi ia menjadi penghormatan saya kepada negara tercinta.

“Menerusi Harimau Malaya : The Untold Journey, anda akan mengerti definisi ‘Kejayaan Memerlukan Keberanian Dan Pengorbanan,” ujar Afdlin penuh semangat.

Harimau Malaya: The Untold Journey dibarisi pelakon hebat tanah air seperti Sophia Albarakbah, Zahirah Macwilson, Aiman Hakim Redza, Tony Eusoff, Vanidah Imran, Khir Rahman, Douglas Lim, Fattah Amin, Meerqeen, Fazura, Bell Ngasri, Azhar Sulaiman dan ramai lagi.

Filem ini menjalani penggambaran selama 35 hari di sekitar Lembah Klang. Tertanya-tanya bagaimana isi Harimau Malaya : The Untold Journey? Jangan lupa saksikan dan semarakkan kecintaan terhadap sukan dan negara dengan menyokong filem ini sebaik ditayangkan di pawagam berhampiran anda kelak.

Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.

KLIK DI SEENI