Gaya Hidup

HOUSE OF KUDRAT: Temui Mierul Aiman, Zarif Ghazzi, Akmal Asyraf, Evertts Gomez dan Chech Harith Ahad Ini di Astro Experience Store, IOI City Mall Putrajaya

Share

Fenomena KUDRAT 1968: High Council terus menghidupkan momentumnya. Baru dua episod ditayangkan, siri prekuel kepada Project: High Council itu sudah mencetuskan pelbagai teori, spekulasi dan perbincangan hangat dalam kalangan penonton daripada pelbagai peringkat usia.

Kini, dunia Kolej Ungku Dermat (KUDRAT) bakal dibawa keluar daripada layar apabila lima pelakon utamanya, Mierul Aiman, Zarif Ghazzi, Akmal Asyraf, Evertts Gomez dan Chech Harith Ahmad, bakal berhimpun menerusi House of Kudrat pada 27 September ini di Astro Experience Store, IOI City Mall Putrajaya.

Bagi peminat, ini bukan sekadar peluang melihat barisan pelakon dari dekat. Ia juga menjadi ruang untuk merasai sendiri atmosfera KUDRAT 1968 yang sejak kebelakangan ini semakin menjadi buah mulut.

Baru Dua Episod, Teori Sudah Mula Bertebaran

Momentum yang dipacu KUDRAT 1968 menyaksikan drama tersebut mula berkembang menjadi fenomena yang merentasi kelompok penonton.

Di media sosial, khususnya Threads, penonton bukan sekadar membicarakan lakonan atau visual siri tersebut. Mereka mula membedah karakter, hubungan antara watak dan kemungkinan kaitannya dengan apa yang pernah berlaku dalam Project: High Council.

Antara teori yang mula mendapat perhatian ialah andaian bahawa Pa, Piji dan Mazli mungkin mempunyai kaitan dengan pelajar yang dikatakan terkorban di Kolej Ungku Deramat.

Setakat ini, ia kekal sebagai teori peminat. Namun hakikat bahawa persoalan seperti ini sudah mula muncul selepas hanya dua episod menunjukkan betapa cepatnya penonton mula menyelami dunia dan misteri yang dibina KUDRAT 1968.

Malah, konflik antara karakter turut mencetuskan tafsiran lebih luas. Ada pengguna media sosial yang melihat perebutan kuasa dan kedudukan dalam cerita tersebut melalui kaca mata sejarah dunia, termasuk mengaitkan dinamika kuasa di KUDRAT dengan sejarah politik dan perebutan takhta dalam tamadun seperti Rom.

Sama ada teori itu akan terbukti atau sebaliknya, perbincangan sebegini memperlihatkan satu perkara penting: penonton tidak lagi sekadar menonton, tetapi turut cuba membaca makna di sebalik setiap karakter dan keputusan mereka.

‘Mak-Mak’ Pun Sudah Masuk Dunia KUDRAT

Lebih menarik, fenomena KUDRAT 1968 tidak hanya tertumpu kepada penonton muda yang mengenali Project: High Council

.

MASKULIN turut tertarik dengan satu perkongsian di Threads apabila seorang pengguna meluahkan rasa terkejut melihat ibunya sendiri sedang ralit mengikuti KUDRAT 1968.

Mungkin ia kedengaran seperti perkara kecil, tetapi situasi itu menunjukkan bagaimana siri ini mula menarik penonton merentas generasi.

Daripada peminat asal High Council hinggalah golongan ibu bapa, konflik persahabatan, kuasa, kesetiaan dan harga sebuah kedudukan nampaknya mempunyai tarikan yang lebih universal daripada jangkaan.

High Council, Sistem Yang Wajar Dipersoalkan?

Satu lagi topik yang mula menjadi bahan perbincangan ialah kewujudan sistem High Council itu sendiri.

Adakah sistem tersebut benar-benar membina kepimpinan dan hierarki, atau sebenarnya membuka ruang kepada kuasa tanpa kawalan, tekanan serta budaya yang boleh memakan diri?

Perdebatan sebegini menjadikan KUDRAT 1968 lebih daripada sekadar sebuah siri tentang kehidupan pelajar di sekolah berasrama.

Apabila penonton mula mempersoalkan struktur kuasa, kesetiaan dan bagaimana manusia berubah apabila mempunyai kedudukan, drama ini turut membuka ruang kepada kritikan sosial yang menarik untuk diperhatikan.

Dan barangkali di situlah kekuatan dunia KUDRAT. Konfliknya cukup dekat untuk dinikmati sebagai hiburan, tetapi pada masa sama mempunyai lapisan yang membolehkan penonton berdebat mengenainya selepas episod tamat.

House of Kudrat Bawa Dunia Siri Keluar Dari Skrin

Selepas mencuri perhatian menerusi Astro30 Showcase dan Dataran Merdeka pada 31 Ogos lalu, House of Kudrat menjadi destinasi seterusnya untuk fandom yang semakin berkembang.

Acara bermula sekitar 1.30 petang, sebelum pentas bertukar menjadi ruang fashion showcase House of Kudrat sekitar jam 2 petang menerusi kolaborasi Astro bersama Christy Ng, menggabungkan karakter dan gaya dalam satu pengalaman khas.

Menjelang jam 4 petang pula, tumpuan beralih kepada sesi bersama Warga Kudrat sebelum peminat berpeluang bertemu barisan pelakon dengan lebih dekat menerusi Meet & Greet eksklusif Astro Rewards.

Bagi mereka yang sudah mula membina teori tentang Kuda, Abbas, Piji, Ghaf dan Mazli, inilah peluang untuk melihat sendiri lima karakter tersebut berada di bawah satu bumbung.

Datang dengan gaya, datang dengan teori dan datang sebagai Warga Kudrat.

Ahad ini, kita Kudratkan.

 

Published by
Farizul Izwany Ibrahim