
Elly Idzlianizar
Elly Idzlianizar Elias merupakan salah satu nama yang cukup dikenali dalam arena perlumbaan motosikal Malaysia, khususnya dalam Kejohanan Cub Prix Malaysia.
Pernah mengharumkan nama Malaysia di peringkat Asia dan antarabangsa, semalam dilaporkan Elly Idzlianizar Elias, 40, telah meninggal dunia.
Berita sedih itu dikongsikan oleh adik Allahyarham, Elly Idzliaikmal Elias, menerusi laman sosial miliknya.
“Selamat jalan abangku #16. Semoga tenang di negeri abadi, abang sayangku. Moga ditempatkan di syurga. Tunggu kami di sana, abang. Nanti kita jumpa di sana,” tulis Elly Idzliaikmal dalam perkongsiannya.
Allahyarham dikenali sebagai pelumba berbakat besar yang memulakan karier di arena perlumbaan tempatan, Cub Prix.
Sepanjang kariernya, Allahyarham berjaya menjuarai beberapa kejohanan bersama pengeluar terkenal seperti Yamaha, Honda, dan Suzuki. Beliau turut terpilih menyertai program pencarian pelumba ‘wildcard’ negara untuk beraksi di Grand Prix Malaysia pada tahun 2009.
Bakat luar biasanya membolehkan Allahyarham terpilih menyertai program tersebut bersama Zulfahmi Khairuddin dalam kelas 125cc, dengan pasukan Air Asia.
Selepas bersara daripada dunia perlumbaan, Allahyarham turut menceburi bidang pengacaraan dan pernah menjadi pengulas perlumbaan Cub Prix.
Selain itu, Allahyarham juga menulis sebuah buku autobiografi berjudul Evolusi Elly: Daripada Rempit kepada Juara, yang diterbitkan pada tahun 2010.
Difahamkan jenazah Allahyarham telah dibawa ke Hospital Alor Setar untuk menjalani proses bedah siasat bagi menentukan punca kematian.
Al-Fatihah buat Elly Idzlianizar Elias, jasamu mengharumkan nama Malaysia akan dikenang sampai bila-bila.
Sumber : Sinar Harian
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.
