Mendapatkan tidur yang mencukupi adalah penting dalam bidang kecergasan kerana tidur yang berkualiti memainkan peranan yang besar dalam pemulihan badan, pembaikan otot, dan prestasi fizikal secara keseluruhan. Ini adalah beberapa sebab mengapa tidur yang mencukupi penting dalam konteks kecergasan:
Pemulihan Otot
Semasa tidur, tubuh kita mengalami proses pemulihan, di mana tisu-tisu otot yang rosak semasa latihan akan diperbaiki. Tidur yang mencukupi membolehkan badan melakukan pemulihan ini dengan lebih efektif, membantu otot-otot kita pulih dan membesar.
Hormon Pertumbuhan
Tidur yang mencukupi membantu penghasilan hormon pertumbuhan yang penting untuk pembinaan otot dan pemulihan. Hormon ini berfungsi dengan baik ketika kita tidur dalam tahap tidur nyenyak.
Kurang tidur boleh mengakibatkan keletihan dan penurunan prestasi fizikal. Dengan tidur yang mencukupi, anda akan merasa lebih bertenaga dan mampu memberikan usaha yang lebih baik semasa latihan atau aktiviti kecergasan.
Kurang tidur boleh menyebabkan kelemahan otot dan penurunan keseimbangan, meningkatkan risiko cedera semasa berolahraga. Tidur yang mencukupi dapat membantu menjaga kekuatan otot dan koordinasi.
Kurang tidur boleh mengganggu keseimbangan hormon yang mengawal selera makan. Ini boleh menyebabkan peningkatan nafsu makan, terutamanya untuk makanan berlemak dan bergula, yang boleh membawa kepada penambahan berat badan yang tidak diingini.
Tidur yang mencukupi juga penting untuk kesihatan keseluruhan, termasuk kesihatan mental dan emosi. Kekurangan tidur boleh menyebabkan stres, keletihan mental, dan masalah kesihatan mental lain.
Jadi, untuk mencapai prestasi yang baik dalam kecergasan, tidur yang mencukupi adalah sebahagian penting daripada rutin harian anda. Pastikan anda memberi tubuh anda peluang untuk pulih dan berkembang dengan tidur yang mencukupi setiap malam.
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang
Suplemen protein adalah antara produk pemakanan yang paling biasa dan paling popular di pasaran hari ini. Tetapi dengan limpahan produk-produk dipasaran anda mungkin keliru tentang jenis yang hendak dibeli, bila menggunakannya dan berapa banyak yang perlu diambil.
Artikel ini juga bertujuan menjelaskan keperluan protein dari sumber haiwan, tumbuhan dan juga sebagai makanan tambahan berdasarkan bukti saintifik semasa. Jika anda memerlukan khidmat nasihat dan konsultasi lanjut, sila berjumpa dengan Dietitian atau professional kesihatan yang bertauliah- bukannya terus mengesyorkan atau menetapkan suplemen tertentu.
Protein manusia mengandungi 20 asid amino semulajadi yang dibahagikan kepada dua jenis:
1. 9 asid amino penting ‘’essential” yang mesti berasal dari makanan (Kerana tubuh tidak boleh membuatnya)
2. 11 asid amino “non-essential” (dihasilkan oleh badan)
Asid amino membentuk banyak blok-blok dan komponen dalam badan, termasuk protein otot, yang dibuat melalui proses sintesis protein otot (Muscle Protein Synthesis – MPS). Untuk membina atau mengekalkan jisim otot, kita mesti mendapatkan protein dan asid amino yang mencukupi untuk menyokong proses MPS.
Protein dari sumber makanan boleh dikategorikan sebagai “lengkap” atau “tidak lengkap.” Protein lengkap mempunyai semua asid amino penting yang diperlukan untuk MPS, jadi tidak mengapa jika anda mengambil protein jenis ini begitu sahaja. Protein lengkap boleh didapati dari sumber haiwan dan tenusu.
Namun begitu, beberapa protein dari sumber tumbuhan diklasifikasikan sebagai tidak lengkap, bermakna ia kekurangan beberapa asid amino penting dan mesti dilengkapi dengan sumber protein kedua untuk melengkapkan yang hilang. Ia dipanggil “mutual supplementation” (Onoja & Obizoba 2009).
Baiklah, sekarang, anda sudah tahu asas protein dan mengapa ia penting, mari kita beralih fokus kepada suplemen protein.
Suplemen protein berasal protein tenusu, seperti whey dan casein, dan juga protein berasaskan sayuran, seperti soya dan quinoa. Protein whey adalah suplemen yang popular terutama dikalangan atlet bina badan dan juga mereka yang ingin menurunkan berat badan.
Susu mempunyai dua protein utama: whey (~ 20%) dan casein (~ 80%). Whey adalah sejenis protein lengkap yang biasanya diklasifikasikan sebagai sama ada Isolate atau Concentrate (Pekat). Whey Protein Concentrate lebih mirip dengan bentuk protein susu asli. Oleh kerana ia mempunyai beberapa laktosa dalam bentuk serbuk, ia boleh menyebabkan masalah gastrik pada mereka yang mempunyai masalah ‘lactose intolerance’
Orang yang mempunyai masalah ‘lactose intolerance’ disarankan untuk mengambil Whey Protein Isolate (WPI) kerana dalam bentuk ini protein telah dipisahkan dari lemak, kolesterol dan laktosa, dan produk akhir adalah protein yang lebih halus dan jernih. Anda mungkin pernah melihat istilah “terhidrolisis” pada label tambahan protein. Ini bermakna protein itu telah dipecah menjadi komponen asid amino. Walaubagaimanapun tiada kajian dilakukan setakat ini untuk menentukan adakah protein whey terhidrolisis adalah lebih berkesan berbanding dari yang tidak dihidrolisis.
Casein dicernakan dengan lebih perlahan daripada protein lain, oleh itu ia sering disyorkan sebagai untuk diambil sebelum waktu tidur atau jika anda dalam keadaan akan berpuasa. Casein meningkatkan kepekatan asid amino leucine didalam darah. Ia dikesan sekitar 40 minit selepas pengambilan dan berlangsung selama 7 jam. Sebaliknya jika protein whey, kadar leucine naik selepas kira-kira 20 minit dan ia hanya bertahan 3-4 jam. Ini menjadikan casein kelihatan seperti suplemen protein yang sesuai untuk seseorang yang hendak berpuasa atau perut kosong dalam jangka waktu yang lama, tetapi Bohe dan rakan-rakan (2001) mencabar idea ini. Penemuan mereka menunjukkan bahawa mempunyai protein yang dicernakan secara perlahan tidak bermanfaat untuk orang yang berpuasa dan berlapar secara berpanjangan (prolonged starvation).
Casein mengandungi laktosa, jadi mereka yang mempunyai ‘lactose intolerance’ tidak sesuai dan perlu dimaklumkan.
Pilihan protein yang popular dikalangan pengamal vegetarian adalah terdiri kacang soya, quinoa, kacang, amaranth dan beras. Tetapi soya, quinoa dan amaranth adalah satu-satunya sumber protein lengkap dari sumber tumbuhan.
Oleh kerana sumber protein lengkap dari tumbuhan amatlah sedikit, para vegetarian perlulah mencampur protein tumbuhan dari pelbagai sumber.
Sebagai contoh, serbuk protein yang menggabungkan protein kacang dan beras akan memenuhi semua keperluan asid amino dan membuat protein tersebut menjadi lengkap. Pertimbangan kedua adalah dengan menilai tahap asid amino protein tersebut serta dos yang betul diperlukan bagi setiap hidangan. Ia selalunya dirujuk kepada pakar pemakanan yang bertauliah.
Leucine sering dipanggil “raja asid amino” kerana ia adalah “enjin” penting yang memacu pertumbuhan otot didalam MPS, manakala 19 asid amino yang lain adalah “bahan bakar”. Badan kita memerlukan minimum sejumlah leucine untuk menghasilkan MPS.
Di sinilah pilihan protein memainkan peranan. Sebagai contoh, pengambilan protein whey biasanya mempunyai kira-kira 10.8% leucine, manakala protein soya adalah lebih rendah berbanding whey, biasanya sekitar 6.2% (Phillips, Tang & Moore 2009). Ia memberi impak besar kepada kuantiti protein yang perlu anda makan.
Sebagai contoh, untuk mendapatkan MPS daripada 30 gram WPI, anda perlu makan 55 g protein soya. Kuantiti minimum yang diperlukan untuk merangsang MPS dikenali sebagai ‘leucine threshold’ (takat leucine), dan ia akan meningkat seiring usia. Memandangkan pengambilan kalori yang adalah agak tinggi untuk tindak balas MPS (protein juga mempunyai kalori ya..) protein berasaskan tumbuhan mungkin bukan pilihan yang optimum bagi mereka yang ingin menurunkan berat badan. Juga, pengambilan protein meningkat seiring dengan usia kerana orang yang berumur memerlukan dos leucine yang lebih tinggi.
Salah satu perkara yangs sering menjadi persoalan ialah adakah diet tinggi protein selamat. Kajian menunjukkan bahawa diet protein tinggi tidak menyebabkan kemudaratan kepada orang yang sihat jika diambil pada kadar yang selamat (Layman et al 2015).
Walaubagaimanapun, kajian jangka masa panjang perlu diperbanyakkan untuk melihat risiko, dan hingga kini tiada kadar tetapan yang seragam menetapkan istilah ‘diet yang tinggi protein’. Mereka yang berisiko untuk menghidap penyakit kronik, dan juga pesakit kronik sendiri (terutama penyakit buah pinggang) anda perlu mendapatkan nasihat dari pakar dietetik untuk menentukan gram protein yang selamat.
Faktor seterusnya dan mungkin yang perlu dipertimbangkan ialah berapa gram protein yang perlu diambil setiap hari. Walaupun jumlah ini berbeza mengikut tahap umur dan tahap aktiviti, satu meta-analisis baru-baru ini yang diterbitkan dalam British Journal of Sports Medicine mengesyorkan dos protein yang disasarkan sehingga 1.6 g sekilogram berat badan setiap hari untuk wanita dan lelaki yang menjalani latihan bebanan – weight training (Morton et al 2017). Ia dua kali ganda kadar protein yang disyorkan semasa (0.8 sekilogram berat badan). Satu lagi penemuan yang menarik oleh Morton dan rakan-rakan adalah bahawa tidak ada perbezaan dalam keperluan protein antara jantina, dan para penyelidik mengakui bahawa lebih banyak penyelidikan perlu dijalankan kepada peminat latihan bebanan wanita.
Bagi waktu pengambilan protein yang optimum, ia memainkan peranan kecil dalam peningkatan otot selepas latihan bebanan. Apa yang dapat disimpukan dari kebanyakan kajian, hanya latihan bebanan sahaja adalah rangsangan yang paling penting dan kuat untuk membangunkan kekuatan dan jisim otot. Oleh itu, untuk meningkatkan jisim dan saiz otot, anda sebenarnya tidak memerlukan supplemen protein tambahan jika anda makan cukup protein dari sumber makanan.. dan juga, latihan bebanan yang optimum serta… disiplin!
Sumber : rootofscience.com
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang
Berhenti merokok ternyata ujian getir buat semua perokok tegar. Pelbagai kaedah sudah diambil, malah kerajaan dan pihak lain yang terlibat turut membantu dalam mengemukakan pelbagai cara, namun masih belum berkesan. Apa lagi yang boleh anda lakukan? Di sini Maskulin senaraikan 10 cara yang boleh anda cuba. Semoga anda berjaya!
1) BERHENTI SEKARANG! JANGAN BERLENGAH– Jika anda ingin berhenti, berniatlah untuk henti dan ketika anda di dalam ‘mood’ yang baik.
2) MOTIVASI DIRI– Motivasikan diri dan kemahuan yang tinggi, komited dan bersunguh-sungguhlah capai tujuan berhenti merokok. Tiada hasil yang positif lahir dari tabiat merokok.
3) JANGAN LAKUKAN SEORANG DIRI- Carilah kawan / rakan sekerja dan lakukan bersama-sama. Pastikan juga dia punya niat yang sama. Lagi ramai lagi bagus. Saling nasihat-menasihati.
4) DAPATKAN SOKONGAN KELUARGA- Jika anda ingin berhenti, pastikan dapat sokongan kuat dari keluarga anda tahu akan niat dan usaha anda itu. Jika anda sudah punya keluarga pula, minta pada isteri untuk sentiasa memantau perkembangan anda.
5) SOROK/BUANG ‘SEBATANG ROKOK’ SETIAP HARI- Untuk elakkan lagi banyak bahan nakotin berbahaya masuk ke dalam tubuh badan anda, amalkan untuk buang sebatang rokok setiap hari. Anda juga boleh sorokkan beberapa batang dari pandangan mata anda. Jadikan ia sebagai satu rutin
6) BUANG SEGALA BENDA BERKAITAN DENGAN ROKOK- Ambillah inisiatif untuk membuang segala benda yang boleh mengingatkan anda pada tabiat merokok. Contohnya kotak-kotak rokok yang lama, bekas abu rokok, pemetik api mahupun mancis.
7) ALIHKAN PERHATIAN ANDA- Bijaklah dalam usaha untuk alihkan perhatian anda. Contohnya, apabila anda ingin merokok, lakukanlah sesuatu seperti bersenam, bermain permainan video di komputer, mendengar lagu di iPad dan lain-lain.
8) BUATKAN SENARAI- Buatlah senarai. Pertama, senaraikan keburukan merokok seperti penyakit-penyakit berbahaya dan tampalkan di dinding rumah atau pejabat. Selain itu, anda juga boleh senaraikan kebaikan anda berhenti merokok.
9) BERIKAN GANJARAN- Minta bantuan ahli keluarga dan rancanglah ganjaran yang boleh anda terima jika berhenti merokok.
10) CIPTA AREA ‘JANGAN MEROKOK’- Ciptalah area ‘Jangan Merokok’ dengan membeli pelekat atau poster dan tampalkan di setiap sudut kawasan kediaman anda.
Perlu kita akui, lelaki memang kadang-kadang sangat liat untuk berjumpa dengan doktor. Apatah lagi jika ia melibatkan anggota badan di bahagian sensitif.
Kita perlu ubah mentaliti seperti ini untuk menjamin hidup yang lebih baik. Antara yang sering dipandang remeh ialah masalah membuang air kecil atau kencing tak lawas.
Adakah anda pernah alami situasi di mana selepas kencing anda dapati ia masih keluar secara tak sengaja?
Atau pernahkah anda terasa nak kencing lagi walaupun sudah beberapa kali ke tandas dalam tempoh waktu yang terdekat? Sebenarnya hampir semua kaum lelaki, pernah mengalami situasi sedemikian. Situasi ini dipanggil sebagai kencing tak lawas.
Kencing tak lawas atau urinary incontinence merupakan situasi tanda penyakit yang dihadapi oleh kaum lelaki. Namun, kencing tak lawas ini bukanlah satu penyakit.
Kencing tak lawas boleh berlaku sekiranya seseorang lelaki itu mempunyai penyakit pembesaran kelenjar prostat (Benign Prostatic Hyperplasia atau BPH). Kebiasaannya berlaku kepada golongan lelaki yang usianya menjangkau 50 tahun.
Pembesaran kelenjar prostat merupakan satu penyakit yang menyerang golongan lelaki yang berumur 50 tahun dan ke atas dan ia bukanlah penyakit barah. Pembesaran kelenjar prostat akan menimbulkan masalah gejala urinari, mengganggu serta menjejaskan gaya hidup dan corak tidur. Komplikasi kerosakkan buah pinggang akan berlaku, sekiranya penyakit ini tidak dirawat.
Barah pundi kencing
Barah pundi kencing turut menyebabkan berlakunya kencing tak lawas. Dalam situasi ini, pesakit biasanya menghidapi gejala seperti kencing tak lawas, kencing berdarah, kerap kencing, sakit ketika kencing, kencing malam dan juga mengalami sakit di bawah bahagian abdomen.
Kencing manis
Masalah kencing tak lawas merupakan komplikasi daripada penyakit kencing manis. Kencing manis yang tidak terkawal boleh mengakibatkan kegagalan atau kerosakan pada sistem saraf autonomi. Manakala gejala yang biasanya berlaku adalah kencing tak lawas, sembelit atau cirit-birit, masalah seksual, tekanan darah rendah dan juga pitam.
Hadkan air minuman dalam sehari
Walaupun kita digalakkan untuk minum lapan gelas air sehari, tetapi sebenarnya lebih banyak anda minum lebih kerap anda perlu membuang air kecil. Oleh itu, bagi mereka yang menghidapi gejala kencing tak lawas, minum air hanya apabila anda haus.
Jangan ambil minuman keras
Ini penting kerana alkohol adalah stimulus yang kuat untuk menggalakkan anda membuang air kecil (diuretik). Selain itu, alkohol juga dapat mengganggu kesedaran anda apabila perlunya anda ke atas.
Elak pengambilan kopi
Elakkan pengambilan kopi kerana ia mengandungi kafein yang juga stimulus untuk kencing. Bertukar kepada teh atau kopi tanpa kafein juga dapat membantu. Tetapi terdapat bahan lain dalam minuman ini yang mengakibatkan iritasi kepada pundi kencing.
Elakkan pengambilan makanan atau minuman ytang menyebabkan pH air kencing lebih rendah (asidik).
Antara makanan tersebut adalah buah-buahan sitrus seperti anggur, tomato, oren dan juga lemon. Minuman bergas juga perlu dielakkan kerana kandungan karbon dioksida yang tinggi dalam minuman tersebut.
Hindari makanan yang mengandungi asid oxalik
Antara makanan yang mengandungi asid oxalik adalah sayur bayam, rhubarb, dan coklat. Selain itu, asid oxalik juga boleh ditemui dalam kandungan rokok. Jadi, ini merupakan alasan yang baik bagi lelaki yang ingin berhenti rokok.
Amalkan yogurt atau minuman yogurt
Pengambilan yogurt penting untuk menggalakkan pembiakan bakteria baik (lactobaccilus acidophilus) dalam sistem urinari manusia dan bertindak sebagai pertahanan yang baik untuk badan. Ini penting jika anda sedang mengambil antibiotik untuk rawatan jangkitan kuman kerana antibiotik biasanya membunuh bakteria termasuk bakteria yang baik untuk badan.
Amal teknik buang air kecil dua kali
Selain daripada pengawalan makanan, anda juga boleh mencuba untuk mengamalkan teknik buang air kecil dua kali. Setiap kali anda selesai membuang air kecil, berdiri dan duduk semula. Kemudian cuba untuk membuang air kecil sekali lagi. Teknik ini dipanggil sebagai ‘double voiding’.
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang
Selepas dua percubaan snatch gagal, Muhammad Erry bangkit mencipta rekod dan menghadiahkan emas Glasgow 2026 buat Malaysia serta menyambung legasi gemilang bapanya.