‘Jasad Mereka Penat, Namun Terus Bekerja. Merekalah Hero Kita’. Perkongsian PU Amin Menyentuh Netizen!

Share

Di saat tersebarnya wabak COVID-19 di Malaysia, sudah pasti petugas-petugas kesihatan menjadi orang penting dan tonggak utama dalam melaksanakan tugas berisiko tinggi ini.

Selaku barisan hadapan, petugas-petugas ini mengorbankan penat lelah mereka demi memberikan khidmat terbaik dan menjamin keselamatan kita.

Perkongsian Pencetus Ummah Amin di laman Instagramnya mengenai pengorbanan petugas-petugas ini nyata menyentuh hati netizen.

Beliau menyeru agar kita tidak mementingkan diri sendiri dan teruskan berdoa.

Oleh itu, sama-samalah kita membantu petugas-petugas kesihatan ini dengan berada di rumah sendiri sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan agar wabak COVID-19 tidak terus menular dan dapat dibanteras.

Tikar sejadah sebagai teman

Dalam keadaan kelam kabut seperti ini, mereka adalah hero kita. Mereka adalah manusia di barisan hadapan ketika perang menentang virus jahat ini. Entah berapa lama masa mereka ada untuk bersama keluarga. Jasad mereka penat, letih, putus asa, habis duit dan harta. Namun mereka terus bekerja untuk menjamin keselamatan kita.

Tikar sejadah sebagai teman. Berdoa dan terus sujud. Mengharap agar Allah menurunkan keajaiban agar dibunuh covid 19 ini.

Jangan pentingkan diri sendiri

Pada semua, jangan pentingkan diri sendiri. Jangan melancong. Duduk di rumah, jaga kesihatan, jaga kebersihan, elak berada di tempat awam. Setiap hari kes terus bertambah. Mungkin kerja dan kerjaya kita terjejas, tapi tak apalah untuk sebulan dua, berbanding banyak lagi mudarat dan bahaya yang akan terdedah.

Amalan yang boleh dilakukan

Teruskan berdoa pada Allah. Segala usaha telah dijalankan. Kini kuasa Allah adalah segala galanya. Kuatkan iman.

1. Bangunlah solat malam. Buat 2 rakaat Qiyamu Lail, Allah akan turun rahmat mencurah-curah.
2. Berzikir Ya Latif 100x setiap kali selepas habis solat fardhu. Inshaallah Allah Maha Lembut, Allah Maha Penyembuh! Allah akan bantu kita. Sebut kalimah Allah Allah Allah banyak kali. Takutlah pda Allah.

Pintu taubat masih dibuka

Rindu majlis ilmu di surau masjid. Rindu nak tawaf nak saie di Kaabah. Rindu nak solat jemaah ramai ramai. Allah tarikh nikmat ibadah masa ini. Di kala semua pintu pintu masjid di tutup jangan kita lupa PINTU TAUBAT masih terbuka. Matahari belum terbit dari barat, dajjal belum keluar, Nabi Isa belum turun. Maka keraplah bertaubat.

Semoga kawan kawan semua terpelihara, saya sayang anda semua. Sayang kalian kerana Allah swt. ❤️

 

IKLAN