
Selepas tujuh tahun penantian, penyanyi dan penulis lagu antarabangsa, Jason Mraz akhirnya kembali menemui peminat di Malaysia menerusi konsert solo yang dijangka menjadi antara acara muzik paling dinanti pada tahun ini.
Penyanyi yang terkenal dengan lagu hit global I’m Yours itu bakal mengadakan konsert Jason Mraz Asia Tour 2026 Live in Kuala Lumpur pada 31 Oktober 2026 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.
Konsert yang dianjurkan oleh Zues Event itu dijangka membawa kembali aura positif dan santai yang menjadi identiti Jason Mraz sepanjang lebih dua dekad bergelar penghibur.
Dengan lebih dua bilion penstriman untuk lagu I’m Yours, Jason Mraz kekal sebagai antara penyanyi lelaki paling berpengaruh dalam genre akustik-pop moden.
Namun apa yang menjadikan beliau istimewa bukan sekadar lagu-lagu popularnya, tetapi keupayaan menggabungkan pelbagai elemen muzik seperti folk, reggae, R&B dan disko dalam setiap karya yang dihasilkan.

Deretan Lagu Popular Jadi Tarikan
Sepanjang kariernya, Jason Mraz telah menghasilkan pelbagai lagu malar segar yang terus menjadi siulan peminat sehingga hari ini.
Antara lagu yang dijangka menjadi tumpuan pada konsert nanti termasuk I Won’t Give Up, Lucky bersama Colbie Caillat, Have It All, I Feel Like Dancing dan The Remedy (I Won’t Worry).
Sebagai penerima penghormatan Songwriters Hall of Fame, Jason Mraz bukan sekadar seorang penyanyi, malah diiktiraf sebagai antara penulis lagu paling berpengaruh dalam generasinya.
Perjalanan seninya juga cukup unik. Bermula sebagai pemuzik jalanan dan penyanyi di kafe-kafe kecil, beliau kemudiannya berjaya menembusi industri muzik antarabangsa sebelum menghasilkan sembilan album studio termasuk beberapa album bertaraf platinum dan multi-platinum.
Bukan Sekadar Penyanyi
Selain dunia muzik, Jason Mraz turut aktif dalam pelbagai bidang lain.
Beliau pernah memegang watak utama dalam muzikal Broadway Waitress karya Sara Bareilles, menjadi penerbit eksekutif dokumentari The Opener serta muncul sebagai naib juara rancangan popular Dancing with the Stars musim ke-32.
Di luar dunia hiburan, Jason Mraz juga dikenali sebagai aktivis kemanusiaan yang aktif memperjuangkan pendidikan seni dan kesaksamaan sosial.
Melalui Jason Mraz Foundation yang diasaskannya, beliau menyokong pelbagai program pendidikan seni inklusif serta inisiatif kemasyarakatan. Malah, semua keuntungan daripada album Look for the Good yang diterbitkan pada tahun 2020 disalurkan kepada organisasi yang memperjuangkan keadilan sosial dan kesaksamaan.
Janji Malam Penuh Emosi Dan Hiburan
Menurut Pengarah Zues Event, Jeffery Chin, konsert kali ini bakal menawarkan pengalaman berbeza berbanding penganjuran konsert sebelum ini.
“Kami meneruskan momentum daripada kejayaan konsert K-pop kami baru-baru ini dengan membawa pengalaman berbeza yang penuh hubungan emosi dan tenaga positif. Ramai rakyat Malaysia membesar dengan lagu-lagu Jason Mraz, dan muziknya masih relevan hingga hari ini kerana membawa mesej positif, emosi dan keaslian.
“Kami percaya kepulangan Jason Mraz ke Kuala Lumpur bukan sahaja akan menarik peminat setianya, malah pencinta muzik yang mahukan pengalaman persembahan langsung bertaraf dunia yang menghiburkan. Malam itu juga dijanjikan dengan pertunjukan percikan api dan langit dihiasi dron,” katanya.

Dengan topi fedora ikonik serta petikan gitar yang menjadi identitinya, Jason Mraz dijangka menghidangkan persembahan penuh emosi dan interaksi bersama peminat menerusi deretan lagu popular serta karya baharu yang bakal mengubah Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil menjadi sebuah pesta nyanyian beramai-ramai.
Harga Tiket Bermula RM158
Bagi peminat yang ingin menyaksikan konsert tersebut, jualan tiket akan dibuka pada Khamis, 11 Jun bermula jam 10.50 pagi menerusi platform etix.my.
BACA: Izzue Islam Sebak Terima Nissan GT-R R35 Hadiah Daripada Isteri Sempena Hari Jadi Ke-36
Harga tiket ditawarkan mengikut beberapa kategori iaitu RM688 (Jazzy), RM588 (Acoustic), RM488 (Soulful), RM388 (Originals), RM288 (Nostalgic) dan RM158 (Signature – Restricted View), tidak termasuk caj serta cukai berkaitan.

Semua kategori tiket yang ditawarkan adalah tempat duduk dan dijangka mendapat sambutan hangat daripada peminat tempatan serta serantau.
Kepulangan Jason Mraz selepas tujuh tahun pastinya menjadi berita gembira buat peminat yang membesar dengan lagu-lagunya. Dengan reputasi sebagai penghibur yang sentiasa membawa mesej positif dan penuh inspirasi, konsert ini dilihat berpotensi menjadi antara persembahan antarabangsa paling istimewa di Kuala Lumpur tahun ini.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang




