Ads

Josiah Hogan, 16 Tahun Bertahan Dalam Industri Seni, “Longevity Jauh Lebih Penting Daripada Populariti Seketika”

josiah

Bukan nama baharu dalam dunia seni tempatan, Josiah Hogan sudah menghabiskan kira kira 16 tahun membina perjalanan sebagai seorang pelakon.

Dalam tempoh itu, dia melalui pelbagai fasa industri, daripada usaha mencari ruang sebagai wajah berbeza, berdepan persoalan tentang relevansi sehinggalah kini memasuki usia 40-an dengan pengalaman yang jauh lebih matang.

Pada masa sama, Josiah turut meneroka sisi kreatif lain menerusi muzik bersama band MADDAME, sambil menyimpan impian lebih besar untuk melihat cerita dan sejarah Melayu diangkat ke peringkat antarabangsa.

Ketika mula melangkah ke industri, Josiah mengakui dia datang dengan satu matlamat yang cukup sederhana iaitu mahu berkongsi bakat, khususnya pendekatan natural acting. Wajahnya yang dianggap sedikit berbeza daripada kebiasaan ketika itu juga membuatkannya berharap mampu menawarkan sesuatu yang segar.

Josiah Hogan, 16 Tahun Bertahan Dalam Industri Seni, “Longevity Jauh Lebih Penting Daripada Populariti Seketika”

Namun selepas 16 tahun, pandangannya terhadap perjalanan tersebut semakin matang. Dia mengakui sesuatu yang baharu memerlukan masa untuk diterima, apatah lagi dalam industri yang sentiasa bergerak pantas mencari wajah seterusnya.

“Walaupun begitu, saya percaya setiap perkara berlaku pada waktu yang tepat. Mungkin satu hari nanti industri akan benar benar melihat saya, atau mungkin industri memerlukan saya pada waktu yang sesuai.

“Alhamdulillah, selepas 16 tahun, saya masih berdiri dan masih diberi peluang untuk memberikan kejutan kepada penonton di negara ini,” katanya.

Bukan Mengejar Populariti

Sepanjang berada dalam industri, Josiah memilih untuk menjadikan kemampuan dan disiplin sebagai asas perjalanan kerjayanya. Dia tidak menafikan dunia hiburan sentiasa mencari wajah dan bakat baharu, tetapi itu tidak bermakna seorang pelakon perlu mengejar perhatian dengan apa sahaja cara.

Sejak awal, populariti bukan matlamat utamanya. Malah dia memilih menjauhkan diri daripada kontroversi semata mata untuk memastikan dirinya kekal diperkatakan.

Josiah Hogan, 16 Tahun Bertahan Dalam Industri Seni, “Longevity Jauh Lebih Penting Daripada Populariti Seketika”

“Saya faham setiap pelakon mempunyai cara tersendiri untuk menonjolkan diri dan ada yang berjaya melalui pendekatan tersebut. Tetapi saya memilih untuk kekal dengan prinsip saya, iaitu fokus kepada bakat dan hasil kerja,” katanya.

Antara watak yang dianggap penting dalam perjalanannya ialah Dollah menerusi Kasih Yang Terkorban dan SAC Kamal dalam Takluk: Lahad Datu. Baginya, peluang membawa karakter kompleks menjadi bukti bahawa seseorang pelakon akhirnya akan memperoleh ruang apabila kemampuan mereka benar benar diperlukan.

Pelakon Matang Perlu Diberikan Ruang

Memasuki usia 40 an turut mengubah cara Josiah melihat industri.

Menurutnya, pelakon yang semakin matang masih belum diberikan perhatian sewajarnya. Dia memahami keperluan memperkenalkan generasi baharu, namun sesebuah naskhah tidak seharusnya hanya bergantung kepada siapa yang sedang popular.

Apa yang lebih penting ialah keupayaan pelakon memberi jiwa kepada karakter.

“Pelakon bukan sekadar menghafal dialog. Pelakon perlu memberikan jiwa kepada watak tersebut supaya cerita yang ingin disampaikan terasa lebih dekat dengan penonton,” jelasnya.

Ads

Dalam kes Josiah sendiri, rupa paras turut pernah mempengaruhi jenis watak yang ditawarkan. Pada peringkat awal kerjayanya, wajahnya dianggap terlalu “moden” untuk sesetengah karakter.

Josiah Hogan, 16 Tahun Bertahan Dalam Industri Seni, “Longevity Jauh Lebih Penting Daripada Populariti Seketika”

Namun dia tidak mahu menjadikannya alasan.

“Apa gunanya hidup kalau kita tidak berdepan dengan cabaran?

“Saya berada di Malaysia, saya memilih industri ini dan saya akan terus berdepan dengan setiap dugaan dengan tenang serta terus berusaha,” katanya.

Kini semakin ramai penerbit dan pengarah, menurut Josiah, mula melihat kemampuannya melebihi rupa fizikal.

Malah jika diberikan peluang, ada satu karakter legenda yang sangat ingin dibawakannya suatu hari nanti iaitu Jefri Zain, watak ikonik lakonan Allahyarham Tan Sri Datuk Dr. Jins Shamsuddin.

Bagi Josiah, peluang menghidupkan karakter tersebut bukan sekadar pencapaian kerjaya, tetapi satu bentuk penghormatan kepada legasi figura besar seni tanah air.

MADDAME Ruang Josiah Menjadi Diri Sendiri

Di sebalik dunia lakonan, Josiah mempunyai satu lagi sisi yang cukup dekat dengan dirinya menerusi band MADDAME.

“MADDAME adalah ego saya yang sangat besar,” katanya.

Ads

Band tersebut menjadi platform untuk Josiah dan rakan rakannya membuktikan muzik grunge bukan sekadar tinggalan era 1990-an. Baginya, genre itu masih mempunyai ruang untuk diperbaharui dan diperkenalkan kepada generasi hari ini.

Josiah Hogan, 16 Tahun Bertahan Dalam Industri Seni, “Longevity Jauh Lebih Penting Daripada Populariti Seketika”

Lebih penting, muzik memberikan kebebasan yang berbeza daripada lakonan.

“Kalau lakonan adalah dunia yang memerlukan saya menjadi orang lain, muzik pula adalah ruang untuk saya menjadi diri sendiri,” katanya.

Dalam lakonan, dia perlu mengikut skrip, arahan pengarah dan kehendak karakter. Bersama MADDAME pula, proses kreatif datang daripada perbincangan, perasaan dan apa yang benar benar mahu mereka sampaikan.

Impian Menghasilkan Epik Melayu Bertaraf Dunia

Josiah tidak melihat dirinya sebagai penulis skrip atau pengarah. Tetapi ada satu lagi peranan yang mahu diterokainya iaitu menjadi penerbit.

Lebih khusus, dia teringin menghasilkan cerita epik Melayu.

Sebagai seseorang yang melihat Malaysia daripada perspektif berbeza, Josiah percaya industri tempatan sebenarnya mempunyai kekayaan seni, sejarah dan budaya yang belum dimanfaatkan sepenuhnya.

“Sebagai seseorang yang datang dari luar, saya melihat industri kita sebenarnya berdiri di atas sebuah ‘lombong emas’. Cuma persoalannya ialah kita masih mencari cara yang paling tepat untuk menggali dan mengolah kekayaan tersebut menjadi karya yang boleh diterima di peringkat antarabangsa,” katanya.

Dia percaya suatu hari nanti akan lahir pembikin filem tempatan yang mampu menghasilkan epik Melayu bertaraf dunia.

Ads

Usia 40-an Bukan Masa Untuk Berundur

Walaupun sudah 16 tahun berada dalam industri, Josiah merasakan perjalanan sebenarnya masih jauh.

Dia masih aktif berjoging, menjalani latihan Muay Thai dan sejak 2022 turut mendalami Silat sebagai sebahagian daripada persediaannya sebagai pelakon. Bagi Josiah, menjaga fizikal merupakan satu bentuk disiplin untuk memastikan dirinya sentiasa bersedia apabila peluang datang.

Tidak dinafikan, ada waktunya dia turut mempersoalkan kedudukan sendiri apabila melihat nama baharu menjadi perhatian.

“Apabila seseorang mula menjadi trending, saya tidak nafikan bahawa saya juga pernah bertanya kepada diri sendiri, ‘Adakah saya masih relevan?’”

Namun setiap kali kerjayanya melalui fasa sunyi, Josiah berkata industri sering memanggilnya kembali menerusi watak yang mencabar.

Daripada situlah dia belajar satu perkara penting.

“Saya semakin percaya bahawa dalam industri seni, longevity adalah sesuatu yang jauh lebih penting daripada populariti yang datang seketika.

“Saya memang nekad untuk menghabiskan sisa kehidupan saya dalam industri ini,” katanya.

Kini, Josiah sedang menjalani penggambaran drama 60 episod Kasih Yang Terkorban untuk Astro, manakala Takluk: Ops Daulat dijadualkan menemui penonton pada 26 November.

Josiah Hogan, 16 Tahun Bertahan Dalam Industri Seni, “Longevity Jauh Lebih Penting Daripada Populariti Seketika”

Memasuki usia 40 an, permintaannya kepada industri bukan untuk diberikan layanan istimewa. Dia cuma mahu dinilai berdasarkan apa yang mampu dibawa ke hadapan kamera.

Selepas 16 tahun mengetuk pintu yang sama, Josiah Hogan belum mempunyai niat untuk berhenti.

BACA: “Respect The Sport And Respect Your Body”, Dr Say Ingatkan Jangan Ambil Mudah Cabaran HYROX

Baginya, potensi industri Malaysia sudah tersedia. Apa yang diperlukan ialah lebih banyak kepercayaan terhadap bakat, peluang yang tepat dan kesediaan semua pihak untuk bergerak bersama.

“Saya percaya industri kita mempunyai banyak bakat besar. Dan apabila bakat bakat tersebut diberikan ruang, peluang dan sokongan yang betul, saya yakin kita mampu menghasilkan sesuatu yang jauh lebih besar,” katanya.

Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

Dapatkan cerita, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Gentleman semua dah baca MASKULIN? Download dekat je senang

KLIK DI SEENI
Ads
jerebu

Risiko Serius Jerebu Terhadap Kesihatan

Jerebu bukan sekadar menyebabkan mata pedih dan tekak tidak selesa. Pendedahan berpanjangan kepada PM2.5 boleh meningkatkan risiko masalah pernafasan, jantung dan kesihatan jangka panjang.