Ads

Kanser Nasofarinks, Ancaman Senyap Di Sebalik Selesema Ramai Ambil Mudah

kanser nasofarinks

Hidung tersumbat berpanjangan, telinga terasa penuh atau berdengung, serta benjolan kecil di leher sering dianggap masalah kesihatan biasa. Namun di sebalik simptom yang kelihatan ringan ini, ia berkemungkinan menjadi tanda awal kepada kanser nasofarinks, sejenis kanser yang sering berlaku dalam kalangan lelaki di Malaysia tetapi kerap dikesan lewat.

Menurut data terkini, kematian berkaitan kanser di Malaysia menyumbang 14.3 peratus daripada semua kematian pada tahun 2024, meningkat berbanding 13.8 peratus pada 2023.

Kanser nasofarinks kekal antara kanser paling lazim dalam kalangan lelaki tempatan, terutamanya dalam kalangan masyarakat Asia.

Pakar Perunding Onkologi Klinikal Pusat Perubatan Sunway Velocity, Dr Hafizah Zaharah Ahmad menegaskan bahawa pengesanan awal memainkan peranan amat penting dalam meningkatkan peluang rawatan berjaya.

Kanser Nasofarinks, Ancaman Senyap Di Sebalik Selesema Ramai Ambil Mudah
Dr Hafizah Zaharah Ahmad

“Pengesanan awal kanser nasofarinks boleh meningkatkan kadar kelangsungan hidup melebihi 90 peratus. Namun, simptom awal sering disalah anggap sebagai sinusitis, alahan atau jangkitan telinga, menyebabkan kelewatan diagnosis,” jelas beliau.

Kanser Yang Tersembunyi Di Sebalik Hidung

Kanser nasofarinks berpunca daripada bahagian nasofarinks, iaitu ruang di belakang hidung dan di atas tekak.

Kedudukannya yang tersembunyi menjadikan tumor pada peringkat awal sukar dikesan melalui pemeriksaan rutin.

Pakar Perunding Telinga, Hidung dan Tekak serta Pakar Bedah Kepala dan Leher SMCV, Dr David Yee Leong Wai berkata kebanyakan pesakit hanya mendapatkan rawatan selepas menyedari bengkak di leher akibat pembesaran nodus limfa.

“Benjolan di leher selalunya tidak menyakitkan, menyebabkan ramai pesakit menganggap ia tidak berbahaya dan menangguhkan pemeriksaan lanjut,” katanya.

Ads
Kanser Nasofarinks, Ancaman Senyap Di Sebalik Selesema Ramai Ambil Mudah
Dr David Yee Leong Wai

Antara faktor risiko utama kanser nasofarinks termasuk jangkitan virus Epstein Barr, tabiat merokok, sejarah keluarga, faktor genetik serta pengambilan makanan yang diawet atau bergaram tinggi. Penyakit ini lebih kerap didiagnosis dalam kalangan lelaki berusia antara 40 hingga 60 tahun.

Dari Simptom Awal Kepada Diagnosis Tepat

Dr Hafizah menjelaskan bahawa simptom kanser nasofarinks sering bergantung kepada lokasi dan tahap penyebaran tumor. Antaranya termasuk hidung tersumbat berpanjangan, pendarahan hidung atau lelehan cecair.

Apabila tumor melibatkan tiub Eustachian, pesakit mungkin mengalami kehilangan pendengaran sebelah telinga, rasa penuh, telinga berdesing atau sakit telinga yang sering disalah anggap sebagai jangkitan biasa.

Kanser Nasofarinks, Ancaman Senyap Di Sebalik Selesema Ramai Ambil Mudah

Dalam kes yang lebih lanjut, pesakit boleh mengalami sakit kepala, penglihatan berganda atau kebas pada wajah, manakala benjolan tidak sakit di leher kekal sebagai simptom paling lazim.

Ads

Bagi memastikan diagnosis tepat, prosedur nasoendoskopi digunakan untuk melihat secara langsung keadaan nasofarinks. Imbasan MRI dan CT pula membantu menilai saiz tumor serta tahap penyebarannya.

Menurut Dr Yee, pengesahan tisu adalah langkah kritikal dalam diagnosis.

“Biopsi adalah wajib untuk mengesahkan diagnosis dan menentukan jenis kanser. Ia membantu kami membuat penggredan histologi berdasarkan klasifikasi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi menentukan prognosis dan pelan rawatan,” jelas beliau.

Rawatan Dan Harapan Pesakit

Pendekatan rawatan kanser nasofarinks bergantung kepada tahap penyakit. Dr Hafizah menerangkan bahawa kes peringkat awal mungkin memerlukan radioterapi sahaja, manakala kes setempat lanjutan biasanya memerlukan kombinasi kemoterapi dan radioterapi.

BACA: Jangan Ambil Remeh Hidung Tersumbat, Ini Risiko Sinus Senyap Ramai Abaikan!

Ads

Radioterapi kekal sebagai rawatan utama kerana tumor NPC sangat sensitif terhadap radiasi. Teknologi moden seperti Radioterapi Keamatan Bermodulasi (IMRT) dan Terapi Arka Volumetrik Bermodulasi (VMAT) membolehkan rawatan lebih tepat dengan kesan sampingan yang minimum.

Pembedahan pula digunakan dalam situasi tertentu, terutamanya bagi kes kanser berulang atau berbaki selepas rawatan utama.

Kehidupan Selepas Rawatan

Pesakit mungkin mengalami kesan sampingan seperti keletihan, loya, ulser mulut dan selera makan berkurangan sepanjang rawatan. Sokongan pemakanan, rawatan susulan dan pemantauan rapi amat penting untuk memastikan kualiti hidup pesakit terjaga.

Dengan tahap kesedaran yang lebih tinggi, diagnosis awal dan kemajuan rawatan, kanser nasofarinks kini mempunyai kadar kelangsungan hidup yang jauh lebih baik.

Sebagaimana kanser lain, pengesanan awal dan tindakan segera kekal sebagai senjata paling berkesan dalam menyelamatkan nyawa.

Sumber: Sunway Medical Centre

Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

Dapatkan cerita, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Gentleman semua dah baca MASKULIN? Download dekat je senang

KLIK DI SEENI
Ads
SARA

SARA RM100 Dikreditkan Kepada 22 Juta Rakyat Mulai Hari Ini, Kategori...

SARA Untuk Semua RM100 mula dikreditkan kepada 22 juta rakyat Malaysia sebagai bantuan one-off bagi meringankan kos sara hidup dengan lebih inklusif.