Sehingga ke hari ini, Indonesia mencatatkan jumlah kematian yang tertinggi di Asia Tenggara akibat wabak Covid-19 dengan jumlah korban 1,391 orang. Manakala kes yang didapati positif pula telah meningkat hingga kepada 22,750 kes.
Suatu ketika dahulu negara tersebut seakan-akan bebas dengan wabak ini tatkala negara lain sedang bergelut untuk menghadapi apa jua kemungkinan. Namun kini ia menjadi antara negara yang paling teruk terjejas di Asia Tenggara.
Dalam pada masa itu, seramai 25 orang doktor telah meninggal dunia ketika menjalankan tugas akibat dijangkiti wabak Covid-19. Perkara tersebut diuar-uarkan oleh Ketua Umum Ikatan Doktor Indonesia (IDI), Daeng M. Faqih.
Hashtag #Indonesia? Terserah! dipercayai dimulakan petugas kesihatan pada 15 Mei lepas, yang kemudiannya didokong warganet. Selepas itu ia menjadi tular dipelbagai platform media sosial sehingga kini.
Ads
Rata-rata warganet mengecam sikap kebanyakan masyarakat tempatan yang masih tidak mempedulikan arahan pematuhan pembatasan sosial berskala besar (PSBB) yang dikuatkuasakan sejak 15 Mac lepas bagi menangani penularan virus itu.
Di antara yang lantang bersuara ialah penyanyi legenda, Iwan Fals. Menerusi akaun Instagramnya beliau turut mengungkap “Tetap harus semangat, kita enggak boleh nyerah dengan keadaan. Oke terserah, tetapi bukan berarti pasrah kan, bukan berarti menyerah”.
Ads
Para pemerhati laman media sosial melihat #Indonesia? Terserah!!”, selain sindiran kepada masyarakat yang ingkar arahan PSBB , ia juga kritikan kepada pihak berkuasa Indonesia, yang tidak maksimumkan penguatkuasaan peraturan-peraturan yang ditetapkan dalam PSBB.
Presiden Indonesia, Joko Widodo, dalam satu kenyataan media, yang dikeluarkan Sekretariat Presiden hari ini, berkata pihak polis dan tentera telah diarahkan “mendisiplinkan masyarakat terkait protokol kesihatan” ketika berada di tempat awam.
“Anggota TNI (Tentera Nasional Indonesia) dan Polri (Polis Republik Indonesia) akan disebar ke sejumlah titik keramaian untuk sentiasa mengingatkan masyarakat dalam menerapkan kedisiplinan protokol tersebut,” kata Jokowi.
Gabernor Jakarta, Anies Baswedan, dalam satu kenyataan, berkata majoriti warga kota Jakarta sebenarnya mematuhi PSBB yang berkuat kuasa sehingga 4 Jun depan dan berkemungkinan PSBB dilonggarkan sekiranya kes positif virus itu menunjukkan trend penurunan.
Sumber: BERNAMA
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang
Snek saban kali mendapat reputasi tidak baik. Namun, sekiranya anda bijak membuat pilihan yang betul, anda sebenarnya dapat memperoleh manfaat kesihatan dan menikmati jangka hayat lebih lama.
Mengapa snek? Kebanyakan kita sudah biasa makan sekurang-kurangnya tiga kali sehari. Tetapi adalah sihat untuk mengambil hidangan kecil secara kerap. Misalnya, lima hidangan kecil sehari. Mereka yang mengamalkan kaedah pemakanan seperti ini akan menerima sejumlah nutrien, gula dalam darah dan tenaga secukupnya sepanjang hari. Malah, ia juga tidak akan memudaratkan sistem metabolik dan pencernaan anda.
Apabila anda mengamalkan lebih banyak pengambilan hidangan kecil sepanjang hari, anda kurang cenderung untuk makan berlebihan pada hidangan seterusnya. Sebaliknya, anda sebenarnya akan mengambil jumlah kalori yang lebih rendah dalam sehari. Pastikan anda mempunyai snek sihat bersama anda setiap masa untuk mengelakkan godaan snek berkalori tinggi. Berikut adalah antara lima snek pilihan utama.
1. Beri
Buah beri sememangnya kaya dengan antioksida. Kepelbagaian kulit beri yang terdiri daripada warna merah, ungu dan biru menandakan ia kaya bioflavonoid. Ia merupakan sejenis bahan antioksida yang dapat mengurangkan kerosakan akibat radikal bebas. Flavonoid-falvonoid ini adalah antioksida yang lebih berkesan berbanding vitamin C dan E. Malah, ia lebih berkesan daripada aspirin dalam mengurangkan kesan keradangan.
Beri biru adalah pilihan terbaik kerana ia bukan sahaja memiliki tahap kandungan antioksida tertinggi tetapi juga mempunyai unsur-unsur pelindung saraf. Unsur-unsur pelindung saraf ini dapat melindungi sel-sel otak daripada rosak, membantu melambatkan petanda-petanda awal penyakit yang berkaitan dengan peningkatan usia seperti hilang ingatan, penyakit Alzheimer dan nyanyuk.
Beri juga mengandungi kompaun baik antosianin. Antosianin merangsang pankreas untuk menghasilkan insulin. Para penyelidik Cina sejak sekian lama mendapati beri mampu mengekalkan tahap kesihatan pesakit diabetes. Kompaun- kompaun ini juga melindungi anda daripada penyakit kanser, artritis dan penyakit jantung kerana kesan pengurangan kolesterolnya.
2. Epal
Terdapat pelbagai sebab mengapa kita perlu makan sekurang-kurangnya sebiji epal setiap hari. Satu kajian mendapati, mereka yang makan melebihi lima epal seminggu memiliki fungsi paru-paru yang lebih sihat berbanding mereka yang langsung tidak mengambil epal. Para saintis juga telah mengesahkan epal merupakan penyumbang kepada kesihatan jantung.
Pengambilan dua hingga tiga biji epal sehari dapat mengurangkan tahap kolesterol dalam badan. Pektin juga boleh mencegah kanser kolon yang merupakan salah satu punca kematian utama di kalangan mereka yang berusia 60 ke atas.
3. Aprikot
Salah satu jenis makanan ruji di kalangan masyarakat panjang usia di lembah Hunza di Himalaya adalah aprikot. Kajian mendedahkan aprikot memiliki kandungan dan variasi karotenoid tertinggi berbanding makanan lain. Karotenoid adalah antioksida yang membantu mencegah penyakit jantung, mengurangkan paras kolesterol tidak baik dan melindungi tubuh daripada kanser.
4. Kekacang
Pengambilan sejumlah jenis kekacang setiap hari boleh memperbaiki peredaran darah dan membentuk otot tubuh. Kekacang dipenuhi dengan kandungan arginine iaitu sejenis asid amino yang membantu melawan penyakit jantung, ketidaksuburan, mati pucuk dan tekanan darah tinggi. Ia juga membantu proses penyembuhan.
Tambahan pula, arginine boleh merangsang kelenjar pituitari. Selepas usia 35 tahun, hormon mulai menjunam dan anda akan melalui sebahagian daripada simptom-simptom penuaan. Kulit mulai kehilangan kesan elastik, otot pula hilang kekuatannya manakala tisu-tisu tubuh juga merosot. Sebahagian besar kekacang adalah kaya dengan sumber vitamin E, lignan dan asid lemak omega-3 yang melindungi anda daripada penyakit jantung dan kesan penuaan.
Badam, kacang pain, bijan, kacang Brazil, walnut, benih labu, benih bunga matahari, benih flax, kacang tanah dan pitachio adalah antara kombinasi menarik. Ingatlah bahawa kekacang mentah adalah kaya dengan nutrien berbanding yang dibakar. Jadi, pastikan kekacang yang diambil adalah segar.
5. Avokado
Dalam banyak-banyak nutrien antioksida, glutation dikenali sebagai antioksida utama. Kompaun yang wujud secara semula jadi ini boleh ditemui dalam avokado, asparagus, walnut dan ikan. Ia terdiri daripada tiga jenis asid amino iaitu glisin, asid glutamik dan sisteina. Glutation dapat menyelaraskan sel-sel imunisasi, melindungi tubuh daripada kanser dan membantu mendetokskan badan. Kekurangan glutation dalam badan akan menyumbang kepada masalah diabetes, penyakit hati, penyakit jantung, bilangan sperma yang rendah dan penuaan pramatang.
Avokado juga merupakan satu sumber L-sisteina yang membantu melindungi tubuh daripada kesan-kesan berbahaya akibat pencemaran, bahan-bahan kimia, radiasi, alkohol dan asap rokok. L-sisteina juga membantu meningkatkan tahap imuniti, melindungi anda daripada penyakit jantung dan membina otot. Ia juga berguna untuk melawan keradangan dan menggalakkan pertumbuhan rambut dan kuku yang sihat. Gabungkan avokado dengan biskut atau roti penuh bijirin untuk keenakan hidangan kaya serat.
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang
Bermula pada minggu ini pengguna laman media sosial popular, Twitter sudah menyedari bahawa platform kegemaran mereka telah berubah logo kepada ‘X’.
Buat anda yang mungkin tidak tahu pemilik Twitter, Elon Musk mengambil keputusan menamakan semula atau menjenamakan semula platform ini kepada X.
Penjenamaan semula ini lantas menjadi topik tular yang rancak dibicarakan merentasi platform. Ada yang bersetuju malah ada juga tidak senang dengan langkah penjenamaan semula yang dilakukan Elon Musk.
“Penjenamaan ini merupakan satu lagi langkah transformasi berterusan Twitter, sebuah platform menyambungkan masyarakat dengan aspirasi aplikasi ini mampu melakukan segalanya,” jelas CEO Twitter, Linda Yaccarino.
Bagi Elon Musk pula berkata, “Twitter telah diperoleh oleh X Corp untuk memastikan kebebasan bersuara dan sebagai pemecut untuk X, aplikasi ‘everything’. Ini bukan sekadar syarikat yang menamakan semula dirinya, tetapi melakukan perkara yang sama”.
Namun langkah ini mungkin membawa masalah kepada Elon Musk dengan pelbagai tanda dagangan atau trademark yang menggunakan huruf ‘X’.
Memetik seorang peguam, Josh Gerben kepada Reuters, terdapat lebih 900 tanda dagangan aktif di Amerika Syarikat yang menggunakan huruf tersebut. Malah sesetengahnya adalah syarikat gergasi seperti Meta dan Microsoft.
Meta sahaja mendaftarkan tanda dagangan huruf tersebut denganw arna biru dan putih untuk perisian dan media sosial. Manakala Microsoft pula memilikinya untuk konsol ‘Xbox’ sejak tahun 2003.
“Berkemungkinan besar Twitter bakal akan disaman berkenaanperkara ini oleh seseorang,” tambah Gerben lagi.
Walau bagaimanapun tambahnya lagi Microsoft dan Meta tidak akan melakukan tindakan saman melainkan mereka merasakan penjenamaan semula Twitter melanggar hak milik tanda dagangannya.
Walaupun Musk berjaya menjenamakan semula Twitter kepada X, bagaimanapun, pihak lain masih boleh memfailkan tanda dagangan.
“Memandangkan kesukaran untuk melindungi satu huruf, terutamanya yang popular secara komersial seperti ‘X’, perlindungan Twitter mungkin terhad kepada grafik yang hampir serupa dengan logo X mereka,” jelas Douglas Masters, seorang peguam tanda dagangan di firma guaman Loeb & Loeb.
“Logo itu tidak mempunyai ciri tersendiri, jadi perlindungannya akan menjadi sangat sempit,” tambahnya lagi.
Apa pandangan anda tentang penjenamaan semula Twitter yang dilakukan oleh Elon Musk. Adakah ia langkah pemasaran atau perniagaan yang genius atau sebaliknya?
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN!
Kredit: Reuters
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang
Tradisi bubur lambuk yang cukup sinonim dengan bulan Ramadan kini melakar sejarah tersendiri apabila Nu Ideaktiv Sdn Bhd secara rasmi dinobatkan sebagai pemegang Malaysia Book of Records (MBOR) bagi kategori Pengagihan Bubur Lambuk Terbanyak oleh Anggota Beruniform.
Pengiktirafan berprestij ini dicapai menerusi penganjuran RASA Bubur Lambuk Rewang Abang Bomba 2026 yang menyaksikan sebanyak 16,000 mangkuk bubur lambuk berjaya disediakan dan diagihkan kepada masyarakat sekitar Kuala Lumpur.
Sijil rasmi Malaysia Book of Records tersebut disampaikan dalam satu majlis khas di Dataran Merdeka kepada Ketua Pegawai Eksekutif Nu Ideaktiv, Encik Syamil Fahim Mohamed Fahim bersama Editor Pengurusan RASA, Puan Emma Masri yang mewakili pasukan di sebalik kejayaan bersejarah ini.
Pencapaian ini bukan sekadar tentang angka semata mata. Ia turut membuktikan bagaimana sebuah jenama gaya hidup tempatan mampu mengangkat tradisi kulinari rakyat Malaysia ke tahap pencapaian nasional yang membanggakan.
Seawal pagi kawasan sekitar Dataran Merdeka bertukar menjadi dapur komuniti berskala besar apabila ratusan anggota bomba sukarelawan serta rakan strategik berganding bahu menyediakan bubur lambuk secara gotong royong.
Proses memecahkan rekod menerusi program RASA Bubur Lambuk Rewang Abang Bomba ini melibatkan setiap peringkat penting termasuk penyediaan bahan memasak menggunakan kawah berskala besar, pembungkusan, pengiraan serta audit sebelum bubur lambuk diagihkan kepada orang ramai.
Sebahagian bubur lambuk turut diserahkan secara simbolik kepada 13 buah masjid sekitar Kuala Lumpur sebelum konvoi agihan dilepaskan secara rasmi dalam majlis flag off di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad.
Detik bersejarah itu kemudian dimeterai dengan penyampaian sijil rasmi Malaysia Book of Records sekali gus menandakan kejayaan usaha kolektif melibatkan anggota beruniform, rakan strategik serta komuniti dalam menjayakan misi pengagihan bubur lambuk terbesar menerusi RASA Bubur Lambuk Rewang Abang Bomba.
Bagi Nu Ideaktiv pencapaian ini membawa makna yang jauh lebih besar daripada sekadar angka.
Sebagai portal masakan nombor satu negara, RASA telah lama memainkan peranan penting dalam mengangkat warisan kulinari tempatan termasuk tradisi bubur lambuk yang cukup sinonim dengan Ramadan.
Sejak awal penubuhannya sebagai majalah masakan, bubur lambuk sentiasa menjadi antara simbol kebersamaan yang paling dekat dengan jenama RASA. Ia bukan sekadar makanan tetapi lambang semangat rewang, gotong royong dan perkongsian dalam masyarakat.
Melalui penganjuran RASA Bubur Lambuk Rewang Abang Bomba, semangat kebersamaan ini diterjemahkan dalam bentuk acara komuniti berskala besar yang menyatukan pelbagai pihak daripada anggota bomba hingga masyarakat setempat.
Daripada halaman majalah kepada platform digital dan kini kepada penganjuran acara berskala nasional, RASA terus memperkukuh peranannya sebagai jenama yang bukan sahaja berkongsi resipi tetapi turut memelihara serta menghidupkan semula tradisi kulinari rakyat Malaysia.
Acara RASA Bubur Lambuk Rewang Abang Bomba turut berlangsung dalam suasana meriah dengan kehadiran pelbagai selebriti serta personaliti terkenal.
Majlis ini turut menyaksikan pengumuman rasmi Catriona Ross sebagai Duta Raya pertama Ideaktiv yang akan memainkan peranan penting dalam pelbagai inisiatif kempen Aidilfitri termasuk aktiviti komuniti, penghasilan kandungan digital serta penglibatan dalam program kemasyarakatan sepanjang musim perayaan.
Pemilihan Catriona Ross dibuat berdasarkan keperibadiannya yang mencerminkan nilai positif, keanggunan serta hubungan yang rapat dengan masyarakat selari dengan aspirasi Ideaktiv untuk meraikan semangat kebersamaan dalam setiap kempen yang dijalankan.
Sepanjang program berlangsung beliau turut aktif menyertai setiap proses penyediaan bubur lambuk termasuk memasak, pembungkusan serta pengagihan kepada orang ramai dalam program RASA Bubur Lambuk Rewang Abang Bomba.
Program ini turut dimeriahkan dengan kehadiran Astro Duta Bila Bersama Lagi Jadi Shiera serta kumpulan sensasi Alpha.
Pentas RASA Bubur Lambuk Rewang Abang Bomba juga dimeriahkan oleh hos Borak Seeni iaitu Haziq Hussni, Nazrief Nazri dan Muhsin Nadzli yang menghidupkan suasana dengan pelbagai aktiviti interaktif bersama pengunjung.
Turut mencuri perhatian ialah kemunculan Mualim Muda Anas, Mualim Muda Amar, Mualim Muda Luqman dan Mualim Muda Ashraf.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Nu Ideaktiv Encik Syamil Fahim Mohamed Fahim, pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records ini merupakan detik yang sangat bermakna buat seluruh pasukan.
“Pengiktirafan ini adalah simbol kepada apa yang boleh dicapai apabila sebuah komuniti bersatu dengan tujuan yang sama. Dari pasukan RASA yang merancang kempen ini sejak berbulan lalu kepada anggota bomba, rakan strategik, sukarelawan dan semua yang hadir hari ini setiap individu memainkan peranan penting dalam menjayakan usaha ini.
Bagi Nu Ideaktiv pencapaian ini membuktikan bahawa jenama gaya hidup seperti RASA mampu melangkaui sekadar kandungan digital dan benar benar memberi impak kepada masyarakat.
“Kami percaya kekuatan sebenar sesuatu jenama terletak pada keupayaannya menyatukan orang ramai dan hari ini kita menyaksikan bagaimana sebuah tradisi sederhana seperti bubur lambuk boleh berkembang menjadi satu pencapaian nasional yang membanggakan,” tambahnya lagi.
Sementara itu Editor Pengurusan RASA Emma Masri menyifatkan kejayaan ini sebagai hasil dedikasi dan usaha kolektif pelbagai pihak.
“Bagi kami di RASA bubur lambuk bukan sekadar hidangan Ramadan. Ia adalah simbol kepada semangat rewang yang menjadi asas kepada budaya masyarakat kita. Sejak dahulu lagi RASA sentiasa berusaha mengangkat tradisi ini melalui kandungan resipi dan juga aktiviti komuniti.
Melihat tradisi ini berkembang sehingga berjaya mencatat rekod Malaysia Book of Records menerusi RASA Bubur Lambuk Rewang Abang Bomba adalah sesuatu yang amat bermakna buat seluruh pasukan.”
Program ini dianjurkan oleh Nu Ideaktiv melalui RASA dengan kerjasama Program Iftar Ramadan anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
Sokongan turut diberikan oleh Kenanga Investment dan AJI SHIO sebagai penaja bersama serta rakan kolaborasi Kedai FGV, Able Farm, EcoSafa, Luckin Coffee dan inDrive.
Turut memainkan peranan penting dalam menjayakan inisiatif ini ialah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Management and Science University, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara serta Persatuan Mencegah Dadah Malaysia.
Manakala rakan media Astro, Borak Seeni dan Sinar Harian membantu menyebarkan kemeriahan program ini kepada seluruh rakyat Malaysia.
Dengan kejayaan ini RASA Bubur Lambuk Rewang Abang Bomba 2026 bukan sekadar sebuah acara Ramadan biasa tetapi kini tercatat dalam sejarah sebagai simbol bagaimana tradisi komuniti dan kolaborasi mampu melahirkan sesuatu yang luar biasa.
Daripada semangat rewang di sekitar kawah bubur lambuk kini ia berkembang menjadi sebuah rekod kebangsaan yang membanggakan Malaysia.
Kerana pada akhirnya seperti yang dibuktikan hari ini Bila Bersama Lagi Jadi.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang