
Ada mesej yang ingin disampaikan oleh Great Wall Motor (GWM) selepas mencatatkan kejayaan besar di Rali Taklimakan 2026, antara perlumbaan off-road paling mencabar di Asia.
Dalam dunia automotif, terdapat satu prinsip yang sering dipegang oleh pengeluar kenderaan lasak. Jika sesebuah jentera mampu bertahan dalam perlumbaan paling ekstrem di dunia, teknologi yang sama pasti mampu memberikan keyakinan kepada pemandu biasa dalam penggunaan harian.
Bagi peminat dunia off-road, nama Rali Taklimakan sememangnya cukup dihormati.
Acara yang berlangsung selama 17 hari itu merangkumi perjalanan sejauh 7,500 kilometer merentasi padang pasir, laluan berbatu, sungai serta suhu ekstrem yang menguji ketahanan jentera dan pemandu sehingga ke had maksimum.
Edisi 2026 menyaksikan peserta berdepan 13 peringkat khas perlumbaan dengan lebih 3,400 kilometer laluan kompetitif yang dianggap antara paling sukar dalam sejarah penganjurannya.
Antara cabaran paling terkenal termasuk SS3 sepanjang 468 kilometer, iaitu laluan tunggal terpanjang dalam tempoh enam tahun kebelakangan ini, selain dua peringkat yang dikenali sebagai “Devil Double”, yang sering mencatat kadar penamatan perlumbaan paling rendah dalam kalangan peserta.
Namun dalam keadaan yang begitu mencabar, GWM berjaya mencipta pencapaian luar biasa apabila menyapu bersih semua kategori utama T2 kenderaan produksi.
Pengeluar dari China itu merangkul T2.E New-Energy Manufacturers’ Cup, T2.1 ICE Manufacturers’ Cup serta T2.3 Production Club Cup.
Jentera yang menjadi tulang belakang kejayaan tersebut ialah GWM TANK 700 Hi4-T.
Model tersebut berjaya meraih 11 kemenangan peringkat sepanjang perlumbaan, sekali gus membuktikan kemampuan sistem pacuan empat roda, ketahanan casis serta kecekapan teknologi hibrid yang digunakan.
Lebih mengagumkan, kesemua jentera rasmi GWM berjaya menamatkan perlumbaan tanpa sebarang kegagalan mekanikal.
Pencapaian ini cukup signifikan kerana kenderaan yang bertanding masih menggunakan struktur asas kenderaan produksi mengikut peraturan FIA kategori T2. Casis, badan kenderaan serta sistem trenkuasa utama dikekalkan hampir sama seperti model yang dibina di kilang.
Ini bermakna kejayaan tersebut bukan sekadar hasil modifikasi perlumbaan semata-mata, tetapi lahir daripada asas kejuruteraan yang kukuh sejak peringkat pembangunan produk lagi.
Walaupun model yang digunakan dalam perlumbaan ialah TANK 700 Hi4-T, manfaat daripada program pembangunan ekstrem seperti ini turut disalurkan kepada model lain dalam keluarga TANK.
Menurut Pengarah Urusan GWM Malaysia, Cui Anqi, kejayaan di Rali Taklimakan mencerminkan standard kejuruteraan, kepakaran off-road dan falsafah pembangunan produk yang menjadi asas kepada keseluruhan keluarga TANK.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi GWM Malaysia, Roslan Abdullah berkata:
“Pelanggan Malaysia menikmati manfaat keupayaan tersebut menerusi kenderaan seperti GWM TANK 300 HEV dan GWM TANK 500 HEV yang dibangunkan dengan komitmen sama terhadap ketahanan, keupayaan dan keyakinan pemanduan.
Sama ada mengharungi kesesakan bandar, memulakan perjalanan jauh bersama keluarga atau meneroka destinasi off-road, objektifnya tetap sama iaitu memberikan keyakinan dalam setiap perjalanan.”
Di Malaysia, GWM kini mempertaruhkan dua model utama dalam keluarga TANK iaitu TANK 300 HEV dan TANK 500 HEV.
TANK 300 HEV menawarkan gabungan unik antara keupayaan off-road sebenar, teknologi hibrid serta penggunaan harian yang praktikal. Dibina menggunakan platform body-on-frame, model ini menjadi pilihan bagi mereka yang mahukan SUV lasak tetapi masih selesa digunakan setiap hari.
Bagi mereka yang mahukan lebih kemewahan dan ruang, TANK 500 HEV pula tampil sebagai model flagship yang menggabungkan teknologi premium, keselesaan tinggi dan keupayaan off-road yang serius dalam pakej SUV bersaiz besar.
Menurut GWM, data dan pengalaman yang diperoleh daripada perlumbaan ekstrem seperti Taklimakan membantu meningkatkan pembangunan sistem penyejukan, ketahanan trenkuasa, talaan suspensi, penghantaran kuasa serta kebolehpercayaan keseluruhan kenderaan.
BACA: MINI Aceman Serba Elektrik Dilancarkan Di Malaysia, Crossover Kompak Dengan Karakter Berani
Dalam industri automotif moden, perlumbaan bukan lagi sekadar soal kemenangan.
Ia menjadi makmal bergerak yang membolehkan pengeluar menguji teknologi dalam keadaan paling ekstrem sebelum diaplikasikan kepada pengguna biasa.
Kejayaan GWM di Rali Taklimakan 2026 menunjukkan bahawa keluarga TANK bukan sekadar dibangunkan untuk kelihatan lasak di atas kertas, tetapi telah dibuktikan kemampuannya dalam dunia sebenar.
Daripada gurun Xinjiang yang terkenal dengan cuaca ekstrem dan laluan mencabar sehinggalah ke jalan raya serta destinasi pengembaraan di Malaysia, kejayaan ini memberikan gambaran jelas tentang falsafah GWM — membina kenderaan yang mampu berdepan cabaran paling sukar sebelum diserahkan kepada pelanggan untuk kegunaan harian mereka.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.