Kenali 8 Stadium Piala Dunia 2022 Qatar, Antara Paling Canggih Di Dunia

Share

Tanyalah mana-mana peminat bola sepak. Di antara kejohanan yang paling ulung dinanti-natikan mereka tidak lain tidak bukan ialah Piala Dunia. Kejohanan anjuran FIFA setiap empat tahun sekali itu bakal menemui kita lagi dengan edisi tahun ini.

Namun berbeza dengan kebiasaannya diadakan pada pertengahan tahun, edisi kali ke-22 yang menyaksikan negara Qatar menjadi tuan rumah akan diadakan pada bulan November dan Disember 2022. Kejohanan ini buat pertama kalinya menyaksikan negara dari Liga Arab menjadi tuan rumah.

Walaupun terpalit dengan beberapa kontroversi namun MASKULIN menjangkakan Piala Dunia 2022 Qatar akan berlangsung dengan penuh jaya. Populariti bola sepak kini berada di tahap paling tinggi dengan jumlah penonton global meningkat saban tahun.

Persiapan yang dilakukan oleh Qatar telah dilakukan dengan cukup rancak walaupun dikatakan tergendala seketika akibat pandemik COVID-19. Bagi Piala Dunia kali ini, Qatar telah membangunkan dan melakukan renovasi sebanyak lapan buah stadium bola sepak yang cukup canggih dan tersendiri.

Lebih menarik kesemua stadium ini berada dalam lingkungan hanya 55 kilometer sahaja!

Ikuti lapan buah stadium yang bakal menyaksikan 32 buah negara berentap menjadi negara paling hebat dalam sukan bola sepak!

KHALIFA INTERNATIONAL STADIUM

Ia merupakan stadium tertua di Qatar dan dibina pada tahun 1976. Untuk Piala Dunia, Qatar telah melakukan renovasi dan mengubah Khalifa International Stadium kepada wajah baharu.

Ia boleh memuatkan seramai 40,000 orang penonton dan dilengkapi dengan teknologi penyejukan yang membenarkan pemain berada dalam suasana selesa.

AL-THUMAMA STADIUM

Terletak 12 km dari Doha, Al Thumana Stadium menampilkan rekaan corak simpulan Arab dengan inspirasi dari Gahfiya atau kopiah yang dipakai ramai lelaki Arab. Stadium ini turut dilengkapi teknologi penggunaan air lebih menjimatkan berbanding stadium konvensional lain.

STADIUM 974

Salah sebuah stadium yang cukup unik kerana sebahagiannya dibina daripada kontena kapa dan juga bahan besi istimewa.

Stadium 974 turut melambangkan Qatar sebagai sebuah negara yang kaya dengan aktiviti perdagangan dan budaya maritim. Nombor ‘974’ juga merupakan kod bagi negara Qatar dan juga jumlah kontena yang digunakan.

AL-BAYT STADIUM

Perlawanan pembukaan Piala Dunia 2022 menyaksikan pertembungan Qatar dan Ecuador bakal dilangsungkan di Al-Bayt Stadium.

Ia terletak di Al Khor, kira-kira 50 kilometer dari ibu negaranya, Doha. Karakter menarik stadium ini ialah bumbungnya yang kelihatan seperti khemah dari puak nomad di negara Qatar dan Arab.

AL-JANOUB STADIUM

Terletak di Al-Wakrah, Al Janoub Stadium diilhamkan dari rekaan bot tradisional Qatar dikenali sebagai ‘dhow’ yang digunakan oleh penyelam yang mencari mutiara di dalam laut.

AHMAD BIN ALI STADIUM

Stadium kepada kelab Qatar paling berjaya dalam sejarah bola sepak tempatan, Al Rayyan. Rekaan stadium ini meraikan budaya ramah mesra rakyat Qatar dengan pendekatan nilai kekeluargaan dan keindahan gurun. Ia mampu memuatkan kira-kira 40,000 orang penonton dalam satu masa.

EDUCATION CITY STADIUM

Sesuai dengan namanya, stadium ini terletak di tengah-tengah kompleks pendidikan dan inovasi Qatar. Education City Stadium hadir dengan bentuk seperti permata dan mampu berubah warna apabila terkena cahaya matahari.

LUSAIL ICONIC STADIUM

Ia terletak di bahagian Utara ibu kota Doha dan merupakan stadium terbesar bagi edisi kali ini. Lusail Iconic Stadium juga bakal menjadi stadium untuk perlawanan akhir dengan kapasiti seramai 80,000 orang penonton.

Sumber: archdaily.com

IKLAN