
Foto : HaloDoc
Pernah tak anda perasan, setiap kali garu badan walaupun hanya secara perlahan kulit terus berubah menjadi merah dan meninggalkan kesan seolah-olah calar?
Ada yang menganggap ini perkara biasa, tapi bagi sesetengah orang, reaksi ini agak keterlaluan sehingga menimbulkan rasa tidak selesa.
Sebenarnya, situasi ini ada penjelasan saintifiknya dan boleh jadi petanda sesuatu yang lebih serius.
Apabila anda menggaru kulit, tubuh secara automatik mengaktifkan sel-sel mast (mast cells) yang berada di lapisan kulit.
Sel-sel ini akan melepaskan histamin, sejenis bahan kimia semula jadi dalam badan yang mencetuskan tindak balas keradangan.
Akibatnya, saluran darah akan mengembang dan kawasan yang digaru menjadi merah, bengkak dan terasa gatal.
Ini adalah tindak balas biasa dan tidak semestinya berbahaya.
Namun, jika setiap kali anda menggaru, kulit terus menunjukkan kesan merah yang sangat jelas dan timbul dalam bentuk garis-garis, anda mungkin mengalami keadaan yang dikenali sebagai dermografisme.
Ia adalah sejenis urtikaria fizikal di mana kulit menjadi sangat sensitif terhadap tekanan atau geseran ringan.
Dalam sesetengah kes, orang yang mengalaminya boleh ‘melukis’ di atas kulit mereka dan hasilnya kelihatan jelas dalam bentuk garisan merah timbul.
Keadaan ini tidak berbahaya, tetapi boleh mengganggu rutin harian jika gatal menjadi terlalu kuat atau kerap berlaku.
Selain dermografisme, terdapat beberapa faktor lain yang boleh menyebabkan kulit mudah naik tanda merah apabila digaru.
Antaranya ialah kulit yang terlalu kering, penggunaan produk penjagaan diri yang mengandungi bahan kimia keras, alahan kepada persekitaran (seperti debu atau makanan), serta tekanan emosi.
Malah, sistem imun yang terlalu aktif juga boleh menyebabkan kulit bertindak balas secara berlebihan terhadap rangsangan kecil.
Jika anda sering mengalami masalah ini, beberapa langkah boleh diambil untuk mengurangkan simptom.
Pertama, pastikan kulit sentiasa lembap dengan menggunakan losyen pelembap yang sesuai, terutamanya selepas mandi.
Elakkan menggaru dengan kasar dan cuba tepuk atau sejukkan kawasan yang gatal.
Anda juga digalakkan menukar sabun, syampu atau losyen kepada produk yang bebas pewangi dan alkohol.
BACA LAGI :
Air Kosong Sihat, Tapi Bukan Penyelamat Makanan Manis AndaSekiranya perlu, pengambilan antihistamin boleh membantu, tetapi seeloknya dapatkan nasihat doktor terlebih dahulu.
Selain itu, kawalan stres juga penting kerana tekanan emosi boleh memburukkan lagi keadaan kulit.
Kulit merupakan barisan pertahanan pertama tubuh terhadap persekitaran.
Sama ada ia reaksi biasa atau petanda awal kepada masalah kulit, penting untuk kita memahami tubuh sendiri dan tidak mengambil ringan jika simptom berlarutan.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.