Nama ahli perniagaan ini mungkin tidak perlu diperkenalkan lagi terutamanya buat anda yang mempunyai minat cukup mendalam dalam dunia perniagaan. Terkenal dengan panggilan ‘Tauke Gula’, anak jati kelahiran Johor Bahru bernama Tan Sri Robert Kuok ini merupakan bilionair yang sangat disegani.
Bukan sahaja di negara kita malah kejayaannya dalam dunia perniagaan menjadi inspirasi masyarakat global. Baru-baru ini beliau telah diumumkan sebagai salah seorang dari 100 individu terkaya di dunia.
Foto: Nora Tam/SCMP
Memetik laporan dari Indeks Bilionwan Bloomberg, setakat awal November ini jumlah kekayaan dimiliki ta membolehkan beliau diangkat sebagai salah seorang individu terkaya di dunia.
Walaupun lebih sinonim dengan perniagaan melibatkan industri penghasilan gula Tan Sri Robert Kuok juga banyak terlibat dalam perniagaan lain seperti sektor kewangan, perhotelan dan pengangkutan.
Ads
LEGASI PERNIAGAAN
Terdahulu beliau turut tersenarai sebagai individu terkaya di dunia dengan nilai kekayaan sebanyak USD11.5 billion (RM48 bilion) iaitu pada tahun 2022. Untuk rekod beliau telah mengekalkan gelaran itu selama lebih 20 tahun.
Beliau mengasaskan Robert mengasaskan dan mengawal Kumpulan Kuok yang kini beroperasi di seluruh rantau sama ada sektor hospitaliti, pertanian, hartanah serta pengangkutan dan logistik.
Sumber kekayaan terbesar ialah kepentingannya dalam Wilmar International, penapis minyak sawit tersenarai terbesar di dunia, walaupun mungkin aset Kumpulan Kuok yang paling terkenal ialah Shangri-La Hotels.
Ads
Beliau juga cukup dikenalid engan sifat pemalu dengan media. Walaupun beliau sendiri memiliki hartanah media termasuk South China Morning Post.
Ads
Pada tahun 2017, Tan Sri Robert Kuok memberikan pandangan yang menarik tentang kehidupannya yang sangat berbeza pada tahun 2017 menerusi sebuah buku berjudul ‘Robert Kuok: A Memoir’.
Pada hari ini, Hari pelbagai perniagaannya dikendalikan oleh generasi Kuok seterusnya, termasuk anak dan anak saudaranya.
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang
Usahawan sensasi tanah air, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman, sekali lagi mencuri perhatian apabila menerima Anugerah Ikon Usahawan sempena Majlis Hari Belia Wilayah Persekutuan 2025 yang berlangsung pada Ahad.
Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sebagai penghargaan terhadap sumbangan beliau dalam bidang keusahawanan tanah air.
Menerusi satu hantaran di laman Instagram miliknya, Aliff meluahkan rasa syukur atas pengiktirafan tersebut dan mengakui bahawa kejayaannya hari ini tidak mungkin tercapai tanpa doa dan sokongan tidak berbelah bahagi daripada ibunya, Rozita Ibrahim, serta isteri tercinta, Datin Seri Shahida.
“Terima kasih doa mak sy @bondarozitaibrahim dan wife sy yg sentiasa bersama sy @shahidadherbs ❤️❤️.. Alhamdulillah, rezeki tak disangka,” tulis Aliff dalam kapsyen Instagramnya.
Perkongsian tersebut turut dihujani dengan ribuan komen daripada para pengikut yang mengucapkan tahniah serta memberikan kata-kata semangat.
Rata-rata netizen memuji ketabahan dan semangat juang Aliff yang tidak pernah kenal erti putus asa, malah terus melakar kejayaan demi kejayaan dalam dunia keusahawanan walaupun sering berdepan kontroversi.
Datuk Seri Aliff Syukri bin Kamarzaman, yang dilahirkan pada 3 April 1987, bukanlah nama asing dalam dunia keusahawanan Malaysia.
Beliau merupakan anak kepada Rozita Ibrahim, pengasas jenama kecantikan terkenal Sendayu Tinggi.
Minat beliau dalam dunia perniagaan bermula seawal usia tujuh tahun, ketika tinggal bersama neneknya di Sabak Bernam, Selangor.
Sejak dari kecil, Aliff sudah menunjukkan minat mendalam dalam berniaga menjual barangan kecil-kecilan demi menjana pendapatan sendiri.
Semangat itu terus dibawa hingga dewasa, dan akhirnya beliau mengasaskan syarikat D’Herbs Holdings (M) Sdn Bhd, yang kini terkenal dengan slogan “Terlajak Laris!”
Selain aktif dalam dunia keusahawanan, Aliff juga dikenali sebagai seorang selebriti dan personaliti media sosial.
Beliau sering mencuri perhatian dengan keletah spontan dan gaya hidup mewahnya, malah turut mencuba nasib dalam bidang nyanyian dan lakonan.
Namun begitu, apa jua kritikan yang dihadapinya, Aliff tetap teguh berdiri dan tidak gentar berdepan cabaran.
Penerimaan anugerah ini membuktikan bahawa segala usaha kerasnya selama ini dihargai dan diiktiraf.
Menerusi pengiktirafan sebagai Ikon Usahawan, Datuk Seri Aliff Syukri diharap dapat menjadi sumber inspirasi kepada golongan belia agar terus mengejar impian dan tidak takut untuk mencuba sesuatu yang baru.
Dengan latar belakang yang penuh jatuh bangun, kisah kejayaan Aliff Syukri menjadi bukti bahawa kejayaan tidak datang bergolek, sebaliknya menuntut pengorbanan, kecekalan dan semangat juang yang tinggi.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang
Selepas lebih dua dekad menggegarkan gelanggang gusti profesional, John Cena akhirnya mengumumkan penamat kepada satu era yang cukup berpengaruh dalam sejarah World Wrestling Entertainment (WWE).
Namanya bukan sekadar sinonim dengan kejuaraan dan sorakan penonton, tetapi juga melambangkan disiplin, kerja keras dan daya tahan mental yang membentuk identiti seorang legenda sukan hiburan.
Perlawanan terakhir John Cena berlangsung dalam suasana penuh emosi apabila beliau membuat keputusan untuk menutup karier gustinya di hadapan ribuan peminat. Detik tersebut menjadi simbol penamat perjalanan panjang seorang ikon yang telah membesarkan generasi peminat WWE sejak awal tahun dua ribu.
Dalam momen yang tidak pernah disaksikan sebelum ini, Cena tewas melalui tap out selepas dikunci oleh lawannya, satu pengakhiran yang cukup signifikan buat seorang figura yang jarang mengalah secara simbolik.
Dalam ucapannya selepas perlawanan, Cena hanya melontarkan satu ayat ringkas tetapi penuh makna kepada para peminat.
Kata beliau, “Thank you.” Ungkapan itu cukup untuk menggambarkan hubungan istimewa antara dirinya dan jutaan penyokong di seluruh dunia yang setia mengikuti setiap fasa kariernya.
Dilahirkan dengan nama penuh John Felix Anthony Cena di West Newbury, Massachusetts, perjalanan John Cena ke dunia gusti bermula jauh sebelum dia melangkah masuk ke WWE.
Pada usia dua belas tahun, beliau mula mengangkat berat bagi mempertahankan diri daripada pembuli, satu keputusan yang akhirnya membentuk fizikal dan mentaliti juara.
Semasa di kolej, Cena merupakan pemain bola sepak Division Three All American di Springfield College dan memakai jersi bernombor lima puluh empat, nombor yang kemudiannya menjadi simbol kepada perjalanan awalnya dalam dunia gusti profesional.
John Cena membuat debut di pentas utama WWE pada Jun 2002 apabila beliau tampil menentang Kurt Angle.
Walaupun tewas dalam perlawanan tersebut, keberanian dan karismanya membuka laluan kepada karier yang luar biasa.
Pada peringkat awal, beliau dikenali sebagai The Prototype sebelum mencipta identiti ikonik Doctor of Thuganomics yang menggabungkan elemen rap dan keperibadian jalanan.
Sepanjang kariernya, John Cena bukan sahaja mencipta kejayaan di gelanggang, malah berkembang sebagai figura hiburan global.
Beliau pernah melancarkan album rap berjudul You Can’t See Me yang mendapat sambutan menggalakkan, selain membina kerjaya lakonan di Hollywood menerusi filem dan siri televisyen.
Di sebalik kejayaan tersebut, Cena juga dikenali sebagai antara selebriti paling aktif dalam kerja kebajikan apabila memegang rekod memenuhi permintaan paling banyak untuk Make A Wish Foundation dengan lebih 650 permintaan direalisasikan.
Menariknya, bagi mengukuhkan hubungan dengan peminat di Asia, John Cena turut mempelajari bahasa Mandarin sebagai usaha menghormati komuniti peminatnya di China.
Selain itu, beliau juga merupakan seorang penulis buku kanak-kanak menerusi siri Elbow Grease yang membawa mesej positif tentang kerjasama, disiplin dan keyakinan diri.
Perjalanan hidup John Cena tidak sentiasa mudah. Sebelum menempa kejayaan besar, beliau pernah tinggal di dalam kereta Lincoln Continental ketika cuba membina kerjaya dalam bidang lakonan dan bina badan di California.
Pengalaman tersebut membentuk keperibadiannya yang merendah diri dan menghargai setiap peluang yang hadir.
Dalam perlawanan terakhirnya, Cena turut menerima penghormatan daripada rakan seperjuangan apabila beliau menyerahkan tali pinggang kejuaraan kepada bintang generasi baharu sebelum meninggalkan gelanggang. Tindakan itu melambangkan peralihan era dan penghormatan kepada masa depan WWE.
Walaupun dia kini menutup tirai sebagai gusti profesional, legasinya akan terus hidup.
Beliau bukan sekadar juara di atas kertas, tetapi seorang ikon yang membuktikan bahawa disiplin, ketekunan dan sikap tidak pernah mengalah mampu mengubah nasib seseorang.
Dunia gusti mungkin akan terus berubah, namun nama John Cena akan kekal terpahat sebagai salah seorang figura paling berpengaruh dalam sejarah WWE.
Penyanyi, hos dan selebriti serba boleh, Alif Satar sebelum ini cukup dikenali sebagai seorang seorang ikon industri hiburan tanah air yang aktif menggerakkan ‘Subuh Macam Jumaat’.
Gerakan inilah menyaksikan ia mendapat sambutan ramai terutamanya di kalangan anak muda di negara kita. Bahkan ia mula merebak dan diadakan di seluruh negara dan negara jiran.
Alif Satar sentiasa mengajak dan menyeru orang ramai untuk turun mengimarahkan masjid untuk turun beramai-ramai solat Subuh.
Terbaru, dia bakal mengajak peminatnya dan orang ramai untuk menghadiri satu acara istimewa, ‘Qiyam Macam Jumaat’.
Perkara ini dikongsikan sendiri Alif Satar menerusi laman media social Instagram kendaliaannya.
“Alif nak remind kepada semua yang kita akan buat qiyam macam Jumaat, hari Sabtu (esok). Tarawih kemuduian kita ada tazkirah, kemudian masjid jemput semua untuk bermalam tidur di masjid.
“Kemudian ada solat tahajud sama-sama, seterusnya sahur an solat Subuh,” jelasnya dalam satu hantaran video.
Selain Alif Satar, turut melakukan kemunculan ialah penyanyi terkenal, Faizal Tahir. Program ‘Qiam Macam Jumaat Bersama Alif Satar dan Faizal Tahir’ ini akan diadakan pada 22 Mac 2025 bertempat di Masjid Al Falah USJ9, Subang Jaya.
Memetik laporan Harian Metro, Alif Satar berkata,”Idea ini tercetus apabila saudara Faizal Tahir menghubungi saya dan menyatakan kebimbangannya terhadap serangan yang kembali dilakukan oleh rejim Zionis, terutama dalam bulan Ramadan yang mulia ini”.
Tambahnya lagi mungkin ada di antara kita yang mula terlupa tentang situasi yang masih berlaku di Palestin.
“Kita mungkin sudah terbiasa dengan kehidupan seharian sehingga alpa bahawa masih ramai saudara seagama yang sedang berjuang untuk hidup.
“Oleh itu, program ini bukan sekadar satu inisiatif ibadah, tetapi juga satu bentuk solidariti dalam menunjukkan sokongan kepada mereka yang sedang menderita,” tambahnya lagi.
Buat anda yang berdekatan dan ingin turut serta boleh sama-sama turun ke lokasi program ini untuk menjayakannya dan sama-sama beribadah di bulan mulia ini.
Tahniah dan syabas buat Alif Satar dan Faizal Tahir kerana menggunakan pengaruh serta menginspirasikan orang ramai ke arah kebaikan.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang
Kemunculan wajah Aiman Hakim Ridza di beberapa lokasi strategik menerusi paparan digital gergasi menimbulkan rasa tertanya-tanya di kalangan orang awam.