
Lelaki, jangan tunggu rebah baru mahu ambil peduli. Penyakit jantung bukan lagi masalah orang berusia, malah kini semakin banyak menyerang lelaki muda seawal usia 30-an. Apa yang membimbangkan, kebanyakan kes serangan jantung bermula dengan simptom kecil yang kerap diabaikan kerana dianggap remeh.
Menurut doktor perubatan Dr Kent Khaw, ramai masih percaya serangan jantung mesti berlaku secara tiba-tiba – pegang dada, jatuh dan pengsan. Hakikatnya, tubuh sebenarnya sudah memberi amaran awal, cuma kita yang tidak mahu mendengar. Jika dikesan lebih awal, peluang untuk merawat dan mencegah serangan jantung lebih tinggi.

Simptom Awal Penyakit Jantung Yang Lelaki Selalu Abaikan
Rasa tak selesa di dada – perasaan berat, ketat, ditekan atau terbakar. Sakit ini boleh merebak ke lengan kiri, rahang, belakang badan atau bahagian perut atas (epigastrik).
Cepat penat dan sesak nafas – tercungap walaupun hanya berjalan lima minit atau naik tangga sedikit. Bukan soal umur, tapi tanda jantung lemah.
Berdebar, pening atau pengsan tanpa sebab jelas – berlaku bila tekanan darah turun secara tiba-tiba atau ritma jantung tidak stabil.
Bengkak kaki, batuk waktu malam dan sukar tidur berbaring – tanda kegagalan jantung yang menyebabkan cecair terkumpul di paru-paru serta anggota badan.

Simptom Senyap Dalam Kalangan Wanita
Dr Khaw menambah, wanita pula lebih cenderung mengalami ‘silent heart attack’. Mereka mungkin tidak rasa sakit dada, sebaliknya hanya alami penat luar biasa, loya, sakit belakang atau sesak nafas. Keadaan ini lebih berbahaya kerana sukar dikenal pasti tanpa pemeriksaan doktor.
Faktor Risiko Penyakit Jantung Yang Wajib Dielakkan
Berat badan berlebihan (BMI 25 ke atas)
Tekanan darah tinggi, kolesterol dan gula dalam darah tinggi
Merokok dan penggunaan produk tembakau
Kurang bersenam dan gaya hidup sedentari
Makan makanan tinggi garam, kolesterol dan lemak tidak sihat
Tekanan emosi yang berpanjangan
Sejarah keluarga berpenyakit jantung
Pernah alami COVID-19 atau pre-eclampsia ketika hamil
Langkah Pencegahan Untuk Lelaki Maskulin
Buat pemeriksaan kesihatan berkala – semak tekanan darah, kolesterol dan gula.
Amalkan diet sihat – kurangkan makanan berminyak dan tinggi garam.
Aktifkan gaya hidup – senaman kardio seperti jogging, berbasikal atau berenang sekurang-kurangnya 30 minit sehari.
Berhenti merokok dan hadkan alkohol.
Cukupkan tidur – sekurang-kurangnya 7 jam sehari untuk keseimbangan tubuh.
Dr Khaw mengingatkan: “Jangan tunggu rebah baru bertindak. Kadang-kadang jantung dah beri isyarat awal, tapi kita yang tak mahu dengar.”
Kesimpulan: Penyakit jantung ialah pembunuh nombor satu lelaki. Jangan biarkan simptom kecil berlalu begitu sahaja. Lelaki maskulin sejati bukan sekadar menjaga penampilan luaran, tetapi juga memastikan jantung kekal sihat, kuat dan bertenaga untuk masa depan.
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang










