Magnus Carlsen Tewaskan ChatGPT Tanpa Kehilangan Satu Bidak Bukti Kehebatan Grandmaster Dunia

Share

Grandmaster Norway, Magnus Carlsen, berjaya menewaskan ChatGPT dalam satu perlawanan catur dalam talian hanya dalam 53 langkah, tanpa kehilangan satu pun bidaknya.

Menurut tangkap layar yang dikongsikan oleh Carlsen di platform X pada 10 Julai, ChatGPT tewas setelah kehilangan semua bidak (pawn) dan akhirnya menyerah diri.

“Saya kadang-kadang rasa bosan semasa dalam perjalanan,” tulis Carlsen pada kapsyen hantaran tersebut.

ChatGPT pula memberikan reaksi, “Permainan itu sangat kemas, bersih, dan tajam. Tahniah, permainan yang hebat!”

Carlsen membalas dengan mengatakan bahawa AI itu bermain dengan baik pada permulaan permainan, namun “gagal mengekalkannya dengan betul.”

Beliau turut meminta maklum balas daripada ChatGPT mengenai prestasinya.

“You menunjukkan beberapa kelebihan yang kuat,” jawab ChatGPT.

Ia memuji gaya permainan Carlsen dari segi pembukaan, kesabaran, ketajaman taktikal, dan kemahiran akhir permainan (endgame).

ChatGPT menganggarkan kekuatan permainan Carlsen sekitar 1800–2000 FIDE atau USCF, tetapi turut mengakui ia mungkin lebih tinggi.

Foto : The Indian Express

Penjelasan Tentang Sistem Rating FIDE dan USCF

Untuk makluman, rating FIDE dan USCF digunakan untuk menilai tahap kemahiran pemain catur berdasarkan prestasi mereka dalam kejohanan rasmi.

Sistem ini mengambil kira keputusan perlawanan serta tahap rating lawan. Kemenangan ke atas pemain bertaraf tinggi akan memberi kesan lebih besar kepada peningkatan rating.

FIDE (Persekutuan Catur Antarabangsa) menguruskan rating di peringkat global, manakala USCF (Persekutuan Catur Amerika Syarikat) untuk peringkat AS.

Rating sebenar Carlsen ialah 2839 FIDE, menjadikannya pemain catur nombor satu dunia.

Magnus Carlsen Pemain Catur Terbaik Dunia

Carlsen secara meluas dianggap sebagai pemain catur terbaik dalam sejarah.

Lelaki berusia 34 tahun itu telah menjuarai Kejohanan Catur Dunia sebanyak lima kali, dengan kemenangan terakhir pada tahun 2021.

Namun, beliau tidak lagi bertanding selepas itu kerana menyatakan bahawa beliau “tidak lagi berminat untuk bermain.”

Kira-kira seminggu selepas kemenangan ke atas ChatGPT, Carlsen tewas dalam Freestyle Chess Grand Slam Tour di Las Vegas kepada grandmaster remaja India, Rameshbabu Praggnanandhaa.

BACA LAGI : Berehat dari Media Sosial, Meerqeen Akui Mahu Mulakan Hidup Baru

Foto : New York Magazine

Kontroversi Pakaian Dalam Kejohanan

Baru-baru ini, Carlsen turut mencetuskan kontroversi selepas didenda $200 kerana memakai seluar jeans semasa Kejohanan World Rapid dan World Blitz pada Disember.

FIDE meminta beliau menukar pakaian mengikut kod etika rasmi atau berisiko disingkirkan daripada pertandingan namun Carlsen memilih untuk menarik diri.

Dalam temu bual bersama The Athletic, Carlsen menjelaskan bahawa beliau terlupa menukar pakaian selepas menghadiri satu mesyuarat sebelum perlawanan.

“Saya pakai kemeja dan jaket yang kemas, dan bila mereka beritahu saya tak patut pakai jeans, saya hanya fikir, ‘Maaf, saya memang lupa nak tukar.’ Mereka mahu pemain kelihatan kemas di kejohanan itu, walaupun ia disertai lebih 200 pemain daripada pelbagai latar belakang kewangan. Saya rasa pakaian saya sudah cukup kemas. Untuk lucutkan kelayakan hanya kerana itu memang tidak masuk akal,” katanya.

Dengan kemenangan ke atas ChatGPT, Magnus Carlsen sekali lagi membuktikan dominasinya bukan sahaja di papan catur sebenar tetapi juga dalam dunia digital, menunjukkan bahawa kemahiran manusia masih sukar ditandingi oleh kecerdasan buatan sepenuhnya.

Sumber : Time Magazine

Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

 

Published by
Darwisy Farain