Automotif

MINI Aceman Serba Elektrik Dilancarkan Di Malaysia, Crossover Kompak Dengan Karakter Berani

Share

MINI Malaysia memperkenalkan MINI Aceman serba elektrik, sebuah model crossover kompak lima pintu yang mengisi ruang di antara MINI Cooper dan MINI Countryman.

Direka khusus untuk mereka yang mahukan gabungan karakter unik MINI, praktikaliti harian dan teknologi elektrik moden, Aceman tampil sebagai model yang membuka segmen tersendiri dalam keluarga MINI.

Dalam dunia automotif yang semakin dipenuhi SUV dan crossover elektrik, MINI Aceman cuba menawarkan sesuatu yang berbeza. Ia bukan sekadar sebuah EV bandar biasa, tetapi sebuah model yang masih mengekalkan DNA pemanduan menyeronokkan yang menjadi identiti jenama MINI sejak sekian lama.

Rekaan Baharu Masih Kekal Sebagai MINI

Sekali pandang, MINI Aceman jelas menampilkan identiti tersendiri menerusi bahasa rekaan “Charismatic Simplicity” yang kini menjadi hala tuju baharu MINI.

Gril hadapan berbentuk oktagon, lampu LED ekspresif serta bentuk badan crossover yang kompak memberikan penampilan lebih moden tanpa menghilangkan karakter klasik MINI.

Bahagian sisi pula diserlahkan dengan lengkungan roda yang lebih berotot, rel bumbung dan rim aloi 19 inci rekaan “Hexagram Spoke” yang memberikan imej lebih sporty dan lasak.

Di bahagian belakang, lampu LED menegak dengan tiga pilihan grafik pencahayaan membantu menghasilkan identiti visual yang lebih unik dan mudah dikenali.

MINI turut memberi perhatian kepada aspek kelestarian dengan penggunaan tekstil kitar semula, kemasan kulit vegan serta papan pemuka rajutan 3D yang memberikan suasana premium dan moden dalam kabin.

Kabin Digital Dengan Sentuhan Unik MINI

Masuk ke ruang dalaman, perkara pertama yang mencuri perhatian ialah paparan OLED bulat bersaiz 9.4 inci yang menjadi pusat kawalan utama kenderaan. Ia bukan sahaja mengendalikan sistem infotainmen, malah memaparkan maklumat pemanduan penting dalam gaya visual yang cukup unik.

MINI Aceman turut menggunakan MINI Operating System 9 yang direka menyerupai penggunaan telefon pintar, menjadikan navigasi menu lebih mudah dan intuitif.

Menariknya, terdapat tujuh MINI Experience Modes yang membolehkan suasana kabin berubah mengikut mood pemandu menerusi kombinasi grafik, bunyi dan pencahayaan ambien yang dipancarkan pada papan pemuka.

Integrasi bersama aplikasi MINI pula membolehkan pemilik memantau status kenderaan, mengurus pengecasan, mengaktifkan penyaman udara sebelum perjalanan serta mengunci dan membuka kenderaan dari jauh.

Prestasi Elektrik Dengan Jiwa Go-Kart MINI

Di sebalik penampilannya yang kompak, MINI Aceman dibekalkan motor elektrik yang menghasilkan 218hp dan 330Nm tork.

Kuasa tersebut membolehkan Aceman memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa hanya 7.1 saat, angka yang cukup mengagumkan untuk sebuah crossover bandar.

Kuasa disalurkan ke roda hadapan dan dipadankan dengan bateri berkapasiti 54.2kWh yang menawarkan jarak pemanduan sehingga 406 kilometer mengikut piawaian WLTP.

Seperti model MINI lain, aspek pengendalian kekal menjadi keutamaan. Pusat graviti rendah, talaan suspensi khusus serta sistem stereng responsif memastikan pengalaman pemanduan yang lincah dan menyeronokkan.

Bagi mereka yang sukakan pemanduan lebih agresif, mod GO-KART boleh diaktifkan untuk memberikan respons pedal yang lebih pantas dan karakter pemanduan yang lebih sporty.

Pengecasan Pantas Dan Teknologi Keselamatan Lengkap

MINI Aceman menyokong pengecasan pantas DC sehingga 95kW yang membolehkan bateri dicas dari 10 hingga 80 peratus dalam masa sekitar 31 minit sahaja.

Untuk kegunaan harian, pengecasan AC sehingga 11kW turut disediakan bagi memudahkan proses pengecasan di rumah atau stesen pengecas awam.

Dari aspek keselamatan dan bantuan pemanduan, Aceman hadir dengan pelbagai sistem moden termasuk Adaptive Cruise Control, Lane Keeping Assistant, Blind Spot Warning, Rear Cross Traffic Alert dan Parking Assistant automatik.

Turut disediakan ialah paparan kamera 360 darjah, fungsi Reverse Assistant serta rakaman video terbina dalam yang mampu merakam situasi sekitar kenderaan ketika diperlukan.

BACA: Indikator ‘Dashboard’ Kereta Patut Anda Tahu Maksudnya

Harga MINI Aceman Di Malaysia

MINI Malaysia menawarkan MINI Aceman pada harga bermula RM213,888 atas jalan tanpa insurans dan termasuk SST.

Bagi pelanggan yang mahukan perlindungan tambahan, model ini turut ditawarkan bersama Pakej Waranti dan Servis Lanjutan pada harga RM221,288.

Melalui pelan pembiayaan Easy Drive oleh BMW Group Financial Services Malaysia, MINI Aceman boleh dimiliki dengan ansuran bermula sekitar RM1,680 sebulan berdasarkan syarat pembiayaan yang ditetapkan.

Dengan gabungan rekaan berani, teknologi digital terkini dan pengalaman pemanduan yang menyeronokkan, MINI Aceman hadir sebagai pilihan menarik bagi mereka yang mencari sebuah EV premium yang tampil berbeza daripada kebiasaan.

Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

Published by
Farizul Izwany Ibrahim