
Bila sebut tentang kecergasan ekstrem, tak ramai lelaki sanggup cabar diri melawan 2,845 anak tangga secara berterusan. Tapi itu bukan halangan bagi Soh Wai Ching, jaguh larian menara negara.
Dia bakal kembali mencabar had fizikal dan mentalnya menerusi larian menara dalam acara sulung The Sky Race di Menara Merdeka 118 pada 30 Ogos ini.
Atlet berusia 30 tahun itu memasang impian untuk menamatkan cabaran dalam masa bawah 16 minit. Bahkan dia menganggap struktur unik bangunan pencakar langit tertinggi Malaysia ini sebagai medan ujian paling ekstrim yang pernah dihadapinya.
“Tangga Menara Merdeka 118 bukan macam biasa, agak pelik. Saya tak nak kongsi banyak sebab biarlah ada kejutan untuk peserta lain.
“Bagaimanapun, apa saya boleh beritahu, ini satu daripada tangga paling mencabar yang saya pernah panjat,” memetik kata Wai Ching dalam satu temu bual bersama BERNAMA selepas majlis pelancaran rasmi perlumbaan di Stadium Merdeka semalam.

Sebagai atlet tempatan, Wai Ching melihat kelebihan beraksi di tanah sendiri sebagai satu faktor yang memberinya kelebihan psikologi dan teknikal.
BUKAN SEKADAR OTOT
Beberapa sesi latihan terdahulu di menara ikonik itu turut memberinya gambaran awal terhadap cabaran sebenar yang bakal menanti.
Namun yang menariknya, bagi seorang pakar dalam daya tahan dan strategi tubuh, Wai Ching tahu bahawa larian menara bukan sekadar tentang otot. Ia tentang teknik, ritma pernafasan, pacing dan kecekalan mental yang sukar diajar.
Selepas menakluk Menara Merdeka 118, fokus seterusnya adalah Shanghai Tower di China pada bulan November.

Menara itu yang merupakan bangunan ketiga tertinggi di dunia bakal menjadi pentas perebutan takhta nombor satu dunia antara Wai Ching dan musuh ketatnya dari Jepun, Ryoji Watanabe.
Dalam pada itu, Pengarah perlumbaan, Jeffrey Ross mengesahkan penyertaan sebanyak 4,100 peserta dari 31 negara, dengan sasaran mencecah 5,000 pelari sebelum tarikh tutup pendaftaran.
BACA: Wanita Lebih Mudah Jatuh Cinta Kepada Lelaki Tegas Secara Tidak Sedar
“Hampir 80 peratus peserta adalah dari Malaysia, manakala 20 peratus lagi pelbagai negara. Saya juga boleh mengesahkan sebahagian daripada 20 pelari menara terbaik dunia turut mengambil bahagian.
“Ini bukan perlumbaan semata-mata, tetapi juga pengalaman luar biasa yang menjanjikan pemandangan panorama Kuala Lumpur paling menakjubkan,” jelas Ross.

The Sky Race bukan sahaja acara sukan, tetapi lambang bagaimana semangat, ketahanan dan kesungguhan seorang lelaki boleh mendorongnya untuk memanjat literal dan metafora ‘tangga kejayaan’. Dan Soh Wai Ching kini sedang mendaki satu lagi anak tangga ke arah takhta dunia.
Sumber: BERNAMA
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang


















