
Dalam bola sepak, ada pemain hebat. Ada juga legenda. Dan kemudian, ada nama seperti Mohamed Salah di Liverpool yang berada di antara dua dunia tersebut. Salah merupakan seorang ikon yang bukan sahaja mengubah peta dunia bola sepak, tetapi turut membentuk identiti sebuah kelab dari Merseyside tersebut.
Kini, saat itu semakin hampir. Perpisahan antara Salah dan Liverpool bukan lagi spekulasi, tetapi realiti yang perlahan lahan sedang terungkap. Hari ini, Salah sendiri mengsahkan bahawa musim 2025/26 akan menjadi musim terkahirnya bersama Juara Premier League musim lalu.
Seperti sebuah bab terakhir dalam kisah epik, ia bukan sekadar tentang pengakhiran, tetapi tentang legasi yang ditinggalkan.

Perjalanan Gemilang Mohamed Salah Liverpool
Sejak menyarung jersi Liverpool pada tahun 2017, Salah telah membuat lebih daripada 400 penampilan dan menjaringkan ratusan gol untuk kelab. Dengan 255 jaringan setakat ini, beliau berada dalam kelompok elit penjaring terbanyak sepanjang sejarah Liverpool, hanya di belakang legenda seperti Ian Rush dan Roger Hunt.
Namun angka semata mata tidak mampu menggambarkan impak sebenar Salah. Beliau adalah nadi kepada era kebangkitan Liverpool moden.

Daripada gelaran Liga Juara Juara Eropah hingga kejuaraan Liga Perdana Inggeris, Salah telah memenangi hampir segala yang boleh dimenangi bersama Liverpool.
Dalam masa yang sama, pencapaian individunya juga luar biasa. Empat kali memenangi Kasut Emas Liga Perdana dan tiga kali dinobatkan sebagai Pemain Terbaik PFA, beliau bukan sekadar konsisten, tetapi dominan dalam era yang penuh persaingan.
Sejak ketibaannya, tiada pemain yang mencatatkan lebih banyak gol atau bantuan jaringan dalam Liga Perdana. Itu sahaja sudah cukup untuk meletakkan namanya dalam kategori legenda.
Perubahan Peranan dan Cabaran Musim Terkini
Namun seperti kebanyakan kisah hebat, pengakhirannya tidak semudah yang disangka. Kurang setahun lalu, Salah masih dilihat sebagai figura utama Liverpool.
Kontrak baharu yang dilanjutkan sehingga 2027 memberi bayangan bahawa beliau akan terus menjadi tunjang pasukan.
Lihat siaran ini di Instagram
Tetapi musim ini membawa perubahan yang tidak dijangka. Di bawah kendalian Arne Slot, peranan Salah mula berubah.
Bermula dengan keputusan mengejutkan apabila beliau diletakkan di bangku simpanan dalam aksi Liga Juara Juara, ia menjadi titik permulaan kepada ketegangan yang akhirnya membuka jalan kepada perpisahan ini.
Bagi seorang pemain yang telah memberikan segalanya kepada kelab, kepercayaan adalah segalanya. Dan apabila keyakinan itu mula goyah, hubungan antara pemain dan kelab juga turut terjejas.
Perpisahan Yang Sarat Emosi
Keputusan untuk berpisah, walaupun sukar, dilihat sebagai langkah yang memberi ruang kepada kedua-dua pihak untuk bergerak ke hadapan.
Menariknya, pengumuman perpisahan ini dilakukan lebih awal atas permintaan Salah sendiri. Ia adalah satu tindakan yang mencerminkan rasa hormatnya kepada penyokong Liverpool, membolehkan mereka mengucapkan selamat tinggal dengan cara yang sepatutnya.

Dalam kenyataannya, Salah mengakui bahawa beliau tidak pernah menyangka Liverpool, bandar ini dan para penyokongnya akan menjadi sebahagian besar dalam hidupnya.
Itulah yang menjadikan perpisahan ini lebih daripada sekadar perpindahan pemain. Ia adalah perpisahan antara seorang ikon dan sebuah komuniti yang telah membentuk sebahagian daripada identitinya.
Legasi Mohamed Salah Liverpool Akan Terus Hidup
Bagi penyokong Liverpool, detik detik terakhir ini akan menjadi peluang untuk meraikan seorang pemain yang telah memberikan segalanya. Setiap gol, setiap sujud selepas jaringan, setiap detik magis di Anfield akan terus diingati.

Apa sahaja destinasi seterusnya, satu perkara pasti. Mohamed Salah Liverpool akan dikenang sebagai antara pemain terhebat yang pernah menyarung jersi kelab ini.
Dan seperti mana beliau pernah katakan pada hari pertama menyertai kelab, beliau mahu memberikan segalanya dan memenangi sesuatu.
BACA: Tip Latihan Ketika Ramadan Atlet Garmin Untuk Kekal Aktif
Hakikatnya, beliau telah melakukan jauh lebih daripada itu. Legasi yang ditinggalkan bukan sahaja tentang trofi atau statistik, tetapi tentang bagaimana seorang pemain mampu mengubah sejarah dan jiwa sebuah kelab bola sepak.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang




