Automotif

Pemandu Lori Terima RM10,000 Selepas Selamatkan Bas Hilang Kawalan Di Terowong Menora

Share

Tindakan pantas seorang pemandu lori yang sanggup mempertaruhkan keselamatannya demi mengelakkan tragedi lebih besar di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Terowong Menora minggu lalu akhirnya mendapat penghargaan sewajarnya.

Wong Tuck Meng menerima sumbangan khas sebanyak RM10,000 berserta sijil penghargaan daripada Majlis Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MKJR) atas keberaniannya membantu menghentikan sebuah bas yang hilang kawalan ketika membawa 21 penumpang.

Majlis penyampaian penghargaan itu disempurnakan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, di bangunan Parlimen selepas tindakan luar biasa Wong menjadi perhatian meluas di media dan media sosial.

Elak Tragedi Lebih Besar

Anthony Loke berkata tindakan Wong pada 15 Jun lalu berjaya mengelakkan kemungkinan berlakunya kemalangan ngeri di laluan menghala ke Ipoh.

Menurut beliau, keberanian pemandu lori berkenaan bukan sahaja menyelamatkan penumpang bas, malah berpotensi mengelakkan kemalangan membabitkan lebih banyak kenderaan di lebuh raya berkenaan.

“Keberanian Wong telah dikongsikan secara meluas di media dan media sosial sehingga mendorong kementerian menjemput beliau hadir ke Dewan Rakyat.

“Terdahulu hari ini ketika membentangkan pindaan Akta Pengangkutan Jalan, saya turut merakamkan penghargaan terhadap keberanian Wong serta tindakannya yang berjaya menyelamatkan nyawa dalam Hansard Parlimen.

“Sebagai Pengerusi Majlis Keselamatan Jalan Raya Malaysia, saya menyampaikan surat penghargaan serta sumbangan RM10,000 sebagai menghargai keberanian beliau,” katanya.

Kekal Berwaspada Ketika Memandu

Menurut Anthony, kisah Wong wajar dijadikan contoh kepada semua pengguna jalan raya, khususnya pemandu lori dan pemandu profesional, mengenai kepentingan sentiasa peka dan berwaspada ketika memandu.

Beliau berkata, ketika berbual dengan Wong, pemandu lori itu memaklumkan bahawa dia sentiasa memastikan dirinya berada dalam keadaan cergas sebelum meneruskan perjalanan.

“Saya sempat bercakap dengannya tadi dan beliau memberitahu bahawa dia sentiasa berwaspada. Sebagai pemandu, dia akan berhenti dan berehat setiap kali berasa letih.

“Disebabkan dia sentiasa peka, dia berjaya mengawal kenderaannya serta bertindak dengan tenang. Ini merupakan pengajaran penting kepada semua pemandu.

“Kisah seperti ini perlu dikongsikan secara meluas dan sebab itulah kita memberi penghargaan supaya lebih ramai pengguna jalan raya sentiasa mengutamakan aspek keselamatan,” katanya lagi.

Bertindak Dalam Beberapa Saat

Insiden yang tular itu berlaku apabila sebuah bas dipandu Ahmad Yasin Ab Malek dilaporkan hilang kawalan ketika menuruni kawasan berhampiran Terowong Menora.

Dalam keadaan cemas itu, Wong membuat keputusan berani dengan menghalakan lori yang dipandunya supaya bahagian belakang kenderaan berat tersebut menjadi penghadang kepada bas yang sedang meluncur laju.

Tindakannya sebagai pemandu lori berjaya memperlahankan bas berkenaan sekali gus mengelakkan kemungkinan ia merempuh deretan kenderaan lain di hadapan.

Mengimbau detik tersebut, Wong berkata segala keputusan dibuat dalam beberapa saat sahaja demi mengelakkan kehilangan nyawa.

“Apabila berada dalam situasi seperti itu, apa yang bermain dalam fikiran saya ialah kemalangan yang meragut nyawa mesti dielakkan.

“Bas itu masih agak jauh, jadi saya sempat membunyikan hon supaya kenderaan di hadapan mempunyai masa untuk beralih dan menyelamatkan diri,” katanya.

Pemandu Bas Kekal Tenang

Sementara itu, pemandu bas, Ahmad Yasin Ab Malek mengakui dirinya cemas apabila menyedari bas yang dipandunya hilang kawalan.

Namun beliau cuba mengekalkan ketenangan bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih buruk.

“Walaupun saya berasa cemas kerana tidak dapat mengelakkan situasi itu, saya cuba bertenang dan mencari laluan yang mempunyai ruang mencukupi di antara kenderaan di hadapan.

“Saya mengubah haluan ke lorong kanan dan melihat lori di hadapan sebagai pilihan paling selamat ketika itu,” jelas pemandu lori ini lagi.

BACA: Ronaldo Tutup Mulut Pengkritik, Kini Jadi Pemain Pertama Jaringkan Gol Di Enam Edisi Piala Dunia

Terima Penghargaan Di Parlimen

Selain menerima penghargaan daripada Kementerian Pengangkutan dan Majlis Keselamatan Jalan Raya Malaysia, keberanian Wong turut mendapat pengiktirafan daripada Ahli-Ahli Parlimen.

Penghargaan tersebut disampaikan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Dr. Ramli Mohd Nor sejurus selepas Anthony Loke membentangkan bacaan kali kedua Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026.

Tindakan pemandu lori ini disifatkan sebagai contoh terbaik keberanian, kecekapan serta sikap mementingkan keselamatan pengguna jalan raya lain.

Di sebalik risiko besar yang terpaksa ditanggung terhadap dirinya sendiri, keputusan yang dibuat dalam hanya beberapa saat itu akhirnya berjaya mengelakkan satu tragedi yang mungkin mengorbankan banyak nyawa.

Keberanian seperti inilah yang membuktikan bahawa di jalan raya, sikap tenang, sentiasa berwaspada dan mengutamakan keselamatan mampu menjadi perbezaan antara satu insiden dan satu tragedi.

Sumber: BERNAMA

Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

Published by
Farizul Izwany Ibrahim