
Pelakon muda, Marc Syahmie mengakui berdepan pengalaman paling mencabar sepanjang karier lakonannya apabila perlu menjalani penggambaran dalam peti mayat sebenar untuk drama ‘Bila Cinta Menjadi Dosa’.
Ketika di temu bual MASKULIN, Marc Syahmie berkongsi bagaimana watak dibawanya sebagai Amar, dia pada awalnya terkejut apabila dimaklumkan pihak produksi menggunakan peti mayat sebenar milik hospital dan bukannya prop khas untuk penggambaran.
“Bila mula-mula dapat tahu ada babak dalam peti mayat, saya memang berdebar. Tambah saya diberitahu, sehari sebelum penggambaran peti mayat itu memang ada digunakan untuk mayat sebenar.
“Saya bukan takut sebab ia peti mayat, tetapi kelemahan saya dari kecil memang takut tempat sempit dan gelap. Keadaan itu akan menyebabkan saya sesak nafas secara tiba-tiba,” jelas pelakon yang dahulu pernah berdepan cabaran kanser testicular.
Dimasukkan Dalam Beg Mayat & Pintu Ditutup
Apa yang lebih mencabar, Marc Syahmie bukan sekadar perlu berbaring di dalam peti mayat, malah turut dimasukkan ke dalam beg plastik mayat berwarna putih sebelum zip ditutup sepenuhnya.

“Keadaan memang sangat mengerunkan untuk saya. Saya dimasukkan dalam beg plastik mayat warna putih, kena zip, kemudian diletakkan dalam peti mayat dan pintu ditutup.
“Bayangkan beberapa minit saya duduk seorang diri dalam keadaan sejuk, sempit dan gelap. Masa itu saya betul-betul rasa seperti mayat,” ujarnya.
Menurut pelakon berusia 26 tahun itu, pengalaman tersebut benar-benar menguji mental dan emosinya sepanjang penggambaran berlangsung.
Lawan Ketakutan Demi Lakonan
Walaupun mengakui takut, Marc Syahmie berkata dia cuba melawan fobia yang dipendam sejak kecil demi memberikan komitmen terbaik terhadap watak yang dibawa.
“Saya kena kawal pernafasan dan tenangkan diri. Ingatkan babak itu mudah, tapi sebenarnya perlukan keberanian dan kekuatan mental juga.
“Alhamdulillah saya berjaya lakukan. Ini pengalaman baru untuk saya sebagai pelakon dan bukan semua orang dapat rasa pengalaman seperti ini,” katanya lagi.
Malah menurutnya, babak tersebut turut memberi kesan mendalam terhadap dirinya sebagai manusia.

Buatkan Dirinya Lebih Insaf
Marc Syahmie mengakui sepanjang berada di dalam peti mayat, dia banyak berzikir dan berselawat kerana suasana ketika itu terasa terlalu real.
“Sejujurnya banyak saya belajar dan insaf. Masa berlakon jadi mayat itu, terdetik juga dalam hati, kalau suatu hari nanti saya sudah tiada, mungkin beginilah keadaannya.
“Dalam peti itu saya banyak berselawat dan berzikir. Situasi memang sangat real. Bila saya dikeluarkan dan dengar pelakon lain menangis, walaupun mata terpejam saya boleh rasa suasana itu macam betul-betul berlaku meski sekadar lakonan,” katanya.

Terpaksa Ulang Banyak Kali
Apa yang ramai mungkin tidak tahu, babak tersebut bukan dirakam sekali sahaja.
Sebaliknya, Marc Syahmie perlu keluar masuk peti mayat berulang kali demi mendapatkan shot terbaik untuk drama berkenaan.
“Bukan sekali ya, banyak kali juga saya keluar masuk dalam itu. Tapi saya bersyukur sebab akhirnya dapat atasi ketakutan yang saya ada sejak kecil,” jelasnya.
Tiada Gangguan Pelik
Ditanya sama ada berdepan sebarang gangguan mistik atau ‘badi’ selepas penggambaran, Syahmie berkata semuanya berjalan lancar.
“Setakat ini tiada apa-apa berlaku. Cuma pihak produksi ada nasihatkan saya mandi dan bersihkan diri untuk elak benda tidak baik ikut, tapi semua okay,” jelas March Syahmie lagi.
BACA: Kecederaan Kepala Selepas Kemalangan Boleh Jadi Bahaya Senyap, Ini Simptom Yang Ramai Abaikan
Drama Bakal Tamat Malam Ini
Dalam drama ‘Bila Cinta Menjadi Dosa’, Marc Syahmie bergandingan bersama aktres senior Che Puan Sarimah Ibrahim yang membawakan watak ibunya.
Drama 30 episod yang bersiaran menerusi slot Lestary TV3 itu bakal melabuhkan tirainya malam ini.
Selain Syahmie dan Sarimah, drama tersebut turut dibintangi Zamarul Hisham, Jasmin Hamid, Siti Elizad, Alya Iman, Zairi Aziz, Nelissa Nizam dan Maria Farida.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang




