
Foto: BERNAMA
Warga kota dinasihatkan bersiap sedia menghadapi penutupan jalan Kuala Lumpur secara berperingkat di beberapa laluan bersempena penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang akan berlangsung dari 26 hingga 28 Oktober ini.
Acara diplomatik berprestij itu dijangka menarik penyertaan pemimpin dan delegasi dari seluruh rantau, sekali gus menyebabkan peningkatan trafik di sekitar pusat bandar.
Menurut Pusat Info Trafik dan Kawalan Lampu Isyarat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), penutupan jalan Kuala Lumpur akan dilaksanakan secara berkala di kawasan berhampiran Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bagi memberi laluan kepada pergerakan delegasi rasmi dan urusan keselamatan sepanjang sidang tersebut.
Kawasan terlibat termasuk beberapa jalan utama yang menjadi nadi perhubungan di pusat bandar.
Antara laluan terjejas ialah Jalan Ampang, Jalan P. Ramlee, Jalan Yap Kwan Seng, Jalan Pinang, Jalan Tun Razak (sekitar KLCC), Jalan Kia Peng, serta sebahagian Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH).
Menurut kenyataan DBKL, penutupan jalan Kuala Lumpur akan dijalankan mengikut jadual dan keperluan trafik semasa, dengan tumpuan utama kepada masa pergerakan konvoi rasmi dan acara utama persidangan.
“Penutupan akan dijalankan secara berperingkat mengikut jadual dan keperluan trafik, terutamanya melibatkan pergerakan delegasi dan acara rasmi sidang tersebut,” menurut kenyataan itu.
DBKL turut memberi jaminan bahawa pihaknya akan menempatkan anggota penguat kuasa dan pegawai trafik bagi membantu melancarkan pergerakan kenderaan serta memastikan keselamatan pengguna jalan raya terjamin sepanjang tempoh berkenaan.
Pengguna jalan raya diingatkan supaya merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan kesesakan, terutamanya mereka yang perlu melalui kawasan segitiga emas Kuala Lumpur.
DBKL menasihatkan supaya orang ramai menggunakan laluan alternatif seperti Jalan Tun Sambanthan, Jalan Sultan Ismail, Jalan Raja Chulan serta Jalan Kuching bagi mengelakkan kawasan yang terjejas.
Selain itu, warga kota digalakkan menggunakan pengangkutan awam seperti MRT, LRT dan monorel, memandangkan stesen-stesen utama masih beroperasi seperti biasa dan terletak berhampiran lokasi tumpuan.
“Pengguna jalan raya dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal, menggunakan laluan alternatif serta mematuhi arahan anggota penguat kuasa yang bertugas sepanjang tempoh berkenaan,” menurut kenyataan DBKL lagi.
BACA: Perodua P-Circle Super App Tampil Dengan Ciri Mobiliti Menyeluruh
Orang ramai boleh mendapatkan kemas kini terkini mengenai situasi trafik dan penutupan jalan Kuala Lumpur melalui saluran rasmi DBKL serta media sosial KLCCC (Kuala Lumpur Command and Control Centre).
Pihak berkuasa juga dijangka mengeluarkan maklumat tambahan sekiranya terdapat perubahan jadual atau penutupan baharu menjelang tarikh persidangan.
Untuk memastikan perjalanan anda lancar sepanjang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, rancang perjalanan lebih awal dan semak maklumat trafik sebelum keluar dari rumah.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.