
Dalam industri automotif tempatan, nama PROTON Saga ibarat legenda. Ia menjadi simbol kemajuan teknologi automotif negara sejak diperkenalkan hampir empat dekad lalu.
Kini, legenda itu dilahirkan semula dengan wajah baharu. PROTON Saga Serba Baharu, merupakan hasil kejuruteraan 100 peratus tempatan yang membuktikan kemampuan anak Malaysia bersaing di pentas global.
Baru-baru ini, PROTON menganjurkan sesi pra-tonton eksklusif untuk media di Tanjong Malim, memperkenalkan model generasi baharu ini sebelum pelancaran rasminya.
PROTON Saga Serba Baharu ini dibangunkan sepenuhnya oleh bakat tempatan di pusat Penyelidikan dan Pembangunan PROTON, disokong dengan kepakaran teknikal daripada Geely.
Hasilnya ialah sebuah sedan moden yang dibina atas platform Advanced Modular Architecture (AMA), seni bina fleksibel dan pintar untuk memenuhi piawaian keselamatan, prestasi dan emisi antarabangsa.
Menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Zhang Qiang, “PROTON Saga Serba Baharu ini mewakili lebih daripada fasa seterusnya dalam legasi sedan kita.
“Ia adalah kemuncak pembangunan selama bertahun-tahun oleh jurutera dan pereka Malaysia, disokong oleh kerjasama global. Detik ini menandakan transformasi PROTON daripada pengeluar kereta nasional kepada inovator automotif global yang dibangunkan oleh bakat tempatan.”
Mengusung tagline “Intelligence That Thrills”, PROTON Saga Serba Baharu menawarkan 35 ciri baharu yang menetapkan penanda aras segmen sedan A tempatan. Ia menggabungkan gaya, kepintaran dan keyakinan pemanduan yang seimbang dengan fokus kepada kecekapan, keselamatan dan keselesaan.
Dikuasakan oleh enjin 1.5-liter i-GT bersama transmisi CVT, PROTON Saga Serba Baharu menawarkan pemanduan lebih lancar dan efisien dengan penggunaan bahan api serendah 4.9L/100km. Sistem Electric Power Steering (EPS) baharu turut meningkatkan kawalan dan kelincahan tanpa menjejaskan keselesaan.
Ciri keselamatan kini dipertingkat dengan Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) Tahap 1 yang menampilkan sembilan fungsi keselamatan pintar termasuk Autonomous Emergency Braking (AEB), Lane Departure Warning (LDW), Rear Cross Traffic Alert (RCTA) dan Intelligent High Beam Control (IHBC).
Struktur badan PROTON Reinforced Safety Structure (RESS) dengan komponen Hot Press Forming (HPF) memastikan tahap kekakuan dan perlindungan terbaik dalam kelasnya.
Bahagian luaran menampilkan bahasa reka bentuk generasi baharu PROTON dengan lampu utama LED projektor penuh, bar lampu belakang LED dan gril bermotifkan sulaman songket, menyerlahkan identiti tempatan dalam gaya kontemporari. Rim aloi dua tona bersaiz 15 inci menambahkan gaya dinamik pada sedan ini.
Bahagian kabin pula direka lebih moden dan intuitif dengan dwi-skrin bersepadu 16 inci yang menggabungkan paparan meter digital dan sistem infotainmen dalam satu reka bentuk.
Ia kini menyokong Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, selain dilengkapi fungsi pintar seperti lampu automatik, pencahayaan Follow-Me-Home dan pelarasan lampu utama.
PROTON Saga Serba Baharu bukan sekadar pembaharuan kosmetik tetapi simbol kematangan kejuruteraan PROTON.
Dengan pemilikan penuh terhadap Hak Harta Intelek (IPR) bagi platform AMA, PROTON kini berada pada kedudukan kukuh untuk menjadi hab pembangunan kejuruteraan serantau dalam ekosistem Geely.
BACA: Personaliti Lelaki Berdasarkan Jam Tangan, Gaya, Kuasa & Karisma Anda!
Zhang menambah, “Model ini menunjukkan sejauh mana PROTON telah melangkah ke hadapan bermula daripada pengeluar kereta nasional kepada jenama global berwawasan.
“Ia merupakan kereta yang dihasilkan oleh rakyat Malaysia, untuk rakyat Malaysia, dan kini bersedia untuk mempamerkan keupayaan kejuruteraan negara ke seluruh dunia,” tambahnya lagi.
Dengan tagline “Intelligence That Thrills”, PROTON Saga Serba Baharu sekali lagi menegaskan misinya, bukan sekadar menghasilkan kereta, tetapi membina kebanggaan negara yang menggabungkan inovasi, teknologi dan gaya pemanduan masa depan.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.