Tidak sekadar meraih kejayaan di Majlis Tilawah Dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) Tahun 1445H/2024M, anak muda ini turut cemerlang dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 yang diumumkan baru-baru ini.
Mewakili negeri Johor, Muhammad Asyraf Amir berjaya meraih markah sebanyak 97.33 peratus bagi Kategori Hafazan Tahap 1 hingga 20 Juzuk (Lelaki) sekaligus melayakkannya sebagai johan kategori itu di MTHQK2024.
Kemenangan itu diserikan lagi dengan kecemerlangannya di bidang akademik apabila Asyraf berjaya meraih keputusan 12A dalam SPM.
Lebih menarik, Asyraf yang meraih 7A+ dan 5A itu terkenang bagaimana dia terpaksa mengejar masa apabila peperiksaan SPM bagi mata pelajaran Prinsip Perakaunan yang diambilnya dijadualkan hanya sehari selepas tarikh pertandingan hafazan di peringkat negeri tahun lalu, demikian ujarnya kepada Berita Alhijrah.
Memetik laporan Berita Tengah Hari RTM, Asyraf berkongsi bagaimana dia membahagikan masa untuk mengulangkaji pelajaran dan menghafaz Al-Quran.
Ads
“Sesuaikan ikut keutamaan. Kalau sedang peperiksaan, kita utamakan peperiksaan. Sekiranya ada masa untuk Al-Quran itu baru kita selitkan. Jangan kosonglah, selitkan sikit,” katanya ketika ditemui pemberita selepas tamat MTHQK20204 pada Selasa.
Dalam satu klip video temu bual berasingan yang dimuat naik di Instagram rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pula, Asyraf mengakui dia juga kadangkala tidak sempat melakukan murojaah (kaedah mengulang ayat Al-Quran untuk menghafal) disebabkan sibuk dengan kelas tuisyen dan sebagainya.
Bagaimanapun, Asyraf bersyukur dia masih diberikan kemampuan untuk mengimbangkan kedua-dua pelajaran dan hafazan atas bimbingan guru-gurunya.
Dalam pada itu, Asyraf menekankan kepentingan untuk mempelajari Al-Quran seawal usia
Ads
“Sebab bila kita makin besar makin banyak tanggungan, bila kita tak jaga Al-Quran itu betul-betul daripada masa kita kecil-kecil, maka bila dah besar itu dia akan jadi susah,” ujar Asyraf menerusi video itu.
Bagi kategori sama, naib johan disandang oleh wakil dari Perak, Muhammad Hakim Rusli dengan markah sebanyak 97.13 peratus manakala tempat ketiga disandang oleh wakil dari Melaka, Muhammad Abdullah Tuah dengan markah sebanyak 96.11 peratus, demikian menurut keputusan penuh yang dilaporkan Alhijrah Online.
Untuk rekod, MTHQK Tahun 1445H/2024M berlangsung selama enam hari di Auditorium Darul Makmur, Kompleks Penyiaran Sultan Hj Ahmad Shah, Kuantan, Pahang bermula pada 23 hingga 28 Mei 2024.
Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah telah disempurnakan oleh Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah wakil rasmi Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang.
Adakah anda sedar bahawa saban malam pada tepat jam 10, Malaysia setia ditemani oleh individu yang sama membacakan berita dunia? Bersama Farit Ismeth Emir, belajar dari pengalamannya sebagai sifu penyampai berita dan juga pakar etika komunikasi. Di sebalik penegasannya dalam menyampaikan berita, beliau merupakan sifu di dalam ilmu komunikasi. Cukup yakin, bersemangat dan juga mempunyai gaya penekanan tertentu pada ayat-ayat yang dirasakan penting tatkala membaca berita. Tidak hairanlah setiap penyampaiannya berkesan kepada umum.
PERNAH MENGGANGGUR KERANA KEMELESETAN NEGARA
Sinonim dengan panggilan Pak Ngah di kalangan warga kerja dan beliau merupakan anak kelahiran Teluk Intan Perak. Secara tidak sedar telah mengabadikan diri selama 27 tahun sebagai pembaca berita di Radio Televisyen Malaysia (RTM). Slot berita yang cukup sinonim dengannya tentu sahaja berita ‘Dunia Jam 10’ dan juga berita-berita terkemuka di TV1.
“Saya tidak meminati dunia penyampai berita”. Itu jawapan jujur yang diberikan oleh Pak Ngah kepada penulis. Akan tetapi jelas beliau, perasaan itu secara perlahan-lahan bertukar kepada cinta setelah beberapa kali ke udara membaca berita.
Di awal temu bual beliau sempat lagi bercerita tentang penglibatan pertamanya di dalam bidang penyampaian berita. Ternyata bidang ini hanyalah bidang tempelan untuk dirinya meneruskan hidup mencari rezeki kesan dari kemelesetan ekonomi yang berlaku pada tahun 1986.
“Saya bekerja di awal usia 21 tahun setelah menamatkan pembelajaran dalam bidang Hotel & Katering di Uitm Shah Alam yang dahulunya dikenali sebagai ITM. 12 tahun lamanya saya menjadi pegawai perhubungan media dan komunikasi di hotel antarabangsa iaitu Hilton. Merantau ke serata Asia seperti Taipei, Hong Kong dan sebagainya. Tahun 1986 negara dan serantau Asia dilanda kemelesetan ekonomi sehingga menyebabkan saya menganggur selama lima hingga enam bulan tidak bekerja.
Satu hari di dalam sebuah akhbar terdapat iklan RTM yang membuka pengambilan baru pekerja. Saya masih ingat bilangan pekerja yang diperlukan iaitu seramai 556 orang. Rakan menyuruh saya mencuba nasib kerana mereka kata saya memiliki suara yang sedap. Saya datang sekadar untuk mencuba dan terus terpilih serta diberi latihan selama dua bulan. Selesai sahaja latihan saya terus diserap sebagai pembaca berita.
Waktu mula-mula baca berita saya seperti orang lain juga. Gugup dan berpeluh-peluh. Bila buat salah kena marah dengan orang atasan. Jadi bila dah kerap membaca berita, saya mula menyukai pekerjaan ini dan sudah tidak kekok di hadapan kamera. Dalam masa yang sama juga jenama Dunhill mencari suara baru untuk iklan mereka. Saya mencuba nasib dan saya terpilih untuk menjadi suara di sebalik iklan itu. Dari situ lahirnya tagline ‘Gaya, Mutu, Keunggulan’ yang popular dan sering menjadi ajukan ramai. Saya kira hingga kini masih lagi digunakan. Ketika itu jugalah saya digelar sebagai ‘Man with the golden voice’.
Berita Dunia Jam 10 pula diwujudkan pada tahun 1987. Saya telah diganding bersama Harjit Singh Hullon juga Hajah Haslinda Hamzah untuk menjadi pembaca berita rancangan tersebut. Sejak dari itu saya dikekalkan dengan berita tersebut sehinggalah sekarang di mana nama rancangan itu telah ditukar kepada Berita Dunia. Dari situ juga saya membaca untuk Berita Perdana dan juga Berita Wilayah” jelas beliau membuka pengenalan bagaimana penglibatannya sebagai penyampai berita di kaca televisyen anda.
ISLAM MENGAJARNYA AGAR BERDISPLIN
Tugas sebagai penyampai berita bukan sahaja semudah membaca skrip tetapi memerlukan pengetahuan ilmu yang luas. Menjadi orang kepercayaan dalam menyampaikan hal-hal penting negara dan dunia sebenarnya seakan tugasan berat yang perlu dipikulnya. Ditanya apakah senjata utama beliau mampu bertahan sebagai pembaca berita sehingga ke saat ini? Jawabnya segalanya bermula dengan disiplin.
“Disiplin. Itu adalah kunci utama pada sesiapa sahaja untuk berjaya. Selalunya pihak pengurusan telah menetapkan setiap pembaca berita harus bersedia dua jam lebih awal dari waktu berita. Akan tetapi saya mengambil inisiatif sendiri untuk bersedia empat jam lebih awal. Dalam tempoh itu saya akan membaca skrip berita dan juga akhbar-akhbar dalam dan luar dunia bagi mengkaji berita tersebut dengan mendalam. Secara tidak langsung saya perlu peka apa yang sedang terjadi kepada negara dan dunia kerana ia mempengaruhi cara penyampaian berita nanti.
Di dalam ajaran Islam juga telah mengajar saya jua pengikutnya betapa penting disiplin dalam urusan seharian. Kerana itu dalam waktu solat, kita semua digalakkan bersedia awal dan mendapatkan saf yang pertama bagi mendapatkan pahala dengan lebih banyak. Semua pesanan Islam itu merujuk kepada disiplin. Kerana itu Islam cukup indah dan sempurna.
Perkara yang kedua pula adalah nada penyampaian. Haruslah konsisten dan setiap kata-kata itu mempunyai nada motivasi. Kerana itu pentingnya istilah ‘love your job’. Penonton akan muak sekiranya cara penyampaian saya hambar dan juga senada sahaja. Apabila membaca berita harus ada kelainan pada setiap pengumuman tersebut mengikut berita. Tidak boleh stress sahaja. Kerana itu perlu bijak menggunakan suara.”
Kebiasaannya waktu berita agak lama iaitu selama setengah jam atau lebih. Tahukah anda bahawa untuk mengekalkan prestasi penyampaian, seseorang penyampai harus mempunyai stamina yang tinggi walaupun ia sekadar duduk di atas kerusi dan membaca berita di hadapan kamera.
“Bukan mudah untuk mengekalkan nada percakapan selama lebih dari setengah jam. Boleh semput dibuatnya. Untuk kekal bertenaga saya harus mengetahui teknik-teknik suara yang betul semasa penyampaian dan juga bersenam. Saya telah dilatih menggunakan pernafasan yang betul oleh pengurusan.
Penggunaan suara pula mempunyai tiga peringkat iaitu suara kepala, suara dada dan juga suara perut. Sewaktu membaca berita, saya akan menggunakan suara perut kerana ia tidak penat dan hasilkan suara lebih jelas dan sedap. Manakala untuk senaman, saya akan pastikan bersenam tiga kali seminggu dan senaman ini tidak pernah tinggal walaupun saya sudah berusia 60 tahun sekarang ini,” tambahnya lagi.
Oleh kerana mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang komunikasi membuatkan beliau berjaya menubuhkan sebuah syarikat iaitu Corporate Coach Sdn Bhd iaitu syarikat perkhidmatan dan pembelajaran mengenai dunia komunikasi jua bisnes.
PENGALAMAN EMAS
27 tahun sebenarnya adalah tempoh yang lama bagi seorang pembaca berita. Tidak terhitung banyaknya berita yang telah disampaikan oleh beliau kepada penduduk Malaysia. Sepanjang tempoh ini juga terdapat berita-berita yang meninggalkan kesan yang mendalam terhadap diri beliau yang mana peristiwa tersebut masih lagi diingati sehingga kini.
“Terdapat tiga berita yang saya tidak akan lupa sehingga saya meninggal dunia. Pertama ialah berita kemangkatan Almarhum Tunku Abdul Rahman perdana menteri Malaysia pertama pada tahun 1990. Waktu petang tersebut saya ke udara khas menyampaikan kemangkatan selama setengah jam. Kedua adalah berita kejatuhan kerajaan komunis di Eropah dan Rusia juga dalam era 80an. Hari-hari saya baca dan tempohnya agak lama. Ketiga adalah tragedi Tiananmen di Beijing China tahun 1989 yang mana mengorbankan ribuan nyawa rakyat China.”
Jejaka berketurunan Arab ini dikira bertuah kerana diamanatkan sebagai individu yang bertanggungjawab menyampaikan berita-berita penting kepada penduduk Malaysia. Sekian lama berada di RTM beliau akui tidak pernah terfikir untuk berhijrah ke stesen televisyen yang lain walaupun ada tawaran yang lebih lumayan dari pesaing.
“Saya ini orang lama maka orang lama terkenal dengan kesetiaannya. Bak kata orang, jiwa ‘old school’. Bagi saya tanpa RTM siapalah saya. Di sini tempat bermula maka apa salahnya saya memberikan kesetiaan untuk RTM. Paling penting stesen TV lain tidak mempunyai berita ‘Dunia Jam 10’,” jawabnya bersahaja tetapi mempunyai kelucuan di situ.
Pengalamannya sungguh luas dan sudah layak dipanggil Mastermind. Walaupun sedikit sahaja coretan tentang dirinya, diharap ia dapat memberikan sumber inspirasi kepada sesiapa sahaja yang membaca. Secara peribadi penulis mengagumi kredibilitinya sebagai penyampai berita. Jauh di sudut hati pula, penulis amat berharap agar insan gigih seperti ini dikurniakan pingat atau anugerah kerana mengenang akan jasa melalui kerjaya yang telah diberikan oleh diri beliau selama ini. Walaupun sekadar pembaca berita tetapi impaknya amat besar kepada penduduk Malaysia.
Biodata:
Nama: Farit Ismeth Emir
Umur: 60 tahun
Tarikh Lahir: 26 Oktober 1953
Asal: Teluk Intan Perak
Anak sulung dari tiga beradik
Tip MASTERMIND:
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang
Tetapi itu terjadi apabila anda sering mengamalkan minum air sejuk atau mengunyah ais batu. Namun, tahukah anda, jika sering mengamalkan mandi air sejuk atau mandi ais, ia merupakan satu terapi dan mempunyai banyak kebaikan.
Malah, mandi ais juga telah menjadi salah satu teknologi dalam rawatan untuk merawat penyakit, kecantikan dan juga menenangkan minda.
Mandi air sejuk dikatakan dapat menjadi penawar untuk demam dan jangkitan kuman pada badan. Menurut satu kajian, kadar metabolisme yang tinggi hasil daripada mandi air sejuk adalah disebabkan badan kita cuba memanaskan badan secara sendiri dan mengaktifkan sistem imunisasi, sekali gus menghasilkan lebih banyak sel darah putih.
Selain itu, mandi ais juga dapat meningkatkan tenaga kerana jantung akan mengepam darah dengan lebih aktif seterusnya darah dapat mengalir dengan lancar ke seluruh badan.
Bukan itu sahaja, mandi ais juga dapat membantu untuk menjadi lebih kurus apabila ia merupakan cara terbaik untuk membakar lemak. Ini kerana kalori yang dibakar melalui haba kebanyakannya datang daripada lemak.
Apabila badan terdedah dengan suhu sejuk, lemak akan terbentuk. Sel-sel lemak inilah yang akan membakar glukosa dalam badan bagi menghasilkan haba badan. Penghasilan lebih banyak sel lemak akan membantu pembakaran lebih banyak tenaga, seterusnya dapat menjadikan tubuh lebih kurus.
Tekanan perasaan juga dapat dikurangkan dengan mandi air sejuk. Kajian dari Universiti Virginia Commonwealth mendapati air sejuk boleh merangsang ‘titik biru’ pada otak iaitu sumber utama bahan kimia yang membantu mencegah tekanan perasaan yang dikenali sebagai noradrenaline.
Air sejuk juga dapat menjadikan kulit dan rambut lebih sihat apabila ia membantu mengecilkan kutikel kulit dan pori-pori, seterusnya mengurangkan masalah jerawat. Selain itu, air sejuk dapat membantu menyingkirkan kotoran dan toksin dalam kulit menjadikan kulit lebih bersih dan awet muda.
Cara yang paling cepat untuk memulihkan otot yang tercedera adalah dengan mandi ais, selain dapat mengurangkan kesakitan sebanyak 20 peratus. Malah, untuk kaum lelaki pula, mandi ais dikatakan dapat meningkatkan kadar hormon testosterone yang akan memberikan kekuatan dan tenaga tambahan.
sumber: lelakisihat.com
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang
Pertandingan realiti BigStageAlpha akhirnya menutup tirainya dengan malam kemuncak yang penuh gemuruh dan air mata.
Selepas lapan minggu penuh cabaran, ArielFesol dinobatkan sebagai juara mutlak pentas akhir yang berlangsung di Shah Alam RoyalTheatre.
Ariel, atau nama sebenarnya Muhamad FhazrillFesol, akhirnya mendapat momen yang telah dinantikannya selama 16 tahun.
Suatu ketika dahulu, dia hanyalah seorang kanak-kanak bernama ‘Arill‘ yang menyanyi dengan penuh rasa di pentas Idola Kecil.
Kini, dia berdiri megah sebagai juara BigStageAlpha dan membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000 serta sebuah trofi kemenangan.
“Saya tunggu momen ini 16 tahun. Saya sertai bermacam-macam pertandingan tapi semua tak menjadi. Impian saya nak bentuk rock band, tapi Allah lebih mengetahui dan hadiahkan saya sebuah boyband,” katanya penuh emosi.
Tempat kedua menjadi milik Ray-D, yang turut membawa pulang RM20,000 berserta trofi.
Di tempat ketiga, Rizal Rasid berpuas hati dengan ganjaran sebanyak RM10,000 dan trofi.
Manakala DanielSher, Araff dan Izat Ibrahim masing-masing menamatkan saingan di tempat keempat, kelima dan keenam, dan menerima hadiah RM5,000 berserta trofi setiap seorang.
AfiqSky, walaupun di tempat ketujuh, tetap pulang dengan RM3,000 dan trofi.
Apa yang menarik, walaupun hanya seorang dinobatkan juara, semua tujuh peserta akhir tidak pulang hampa.
Mereka kini bergabung dalam sebuah kumpulan baharu hasil kelahiran program ini, dinamakan Alphaboyband yang dijangka menggegarkan industri muzik tanah air.
Malam akhir turut mencipta sejarah apabila Alpha mempersembahkan buat pertama kalinya single sulung mereka bertajuk “Monalisa” secara langsung.
Konsert akhir ini dihoskan oleh dua figura popular Rina Nose dan EllyMazlein, yang berjaya mengekalkan suasana meriah sepanjang malam.
Sementara itu, barisan juri tetap terdiri daripada Datuk Syafinaz Selamat, Edry Abdul Halim dan HaelHusaini, dengan MarshaMilan sebagai juri jemputan.
Kisah Ariel bukan sekadar cerita tentang kemenangan, tetapi kisah kesabaran, ketekunan dan semangat yang tak pernah luntur.
Video lamanya semasa kecil kini kembali tular bukan sebagai nostalgia semata, tapi simbol kepada sebuah perjalanan yang tak pernah padam walau memakan masa belasan tahun.
Kini, Ariel bukan lagi ‘budak kecil bernama Arill‘, tetapi seorang lelaki dewasa yang membuktikan impian tidak akan pernah mati jika terus diperjuangkan.
Ramai tidak sedar mereka melakukan kesalahan ketika menggunakan treadmill. Ketahui 5 kesalahan lazim yang boleh jejaskan prestasi, tingkatkan risiko kecederaan dan pelajari cara membetulkannya untuk hasil senaman lebih berkesan.