Ads

Ranking FIFA Harimau Malaya Jatuh Tanpa Bertanding, Tamparan Pahit & Memalukan

Cover image via FAM & FIFA

Ranking jatuh tanpa bertanding, itulah realiti pahit yang kini terpaksa ditelan Harimau Malaya apabila ranking FIFA Harimau Malaya merudum ke tangga ke-121 dunia akibat hukuman FIFA. Dalam dunia bola sepak profesional, kekalahan di atas padang masih boleh diterima. Tetapi apabila ranking menjunam akibat keputusan pentadbiran, ia mencalar maruah dan keyakinan seluruh ekosistem bola sepak negara.

Ranking FIFA Harimau Malaya Jatuh Tanpa Bertanding, Tamparan Pahit & Memalukan
Ranking terbaharu Harimau Malaya merudum lima anak tangga ke kedudukan ke-121 dunia. – Foto Persatuan Bolasepak Malaysia

Kemas kini terbaharu ranking FIFA yang dikeluarkan semalam menyaksikan Malaysia jatuh lima anak tangga daripada kedudukan ke-116 kepada ke-121 dunia. Lebih menyedihkan, Malaysia kini hanya satu anak tangga mengatasi Indonesia yang berada di ranking ke-122. Satu kedudukan yang jauh daripada imej Harimau Malaya yang sedang membina semula taring di peringkat antarabangsa.

Hukuman FIFA Undang Kesan Berganda

Kejatuhan ranking FIFA Harimau Malaya ini berpunca daripada hukuman FIFA terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang membatalkan keputusan tiga perlawanan persahabatan antarabangsa membabitkan Malaysia menentang Cape Verde, Singapura dan Palestin. Dalam keputusan rasmi badan induk bola sepak dunia itu, Malaysia dianggap tewas 0-3 bagi ketiga-tiga perlawanan berkenaan.

FAM dalam satu kenyataan menjelaskan, “Kemas kini terbaharu ranking FIFA hari ini, Malaysia di tangga 121 dunia, turun lima anak tangga berbanding 116 pada kemas kini terdahulu, 19 November 2025. Kemas kini seterusnya pada 19 Januari 2026.”

Keputusan ini memberi tamparan hebat kerana kekalahan itu tidak berlaku di atas padang. Ia hadir di atas kertas, namun impaknya sangat nyata daripada mata ranking hinggalah kepada persepsi antarabangsa terhadap bola sepak Malaysia.

Ranking FIFA Harimau Malaya Jatuh Tanpa Bertanding, Tamparan Pahit & Memalukan

Ads

Rekod Tanpa Kalah 2025 Dipadam

Lebih perit, hukuman tersebut turut memadam rekod tanpa kalah yang dilakar skuad kendalian Peter Cklamovski sepanjang tahun 2025. Apa yang dibina melalui disiplin, struktur permainan yang semakin kemas dan keyakinan pemain akhirnya lenyap sekelip mata.

Bagi pemain, rekod tanpa kalah bukan sekadar statistik. Ia simbol momentum, kepercayaan terhadap sistem, dan bukti bahawa Harimau Malaya berada di landasan betul. Apabila ia dipadam bukan kerana kelemahan taktikal atau teknikal, kekecewaan itu menjadi berlipat kali ganda.

Malaysia Jatuh, Lawan Naik

Ironinya, kemas kini ranking yang sama menyaksikan pasukan-pasukan yang sebelum ini tewas kepada Malaysia pula mencatat peningkatan. Cape Verde naik satu anak tangga ke kedudukan ke-68 dunia. Singapura melonjak tiga anak tangga ke ranking ke-148, manakala Palestin naik satu anak tangga ke kedudukan ke-95 dunia.

Ads

Ranking FIFA Harimau Malaya Jatuh Tanpa Bertanding, Tamparan Pahit & Memalukan

Malaysia kini mengumpul 1,145.89 mata, kehilangan kira-kira 22 mata berbanding 1,168 mata ketika berada di ranking ke-116 dunia. Dalam sistem ranking FIFA, kehilangan mata ini membawa kesan jangka panjang daripada kedudukan undian kejohanan, peluang perlawanan persahabatan berkualiti, sehinggalah tahap hormat pasukan lawan.

Maskulin: Maruah Lebih Besar Daripada Ranking

Bagi Maskulin, isu ranking FIFA Harimau Malaya bukan sekadar soal nombor di carta ranking. Ia menyentuh soal profesionalisme, ketelitian dan akauntabiliti dalam pengurusan bola sepak negara. Lelaki sejati tidak takut kalah selepas bertarung habis-habisan, tetapi sukar menerima kejatuhan akibat kesilapan di luar padang.

Ads

Harimau Malaya masih punya masa dan ruang untuk bangkit. Namun episod ini harus dijadikan pengajaran paling mahal bahawa dalam bola sepak moden, kesilapan pentadbiran mampu memusnahkan hasil kerja keras pemain di atas padang.

Kerana akhirnya, ranking boleh dibaiki. Tetapi maruah, jika tercalar berulang kali, akan mengambil masa lebih lama untuk dipulihkan.

BACA LAGI : FIFA Dedah Maklumat Latar Belakang 7 Pemain Warisan Diberikan FAM Tidak Selari Dengan Dapatan Mereka

Sumber : Berita Harian

Dapatkan cerita, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Gentleman semua dah baca MASKULIN? Download dekat je senang

KLIK DI SEENI
Ads
AISAR KHALEDD

Aisar Khaledd Digelar ‘Wira Cahaya’ Aceh, Bantu Salur Bekalan Elektrik

Aisar Khaledd digelar ‘wira cahaya’ selepas membantu penduduk Aceh Tamiang memulihkan bekalan elektrik pasca banjir. Usaha kemanusiaannya membuktikan keikhlasan dan solidariti merentasi sempadan negara.