
Foto: Instagram Dr Say Shazril
Populariti HYROX sedang berada pada tahap cukup tinggi. Daripada atlet profesional, pengunjung gimnasium hinggalah selebriti dan pempengaruh, semakin ramai mahu menguji kemampuan dalam perlumbaan hybrid fitness yang menggabungkan larian dengan latihan kekuatan.
Namun di sebalik keterujaan mengejar personal best (PB) dan berkongsi medal di media sosial, Dr Say Shazril mengingatkan bahawa HYROX bukan pertandingan yang wajar disertai tanpa persediaan mencukupi.
Peringatan itu dikongsikan selepas Dr Say menyaksikan sendiri satu insiden mencemaskan ketika menyertai BYD HYROX Bangkok, yang berlangsung dari 13 hingga 16 Ogos 2026 di Queen Sirikit National Convention Center, Bangkok baru-baru ini.
“Masa saya buat mixed relay baru-baru ini, ada seorang participant kena CPR (bantuan pernafasan) dekat relay area. Scary, peeps,” kongsinya.
CPR merujuk kepada resusitasi kardiopulmonari yang dilakukan ketika seseorang mengalami keadaan kecemasan seperti jantung terhenti.
Menurut laporan seorang jurulatih kecergasan Leroy Saunders dari Afrika Selatan meninggal dunia selepa srbah dan pengsan ketika menyertai HYROX Bangkok.
Skala HYROX Bangkok kali ini sememangnya cukup besar. Sebelum acara berlangsung, penganjur menjangkakan lebih 22,000 peserta dari Thailand dan luar negara, menjadikannya edisi HYROX terbesar pernah dianjurkan di Asia. HYROX juga dilaporkan menganjurkan lebih 100 acara bagi musim 2025/26 dengan lebih sejuta peserta di lima benua.
Populariti besar itu mudah mencetuskan perasaan FOMO atau fear of missing out. Tetapi bagi Dr Say, melihat orang lain melakukan HYROX tidak bermaksud seseorang itu boleh terus mendaftar dan berlumba selepas hanya beberapa minggu berlatih.
Format HYROX sendiri menjelaskan mengapa persediaan tidak boleh dibuat sambil lewa.
Peserta perlu melakukan lari 1km sebanyak lapan kali, diselang-selikan dengan lapan stesen latihan iaitu SkiErg, Sled Push, Sled Pull, Burpee Broad Jumps, Rowing, Farmer’s Carry, Sandbag Lunges dan Wall Balls.
Secara keseluruhan, seseorang perlu berlari sejauh 8km sambil melakukan kesemua tugasan tersebut.
Malah laman rasmi HYROX sendiri menegaskan bahawa walaupun acara itu dibangunkan untuk pelbagai tahap kecergasan, ia tetap sebuah perlumbaan yang memerlukan latihan kekuatan dan ketahanan.
“Bila race HYROX, terutamanya nak kejar PB (personal best), sistem kardiovaskular anda akan bekerja sangat kuat dan lebih daripada kebiasaan,” tambah Dr Say.
Bezanya juga besar antara mampu menyelesaikan satu rutin HYROX ketika latihan dengan melakukannya ketika perlumbaan.
Faktor adrenalin, mengejar masa dan bersaing dengan peserta lain boleh menyebabkan seseorang menekan tubuh lebih keras berbanding kebiasaan.
Menurut Dr Say, kebimbangannya semakin besar apabila HYROX menjadi sukan yang sedang trending. Kemunculan selebriti dan pempengaruh dalam acara itu mungkin membuatkan lebih ramai merasakan mereka juga mahu mencuba.
Tiada salahnya menyahut cabaran, tetapi persediaan tidak seharusnya bermula hanya dua atau tiga minggu sebelum hari perlumbaan.
“Jadi kalau korang plan nak buat HYROX, buatlah latihan secukupnya, bina asas kekuatan serta stamina larian dan juga kekuatan otot.
“Belajar buat pergerakan yang betul, belajar bagaimana nak bernafas dengan betul, buat jadual rehat dan tidur mencukupi dan juga faktor pemakanan dan juga hidrasi. Dan paling penting sekali, tahu bila perlu berhenti. Listen to your body,” tambahnya lagi dalam satu video perkongsiannya di Instagram.
Nasihat terakhir itu mungkin yang paling penting. Mengejar catatan masa tidak sepatutnya mengatasi tanda amaran yang diberikan badan.
Seseorang yang tiba-tiba mengalami sakit dada, kesukaran bernafas luar biasa, pening atau terasa hampir pengsan ketika melakukan aktiviti intensif tidak seharusnya terus memaksa diri untuk sekadar mendapatkan masa lebih baik.
BACA: Anak Johor, Danish Iftikhar Lengkap Hatrik Emas, Pecah Rekod SUKMA 200m
Sebagai individu yang menurut perkongsiannya sudah menamatkan perlumbaan HYROX sebanyak 17 kali, Dr Say menegaskan bahawa tujuannya bukan untuk menakutkan orang ramai daripada menyertai sukan itu.
Sebaliknya, beliau mahu peserta menghormati tuntutan fizikal dan mental yang datang bersamanya.
“Respect the sport and respect your body,” jelasnya pada akhir video.
HYROX memang dibina untuk membuka peluang kepada ramai orang menguji tahap kecergasan masing-masing. Tetapi ‘terbuka kepada semua’ tidak bermaksud tubuh boleh dipaksa tanpa persediaan.
Jika mahu menyertai kerana ia sedang popular, jadikan trend itu sebagai motivasi untuk berlatih dengan betul, bukan alasan untuk terus masuk perlumbaan dalam keadaan badan yang belum bersedia.
Kredit: Dr Say Shazril