Siapa yang tidak rimas kalau kulit kepala berjerawat? Jerawat yang ada di muka pun belum settle, tumbuh pula jerawat di kulit kepala.

Selain menjengkelkan, kulit kepala berjerawat ini juga menyakitkan dan ia sering mengakibatkan rambut mudah gugur dan timbul bau yang kurang menyenangkan jika jerawat bernanah.

KebiasaaNnya kulit kepala berjerawat berlaku apabila liang-liang rambut tersumbat dengan kekotoran dan minyak.

Ini menyebabkan folikel pada kulit kepala membesar dan berkemungkinan dijangkiti bakteria jika anda tidak membersihkan kulit kepala dengan sebaiknya.

Untuk mengelakkan kulit kepala berjerawat dan timbul masalah keguguran rambut, pastikan anda tidak mengabaikan perkara-perkara penting ini.

1. Malas Mencuci Rambut

Sikap malas mencuci rambut bukan sahaja akan menyebabkan rambut menjadi kusam dan berbau, ia juga menjadi punca kulit kepala berjerawat dan gatal. Pastikan anda mencuci rambut dengan syampu yang sesuai sebanyak tiga kali seminggu. Selain berkesan untuk mencegah dan menghapuskan kelemumur, mencuci rambut secara teratur juga boleh menghalang kegatalan dan munculnya jerawat pada kulit kepala.

IKLAN

2. Tidak Cukup Tidur

Kurang tidur juga menjadi punca jerawat timbul di kulit kepala kerana tubuh badan anda terganggu untuk membiak semula sel-sel kulit yang mati. Bahkan kekurangan tidur juga menyebabkan proses metabolisme tubuh berjalan dengan tidak sempurna. Itulah sebabnya pentingnya tidur yang cukup dan berkualiti agar anda mendapat tubuh badan yang sihat, segar dan bermaya.

3. Tidak Cuci Syampu Dengan Bersih

Pastikan anda mencuci rambut sebersih-bersihnya selepas bersyampu untuk mengelakkan sisa-sisa syampu melekat pada kulit kepala. Jika tidak dibersihkan dengan sempurna, akan timbul masalah jerawat di kulit kepala kerana liang-liang rambut anda tersumbat. Oleh itu, gandakan aktiviti membilas rambut selepas menggunakan syampu bagi mengelakkan perkara ini terjadi.

4. Menggunakan Tuala Yang Kotor

Antara sebab utama hadirnya jerawat di kulit kepala adalah disebabkan anda sendiri tidak menjaga kebersihan. Keadaan ini akan menjadi lebih buruk jika anda sering menggunakan tuala mandi yang lembap dan tidak bersih. Selain itu, penggunaan sarung bantal yang kotor juga menyumbang kulit kepala kotor dan berjerawat. Sebaiknya ganti tuala mandi anda dengan yang baharu seminggu sekali, begitu juga dengan cadar dan sarung bantal yang ditukar sekurang-kurangnya dua minggu sekali.

5. Tidak Pandai Menguruskan Tekanan

Tekanan adalah sesuatu yang sering dialami oleh ramai individu terutamanya jika harus menyiapkan sesuatu kerja dalam masa yang singkat. Tekanan yang tidak terkawal untuk tempoh masa yang lama boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan termasuk jerawat pada kulit kepala. Oleh itu, penting untuk anda menguruskan tekanan dengan baik agar tidak mendatangkan kesan negatif terhadap penampilan diri.

6. Terdedah Kepada Cuaca Panas

Kulit kepala yang terdedah kepada cuaca panas dan berhabuk turut menyumbang kepada kehadiran jerawat di kulit kepala. Ini kerana cuaca panas diiringi dengan minyak dan habuk boleh melekat pada liang-liang kulit kepala dan menjadi punca bakteria merebak sehingga timbulnya jerawat. Oleh itu, anda digalakkan memakai topi untuk melindungi kulit kepala daripada habuk dan cuaca panas. Namun elak pakai topi dalam tempoh yang lama kerana ia boleh memberi kesan yang tidak baik kepada kulit kepala.

7. Tidak Menjaga Pemakanan

Diet pemakanan juga penting dan perlu dititikberatkan. Kurangkan pengambilan makanan seperti udang, ketam dan kerang kerana ia boleh merangsang kulit kepala mudah gatal dan naik jerawat. Pengambilan makanan yang seimbang penting untuk penumbuhan rambut sekali gus menyihatkan kulit kepala.

8. Pakai Topi Tempoh Yang Lama

Tidak dinafikan pemakaian topi elok untuk melindungi diri daripada cuaca panas dan habuk, akan tetapi jika anda terlampau kerap memakai topi setiap masa walaupun cuaca tidak panas ia boleh menjadi punca munculnya jerawat di kulit kepala. Kulit kepala yang tertutup terlalu lama boleh menyebabkan perpeluhan dan membuatkan pori-pori kulit kepala tersumbat dan menghasilkan jerawat yang terhasil daripada campuran bakteria serta kekotoran.

Follow Instagram MASKULIN