
Sebut sahaja nama Mohamed Salah pastinya kita terus terbayang dengan kehebatannya di atas padang. Keunggulan penyerang Liverpool, Mohamed Salah berasal dari Mesir ini terbukti sekali lagi.
Terbaru, Salah dinamakan sebagai Pemain Terbaik Tahunan Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional (PFA) pada 19 Ogos. Lebih luar biasa lagi, sayap kanan Liverpool ini menjadi pemain pertama dalam sejarah memenangi anugerah tersebut sebanyak tiga kali.
Salah yang menyertai Liverpool pada 2017, merupakan penjaring terbanyak Liga Perdana musim lalu, dengan 29 golnya, bersama 18 bantuan gol.
Dia memainkan peranan cukup penting dalam kejayaan kelab itu memenangi gelaran liga, menamatkan saingan 10 mata di hadapan naib juara Arsenal.

Pemain berusia 33 tahun itu sebelum ini telah memenangi anugerah Pemain Terbaik Musim Liga Perdana, Kasut Emas untuk penjaring terbanyak dan anugerah Penggerak Serangan untuk bantuan gol terbanyak. Menjadikannya pemain pertama yang memenangi ketiga-tiga anugerah tersebut dalam musim yang sama.
Salah pertama kali memenangi anugerah PFA pada 2018 selepas musim pertamanya di Liverpool dan sekali lagi pada 2022. Dan pada tahun ini dia berada di puncak senarai pendek enam pemain, yang diundi oleh ahli-ahli PFA dari 92 pasukan Liga Perdana dan Liga Bola Sepak.
SALAH TERBAIK DI KALANGAN TERBAIK
Senarai pendek itu termasuk rakan sepasukannya dari Liverpool, Alexis Mac Allister, bersama Alexander Isak dari Newcastle United, Bruno Fernandes dari Manchester United, Declan Rice dari Arsenal dan Cole Palmer dari Chelsea.
Salah menandatangani lanjutan kontrak dua tahun dengan Liverpool pada April, menamatkan spekulasi berbulan-bulan yang mengaitkannya dengan perpindahan ke Liga Pro Saudi.

Pemain tengah Aston Villa dan England, Morgan Rogers, telah diundi sebagai Pemain Muda Terbaik Tahunan, selepas pemain berusia 23 tahun itu menjaringkan lapan gol liga dalam 37 permulaan musim lalu dan menjaringkan empat gol dalam Liga Juara-Juara termasuk hatrik menentang Celtic.
Pemain tengah Arsenal, Mariona Caldentey, dinamakan sebagai Pemain Wanita Terbaik Tahunan.
Pemain Sepanyol itu menjaringkan sembilan gol liga dalam musim pertamanya bersama kelab serta lapan gol dalam Liga Juara-Juara di mana Arsenal menewaskan bekas kelabnya Barcelona untuk memenangi trofi.
Penyerang Kanada berusia 21 tahun, Olivia Smith, penjaring terbanyak Liverpool musim lalu di semua pertandingan dengan sembilan gol, meraih anugerah Pemain Muda Terbaik Tahunan.
Smith sejak itu telah menyertai Arsenal dengan yuran perpindahan yang dilaporkan sebanyak £1 juta (S$1.7 juta), menjadikannya pemain wanita pertama yang memecahkan halangan tujuh angka.
BACA: Bau Harum, Aura Hebat Panduan Perfume Untuk Lelaki ‘Classy’
Liverpool mempunyai empat pemain dari musim lalu, termasuk Salah, dinamakan dalam pasukan Liga Perdana tahunan, bersama pemain baharu yang direkrut dari Bournemouth, Milos Kerkez.

Berikut merupakan Pasukan Terbaik Liga Perdana Tahunan:
Matz Sels (Nottingham Forest)
Virgil van Dijk (Liverpool)
Milos Kerkez (Bournemouth)
William Saliba (Arsenal)
Gabriel Magalhaes (Arsenal)
Declan Rice (Arsenal)
Ryan Gravenberch (Liverpool)
Alexis Mac Allister (Liverpool)
Mohamed Salah (Liverpool)
Alexander Isak (Newcastle United)
Chris Wood (Nottingham Forest)
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang













