Sathiya Selamat Jalani Pembedahan Pemotongan Kaki, Kini Stabil

Share

Pelawak dan pelakon popular, Sathiya, yang pernah mencuit hati rakyat Malaysia menerusi sitcom Pi Mai Pi Mai Tang Tu, dilaporkan selamat menjalani pembedahan pemotongan kaki kirinya di Hospital Ampang baru-baru ini.

Menurut anak sulungnya, Amani, keadaan ayahnya kini stabil walaupun masih perlu dipantau oleh pihak perubatan berikutan masalah tekanan darah tinggi.

“Ayah dah okay tapi ada darah tinggi. Pembedahan pun selamat berjalan. Doktor nasihat jangan makan makanan tinggi gula, kena makan lebih, dan kalau boleh buat senaman ringan,” katanya ketika dihubungi Gempak.

Punca Pembedahan & Penyakit Lama

Foto : Berita Harian

Amani menjelaskan, pembedahan itu terpaksa dilakukan kerana masalah saraf yang tidak berfungsi dengan baik selain penyakit kencing manis yang telah dihidapi Sathiya sejak lebih 10 tahun lalu.

Sebelum ini, Sathiya pernah mendedahkan kaki kirinya berisiko dipotong sekiranya jangkitan semakin merebak.

Malah, pada 1 September lalu beliau sempat berkongsi bahawa pembedahan mungkin tidak perlu dilakukan.

Namun, keadaan kesihatan berubah dan akhirnya prosedur tersebut tetap dijalankan.

Sokongan Rakan & Keluarga

Amani turut berkongsi hanya dua rakan artis yang hadir melawat Sathiya selepas pembedahan iaitu DPM Jegan dan Caca Raja Lawak.

“Selain itu, hanya keluarga saya dan pasangan saya yang datang. Lain-lain artis tak ada, mungkin mereka tidak tahu,” ujarnya.

Walaupun begitu, anak-anak dan keluarga terdekat terus berada di sisi Sathiya, memberikan semangat sepanjang tempoh pemulihan.

Ditanya mengenai kos rawatan, Amani memaklumkan mereka sekeluarga masih belum mengetahui jumlah sebenar caj hospital.

Foto : Berita Harian

Setakat ini juga belum ada sebarang sumbangan diterima daripada mana-mana pihak.

Bagi Amani, keutamaan mereka adalah kesihatan ayah tercinta. Namun, beliau tidak menolak sekiranya Sathiya mahu kembali berlakon setelah pulih kerana itu adalah minat dan sumber kegembiraan ayahnya.

“Kami mahu ayah sihat sahaja sebab masa kecil kita tak tahu apa-apa, bila dah dewasa baru boleh jaga ayah. Kalau ayah nak kerja juga, kami kasi sebab itu minat ayah. Kami tetap akan sokong,” jelasnya.

BACA LAGI : Jadi ‘House Husband’ Uruskan Anak, Zach X-Factor Tak Peduli Pandangan Orang

Reda Dengan Ketentuan & Harapan Baharu

Mengulas reaksi awal keluarga apabila mendapat tahu mengenai keadaan Sathiya, Amani mengakui mereka sekeluarga terkejut namun akhirnya reda dengan ketentuan Tuhan.

“Pertama kali tahu memang terkejut tapi apa yang penting kena terima. Tuhan dah tentukan. Kalau betul-betul sihat dalam sebulan atau tiga, ayah mungkin pasang kaki palsu tapi tak pasti lagi sebab ayah kena exercise, makan ubat dan banyak pantang larang,” katanya.

Walaupun diuji dengan kesihatan yang semakin merosot, semangat Sathiya untuk terus hidup sihat dan minatnya dalam dunia seni tetap menjadi sumber kekuatan keluarga.

Sumber : Gempak

Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

 

Published by
Darwisy Farain