
SCORE Marathon 2026 by AIA Vitality terus mengukuhkan statusnya sebagai antara acara larian paling besar di Malaysia apabila mencatat penyertaan rekod 50,000 pelari bagi edisi tahun ini.
Acara yang bakal berlangsung di Putrajaya pada 18 hingga 19 Julai 2026 itu juga akan menampilkan format baharu sebagai festival larian dua hari buat pertama kali dalam sejarah penganjurannya.
Perubahan format ini menandakan evolusi besar bagi SCORE Marathon 2026 yang sebelum ini dianjurkan dalam satu hari.
Untuk edisi kali ini, kategori 5KM dan 10KM akan berlangsung pada 18 Julai, manakala 21KM dan maraton penuh 42KM dijadualkan berlangsung pada 19 Julai. Langkah ini diambil bagi memberikan pengalaman larian yang lebih lancar dan meriah kepada peserta.
Lonjakan Penyertaan SCORE Marathon 2026
Penyertaan tahun ini menunjukkan peningkatan besar berbanding tahun sebelumnya. Dengan 50,000 pelari yang disahkan mengambil bahagian, jumlah itu meningkat sebanyak 17,000 peserta berbanding 33,000 pelari pada tahun lalu.
Penganjur turut mengemukakan permohonan kepada Malaysia Book of Records untuk mengiktiraf SCORE Marathon 2026 sebagai acara larian terbesar di Malaysia.

Permintaan yang tinggi dapat dilihat sebaik sahaja pendaftaran dibuka pada 9 Januari lalu. Kesemua kategori tempatan habis ditempah dalam tempoh 20 hari, manakala kategori 21KM pula habis dalam masa hanya 24 jam.
Selain pelari tempatan, acara ini juga dijangka menarik penyertaan pelari antarabangsa dari lebih 55 negara, sekali gus mengukuhkan reputasi SCORE Marathon 2026 sebagai destinasi larian serantau.
Perjalanan Dari Larian Komuniti Ke Acara Nasional
Ketua Pegawai Eksekutif SCORE Sports Management, Patricia Tan, menjelaskan bahawa pencapaian ini merupakan hasil sokongan berterusan komuniti larian sejak acara tersebut diperkenalkan.
“Daripada permulaan sederhana kami pada tahun 2014 sebagai larian komuniti kecil, SCORE Marathon berkembang secara konsisten sehingga menjadi salah satu acara larian terkemuka di Malaysia hari ini.
“Mencapai 50,000 pelari dan memperkenalkan format dua hari merupakan pencapaian besar bagi kami dan ia mencerminkan sokongan kuat daripada komuniti pelari serta rakan kerjasama kami.”

Beliau turut menambah bahawa acara ini bertujuan memberi ruang kepada semua jenis pelari untuk mencabar diri mereka.
“Kami mahu SCORE Marathon 2026 menjadi platform di mana semua orang — daripada pelari kali pertama hingga atlet berpengalaman — boleh mencabar diri sendiri, mengejar sasaran peribadi dan menjadi sebahagian daripada sesuatu yang lebih besar.
“Dengan pengenalan SCORE Double Challenge dan High Performance Category, kami juga mengambil langkah ke hadapan dalam memupuk penyertaan massa serta larian kompetitif di Malaysia,” jelasnya lagi.
Cabaran Baharu Dalam SCORE Marathon 2026 Untuk Pelari
Edisi 2026 juga memperkenalkan beberapa kategori baharu yang menjadikan acara ini lebih menarik.
Antara yang paling menonjol ialah SCORE Double Challenge, di mana peserta boleh menyertai dua perlumbaan berturut-turut dalam dua hari berbeza. Peserta boleh memilih gabungan berikut:
- 10KM + 42KM
- 5KM + 42KM
- 10KM + 21KM
- 5KM + 21KM
Pelari yang berjaya menamatkan kedua-dua perlumbaan akan menerima dua pingat penamat, menjadikannya cabaran menarik bagi mereka yang ingin menguji ketahanan fizikal.
Selain itu, kategori High Performance Category turut diperkenalkan bagi pelari yang menyasarkan kedudukan podium. Penyertaan kategori ini hanya terbuka kepada pelari yang memenuhi standard kelayakan tertentu.
Sebagai contoh, masa kelayakan bagi kategori maraton terbuka lelaki ialah 3 jam 20 minit, manakala bagi wanita ialah 4 jam 20 minit.
Sokongan AIA Vitality Terhadap SCORE Marathon 2026
Acara ini terus mendapat sokongan daripada AIA Vitality yang kembali sebagai penaja utama untuk tahun kelima berturut-turut. Edisi tahun ini juga istimewa kerana menandakan ulang tahun ke-10 program kesihatan dan kesejahteraan AIA Vitality.
Ketua Pegawai Eksekutif AIA Malaysia, Heng Zee Wang berkata,” “Kami sangat teruja untuk kembali sebagai penaja utama bagi tahun kelima berturut-turut dan amat bangga melihat SCORE Marathon 2026 mencapai pencapaian luar biasa dengan 50,000 pelari tahun ini.
“Edisi ini sangat bermakna bagi kami kerana kami turut meraikan ulang tahun ke-10 AIA Vitality — program kesihatan dan kesejahteraan unik kami yang telah memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk hidup lebih sihat, lebih lama dan lebih baik sepanjang dekad yang lalu.”
Beliau menambah bahawa kerjasama ini telah berkembang menjadi satu gerakan gaya hidup sihat.
“Apa yang bermula sebagai kerjasama berteraskan acara larian kini berkembang menjadi satu gerakan yang menyatukan masyarakat, mengukuhkan komuniti, menggalakkan tabiat sihat dan perubahan gaya hidup positif.
“Kami berbangga dapat berjalan bersama SCORE sepanjang perjalanan ini dan teruja untuk terus memperkasakan lebih ramai rakyat Malaysia menjalani kehidupan lebih sihat pada masa hadapan,” tambahnya lagi.
BACA: 10 Sebab Jam Pintar GPS Bantu Tingkatkan Prestasi Larian dengan Lebih Pantas
Komitmen Kelestarian Dalam SCORE Marathon 2026
Selain aspek sukan, SCORE Marathon 2026 turut memberi perhatian kepada kelestarian alam sekitar. Antara inisiatif yang diperkenalkan ialah pengurangan sekurang-kurangnya 50,000 barangan plastik sekali guna semasa pengambilan kit perlumbaan.
Pingat penamat juga dihasilkan daripada plastik kitar semula, manakala baju acara diedarkan tanpa pembungkusan plastik.
Dalam masa sama, program Event Bags for a Cause akan diteruskan, di mana hasil jualan beg acara akan disalurkan kepada organisasi kebajikan Rumah K.I.D.S yang membantu kanak-kanak kurang bernasib baik.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Download dekat
je senang




