Pening kepala boleh dialami oleh sesiapa sahaja cuma yang membezakan adakah ia teruk atau tidak. Apabila pening kepala menyerang, segala kerja terjejas kerana rasa pusing dan nak pitam sehingga ada ketikanya mengganggu kesihatan.

Bagi seseorang orang pening kepala itu penyakit biasa, namun sebenarnya ada beberapa perkara yang menyebabkan pening kepala boleh terjadi. Oleh itu jangan pandang remeh dengan pening kepala yang anda alami.

Perkongsian Dr Ezairy M.Sallih ini menjelaskan lebih lanjut tentang punca-punca berlakunya pening kepala.

Jom ikuti perkongsiannya.

BACA: Selain Hilangkan Sakit Kepala & Migrain, Letak Ais Di Titik Feng Fu Juga Boleh Ringankan Badan!

Pening kepala – gejala yang tidak spesifik

“Isteri saya ini selalu sangat pening. Ada doktor kata migraine, ada kata vertigo, ada kata resdung, darah tinggi. Pening kepala saya!”

Bawa bertenang. Pening kepala merupakan simptom general yang boleh berlaku kepada sesiapa. Kadangkala, sukar untuk berjaya mengenalpasti punca lebih awal. Sebab ia gejala yang tidak spesifik!

Kajian di barat menunjukkan lebih 30 peratus daripada kita berjumpa doktor akibat simptom pening kepala saja sebelum mencapai usia 65 tahun. Dahsyat kan?

Perlu pemeriksaan.

Doktor perlu memeriksa pesakit secara keseluruhan. Darah tinggi, kencing manis, bacaan kolesterol, gejala resdung, pendengaran, mata dan banyak lagi. Adalah sukar untuk mengenalpasti penyakit itu tanpa melakukan pemeriksaan. Perlu berjumpa doktor.

IKLAN

“Tapi, setiap kali pening kepala saja, bacaan darah tinggi saya mesti naik?”

Ini biasa ditemui. Ramai daripada kita tidak sedar bahawa mereka mengalami beberapa penyakit yang mereka sendiri tidak tahu sebelum itu. Ini bahaya. Dirisaukan ia diketahui sebaik sahaja mendapat komplikasi seperti serangan strok, kerosakan organ dan lain-lain.

BACA: Buat Teknik Urutan 5 Minit Ini Kalau Nak Redakan Sakit Kepala Tanpa Makan Ubat!

Jadi, apa sebab pening kepala ini? Apa punca-puncanya?

Gejala pening kepala boleh dibahagikan kepada fisiologikal, postraumatik, neurologikal, psikologikal dan beberapa lagi. Apa beberapa kaedah pembahagian untuk mengenalpasti punca pening kepala. Rumit kalau nak dibincangkan satu persatu.

Maka itu saya ringkaskan seperti di bawah.

1. Sea sickness atau kita selalu sebut sebagai mabuk laut

Ini berlaku akibat konflik yang berlaku apabila visual input (pandangan kita kepada lantai bot) mengalami konflik dengan pergerakan bot yang terolang-aling. Jadi apa kena buat? Sebab itu anda dinasihat pandang saja ke depan bagi mengurangkan konflik ini.

IKLAN

2. Visual

Anda yang berkaca mata pasti mudah faham apa yang saya maksudkan kan? Apabila seseorang baru memakai atau menukar power cermin mata contohnya, ini akan memerlukan perubahan adaptasi pada refleks yang dipanggil vestibulocular reflex (VOR) bagi memastikan pergerakan mata seiring dengan pergerakan kepala. VOR bagi mereka yang berusia sangat perlahan dan ini merupakan salah satu sebab mereka mudah mengalami pening kepala.

3. Ketinggian atau dipanggil ‘height vertigo’

Bagi memastikan postur badan kita stabil, perubahan pergerakan kepala 2cm sahaja dibenarkan bagi membolehkan pandangan(visual) kita membantu kestabilan tubuh. Sebab itu apabila anda berdiri melihat ke bawah di bangunan tinggi, anda akan rasa melayang dan ingin berpusing. Tak percaya? Boleh cuba. Tapi pastikan ada seseorang di sisi. Hati-hati.

4. Migraine

Masalah ini sering dikaitkan dengan simptom pening kepala sebelah bahagian sahaja. Betul? Tapi pernahkah anda mengalami pening kepala, apabila berjumpa doktor itu katanya migraine, bila jumpa doktor ini katanya vertigo. Jadi mana satu betul ini? Anda pernah dengar ‘Migraine associated vertigo’? Masalah ini boleh berlaku kepada anda dan kadangkala amat sukar untuk membezakan dengan ‘meniere disease’ (saya akan cerita tentang meniere selepas ini). Sebanyak 40 peratus pesakit yang mengalami meniere turut mengalami migraine!

5. Meniere disease

Merupakan salah satu gejala vertigo iaitu pening kepala berpusing dan disertai dengan masalah pendengaran. Ia berlaku disebabkan oleh masalah pada vestibular sistem iaitu organ keseimbangan tubuh dan pendengaran juga.

BACA: Cara Buat Terapi Mandi Ais Guna 4 Bahan Untuk Rawat Stres, Elak Sakit Kepala & Penat Badan!

6. BPPV atau benign positional paroxysmal vertigo

Berlaku apabila berlaku perubahan pada pergerakan kepala. Serangan berlaku biasanya sekejap saja dalam beberapa saat ke minit. Ia berlaku akibat masalah pada semicircular canal iaitu struktur keseimbangan tubuh. Pesakit BPPV tidak mempunyai masalah pada pendengaran. Berbeza dengan meniere.

IKLAN

7. Ubat

Beberapa jenis ubat-ubatan boleh memberi kesan sampingan pening kepala seperti ubat yang bertindak central iaitu phenytoin, barbiturates, carbamazepine dan banyak lagi.

8. Pendarahan kepala atau gegaran otak

Ini biasa berlaku selepas kemalangan. Pening merupakan salah satu gejala utama yang biasa ditemui.

9. Sinusitis atau resdung

Pesakit biasa akan mengadu berat kepala dan muka disamping masalah pada hidung seperti tersumbat, hidung berair, kurang bau dan lain-lain.

10. Ketumbuhan

Ini yang paling kita tak mahu dengar. Ketumbuhan paling biasa menyebabkan masalah vertigo ialah pada kawasan pangkal otal (cerebellopontine angle). Ketumbuhan dalam otak sendiri juga boleh menyebabkan simptom pening kepala kepada pesakit. Pesakit boleh datang dengan gejala pengsan, serangan sawan selepas beberapa hari pening kepala di rumah.

Kalian… jangan lambat dapatkan rawatan. Jangan jumpa bomoh-bomoh. Jangan dapatkan suplemen dan jamu dulu. Jangan urut-urut, buat rawatan kampung dulu. Jumpa doktor dulu, periksa apa masalah kita. Doktor membantu selagi boleh. InshaaAllah.

Moga bermanfaat.

Dr. Ezairy M.Sallih
Maklumat di atas adalah sebagai rujukan tambahan. Tidak bertujuan sebagai konsultasi penyakit anda. Jumpa doktor untuk diagnosis tepat.

*Saya tambah nombor sebelas yang ramai lupa termasuk saya. Stres dan tekanan hidup. Hidup ini pilihan. Kita yang pilih untuk gembira atau berduka. Nak sedih, nak ketawa, nak menangis atau apa-apa hak kita kan? Dekatkan diri dengan Tuhan. Hati tenang, fikiran senang dan InshaaAllah masalah hilang.

BACA: Hilangkan Derita Sakit Kepala Atau Migrain Cara Mudah Dengan Cuka Epal & Madu!