Seperti kita memakai kasut yang lawa begitu juga dengan kereta. Pastinya ‘kasut’ untuk kereta juga anda mahu nampak lebih gah dan gempak!
Kebiasaannya buat mereka yang baru sahaja memiliki kereta baru di antara modifikasi paling senang untuk dilakukan ialah menukar sport rim. Apatah lagi jika anda membeli kereta yang dibekalkan dengan rim standard dan kelihatan tidak mengancam di mata anda.
Namun dalam apa jua modifikasi atau melakukan pertukaran komponen serta aksesori terdapat beberapa perkara perlu anda pertimbangkan terlebih dahulu. Ingat ya, menggunakan sport rim sangat penting bukan sahaja untuk keselesaan pemanduan tetapi juga untuk keselamatan anda.

Jika tersilap pasang padah boleh datang mengundang. Jadi kali ini MASKULIN ingin kongsi beberapa tip untuk anda memilih sport rim kereta yang sesuai.
SAIZ LUBANG RIM DAN PCD
PCD atau Pitch Circle Diameter merupakan saiz lubang rim yang berada di tengah-tengah rim. Setiap model kereta kadangkala tidak sama PCD terutamanya kereta buatan luar negara. Dan setiap PCD juga bergantung kepada jenis kereta juga. Ada yang mempunyai 4, 5 atau 6 lubang. Saiznya pula pelbagai seperti 114.3, 100, 110, 120 dan banyak lagi.

KENAL PASTI ET ATAU OFF SET RIM
ET merupakan singkatan kepada ‘Einpresstiefe’ atau ‘Offset’, iaitu dalam kefahaman mudah dalam Bahasa Melayu ialah mengimbangi. Ia membawa maksud untuk memberitahu kita jenis rim ini sama ada masuk ke dalam atau terkeluar dari fender atau body kereta.
UKURAN LEBAR RIM
Seterusnya ukuran lebar rim yang sesuai. Ukuran lebar ini akan menentukan kesesuaian tayar yang kita akan gunakan nanti. Kebanyakan trend sekarang ramai yang gemar menggunakan rim lebar tetapi tayarnya tidak lebar. Ia untuk mengelak tayar terkena pada fender atau body. Jadi ambil tahu tentang ukuran lebar rim yang biasanya tertulis di sebelah dalam atau belakang rim.
SAIZ & WARNA SESUAI
Akhir sekali pilihlah sport rim yang saiznya sesuai untuk kereta anda. Seperti anda juga ukurlah kasut sebelum beli. Begitu juga dengan sport rim. Selain itu, pilihlah warna rim yang lebih bersifat universal seperti hitam, krom, emas atau merah. Ia merupakan antara warna yang sangat sesuai dipadankan dengan banyak jenis warna cat pada body kereta.
Semoga perkongsian ini memberikan manfaat kepada anda!
Fakta Menarik Brabus 900 Rocket Edition Seperti Hadiah Aeril Zafrel Untuk Wawa Zainal

Seperti merpati dua sejoli, Aeril Zafrel dan Wawa Zainal merupakan di antara pasangan selebriti yang paling popular di negara kita. Hubungan romantis pasangan suami isteri ini sering dipertontonkan dengan pelbagai momen kasih sayang dan mencuit hati.
Kini bergelar usahawan berjaya, Aeril dan Wawa juga dilihat sebagai sumber inspirasi buat ramai orang yang mahu berjaya seperti mereka.
Terbaru menerusi hantaran di laman media sosial Instagram kendaliannya, Aeril Zafrel berkongsi sebuah video merakamkan momen di mana dia membuat kejutan kepada Wawa dengan menghadiahkan sebuah kereta mewah.
Kereta mewah itu pula bukanlah biasa-biasa ya! Ia merupakan sebuah kenderaan pacuan empat roda mewah yang dihasilkan pada kuantiti terhada dan sangat eksklusif iaitu Brabus 900 Rocket Edition.
“Akhirnya dapat hadiahkan si orange ni untuk dia. kalau marah-marah lagi tak tahu la aku.. sweet tak I?” jelas Aeril berseloroh menerusi kapsyen hantaran video tersebut.
Lebih romantis, Brabus 900 Rocket edition itu juga dipenuhi dengan sejambak bunga ros serta beberapa kota beg tangan mewah berjenama Hermes turut kelihatan.

Mungkin anda tertanta-tanya tentang kenderaan pacuan empat roda, Brabus 900 Rocket edition tersebut, bukan? Berikut MASKULIN kongsikan beberapa fakat menarik tentang jentera mewah yang cukup eksklusif ini.
Kuasa Enjin Mengejutkan
Brabus 900 Rocket Edition dilengkapi dengan enjin V8 biturbo yang telah dinaiktaraf daripada model asas Mercedes-AMG.
Enjin ini mampu menghasilkan kuasa sehingga kira-kira 900 kuasa kuda (PS), menjadikannya salah satu kenderaan tumpuan dengan prestasi tertinggi di pasaran.
Kelajuan Maksimum Luar Biasa
Prestasi yang ditingkatkan membolehkan Brabus 900 Rocket Edition mencapai kelajuan maksimum yang sangat tinggi. Ia boleh mencecah kelajuan melebihi 350 km/j, menjadikannya antara kenderaan kelajuan tinggi yang paling pantas di dunia.
Peningkatan Reka Bentuk
Selain daripada peningkatan prestasi, Brabus juga membuat pelbagai perubahan reka bentuk untuk Rocket Edition. Ini termasuklah pakej aerodinamik yang lebih baik, pelbagai ubah suai reka bentuk badan dan elemen-elemen tambahan seperti tayar sport yang lebih besar.
Pengubahsuaian Dalaman yang Mewah
Brabus 900 Rocket Edition bukan sahaja menumpukan kepada prestasi, tetapi juga pada keselesaan dalaman. Pelbagai pengubahsuaian mewah termasuklah hiasan dalaman yang eksklusif, bahan kulit berkualiti tinggi dan kemudahan teknologi terkini.
Pengeluaran Terhad
Seperti kebanyakan kenderaan khusus prestasi tinggi, Brabus 900 Rocket Edition dikeluarkan dalam jumlah terhad. Ini menjadikannya suatu koleksi eksklusif yang dicari oleh peminat kenderaan prestasi dan kolektor.
Prestij Brabus
Brabus adalah sebuah syarikat penukaran prestasi yang terkenal dengan kemahiran mereka dalam mengubah suai dan meningkatkan prestasi kenderaan Mercedes-Benz. Kenderaan-kenderaan Brabus sering menjadi simbol prestij dan kuasa dalam kalangan peminat kenderaan prestasi.
Teknologi Terkini
Brabus 900 Rocket Edition menawarkan teknologi terkini dalam pelbagai aspek, termasuk sistem hiburan, sistem pemanduan, dan ciri-ciri keselamatan terkini yang memastikan pengalaman pemanduan yang selamat dan selesa.
Harga Luar Biasa
Prestij dan prestasi yang ditawarkan oleh Brabus 900 Rocket Edition datang dengan harga yang cukup tinggi. Kenderaan ini adalah pilihan yang terutama dijangkakan untuk peminat kenderaan prestasi yang sedia membayar untuk pengalaman pemanduan unik dan berprestij.
Memang bukan biasa-biasa bukan!
Jom subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.
BMW Malaysia Tampilkan Dua Model Iterasi Baharu, BMW iX M60 & BMW M2

Pada Sabtu lalu, BMW Malaysia memperkenalkan BMW iX M60, jentera SAV elektrik yang sulung dalam segmen kenderaan sport berprestasi tinggi mereka, di samping dua varian BMW M2 – iterasi terkini bagi jentera coupé kompak berprestasi tinggi daripada BMW M.
Langkah ini terus membuktikan komitmen pengeluar kenderaan premium ini untuk menginovasi janji ‘Sheer Electric Driving Pleasure’ dengan kuasa yang mendefinisikan ‘Ultimate Driving Machine’ berkenaan.
Ketua Komunikasi Korporat dan Kelestarian BMW Group Malaysia, Sashi Ambi, mengambil peluang untuk berkongsi, “Tahun ini telah menjadi satu titik sejarah yang bermakna bagi kami di BMW Group Malaysia, menandakan ulang tahun kami yang ke-20 dalam menunaikan janji ‘Sheer Driving Pleasure’ sambil kami terus mengekalkan kedudukan sebagai Pengeluar Kenderaan Premium No. 1 di Malaysia untuk tiga tahun berturut-turut.
Tahun 2023 juga telah menjadi satu detik yang penting bagi seluruh portfolio kami, dengan pengenalan beberapa model rintis BMW i dan BMW M Performance dalam tempoh enam bulan yang pertama, termasuk BMW i4 M50 dan BMW XM yang sulung.
Kini, dengan penuh keterujaan, kami ingin mempersembahkan sebuah era kenderaan berprestasi tinggi yang baharu buat para pelanggan kami di Malaysia, menerusi jentera elektrik tulen BMW iX M60 yang sulung dan iterasi jentera ikonik BMW M2 yang terbaharu.”
Sebagai model SAV elektrik yang sulung bagi portfolio BMW M, BMW iX M60 menampilkan aneka teknologi canggih berserta karakteristik pemanduan yang luar biasa seperti yang dijanjikan oleh jentera-jentera M Performance.
Sementara itu, BMW M2 terbaharu hadir dalam bentuk coupé kompak dua pintu dengan iras yang paling gah pernah dilihat dalam kelasnya. BMW M2 turut mencerminkan kecemerlangan BMW M3 dan BMW M4, disempurnakan dengan casis yang berpaksikan teknologi litar lumba.
BMW iX M60
BMW iX M60 mampu menjana output maksimum mencecah 455 kW/619 kk serta jarak operasi elektrik sejauh 561 kilometer (WLTP) – menjadikannya antara model elektrik terpantas dalam portfolio kenderaan prestasi yang bertaraf premium oleh BMW, disumbang oleh ciri aerodinamik yang optimum dengan pekali seretan (drag coefficient) serendah 0.26.
Juga sempurna bersama rekaan bunyi serba emotif daripada BMW M IconicSounds Electric yang digubah oleh Hans Zimmer, fungsi Launch Control yang membolehkan jentera ini meledak dari posisi henti dengan nilai torknya yang menjangkau 1,100 Nm.
Ia berserta kuasa maksimum sebanyak 619 kk, mencapai 100 km/j dengan pecutan bebas gelincir dalam masa 3.8 saat sahaja dengan kelajuan tertingginya yang mencecah 250km/j.
Konsep ‘spaceframe’ aluminium serta sangkar karbon dengan plastik bertetulang gentian karbon (CFRP) pada bahagian atas, sisi dan belakang menggandingkan ciri ketegaran tinggi dengan pengagihan berat 50/50 yang optimum.
Jentera elektrik BMW iX M60 yang sulung turut dilengkapi dengan brek M Sport berserta angkup biru, suspensi udara dwigandar adaptif dengan penalaan dan komponen M, di samping Stering Aktif Integral.
BMW M2
BMW M2 baharu membawakan rekaan gril ‘kidney’ yang terkini, distingtif dan tidak berbingkai, bilah-bilahnya boleh dilihat tersusun secara mendatar.
Melengkapkan iras jentera ini yang gah ialah komponen apron dan salur masuk udara bersaiz besar dan seakan bersegi empat, yang menonjolkan keperluan enjin dan sistem brek ke atas daya penyejukan yang tinggi.
Turut hadir bersama ialah lampu hadapan Adaptive LED dengan ciri bantuan lampu puncak, di samping sayap depannya yang diperbuat daripada aluminium bagi mengurangkan berat coupé berprestasi tinggi ini.
Menyimpulkan seksyen hadapan ialah sebuah bonet dengan kubah kuasa yang lebih menyerlah.
Dari sisi, BMW M2 baharu dilihat memanfaatkan permukaan-permukaan yang besar serta konsep segi empat untuk konfigurasi pembahagian kereta yang klasik disebut sebagai “three-box”.
Ditonjolkan dengan skirt sisi yang lebar serta arkus roda yang mengembang, BMW M2 tampak lebih ekstrovert selain mendekati seni reka bentuk BMW klasik dengan cara yang inovatif.
Sementara itu, BMW M2 juga menampilkan angkup brek biru dan set roda aloi ringan M berciri dwiruji dan dwiwarna 930 M berserta pasangan saiz tayar yang berbeza – 19 inci untuk hadapan dan 20 inci untuk belakang.
BMW M2 dengan Pro Package pula hadir secara eksklusif bersama brek M Compound dalam rona merah berglos tinggi serta set roda aloi ringan M berciri dwiruji dalam warna hitam 930 M, juga dengan pasangan tayar bersaiz 19 inci untuk hadapan dan 20 inci untuk belakang.
Hos ‘RODA PANAS’, Fizo Omar Kongsi Kisah Minatnya Pada Dunia Permotoran

Saat yang dinantikan sudah semakin tiba! ‘RODA PANAS’ musim kedua yang dibawakan secara eksklusif ke kaca TV anda oleh Nu Ideaktiv bakal ke udara pada Ahad ini, 16 Januari 2022 pada jam 6 petang di saluran Astro RIA dan juga platform penstiman Astro GO.
Sambutan yang cukup menggalakkan diterima oleh ‘RODA PANAS’ pada musim pertama tahun lalu menyaksikan momentum deras diteruskan untuk musim terbaru yang menjanjikan kemunculan kereta, motosikal dan pelbagai kenderaan beroda lebih mantap. Musim terbaru yang bakal tiba ini juga menyaksikan kemunculan hos baharu.
Jika musim lalu menyaksikan Remy Ishak sebagai hos, kini pelakon yang juga seorang usahawan berpengaruh, personaliti selebriti dunia automotif dan juga pengacara serba boleh, Fizo Omar bakal menerajui keseluruhan episod untuk ‘RODA PANAS’ pada musim ini.
Bagi MASKULIN, pemilihan Fizo Omar sebagai hos merupakan calon paling tepat kerana dia juga cukup dikenali sebagai seorang peminat tegar dunia permotoran. Kami sempat menemubual Fizo secara eksklusif di lokasi pergambaran ‘RODA PANAS’ baru-baru ini. Ikuti temu bual tersebut di bawah;
BOLEH KONGSIKAN PERASAAN BILA DIPILIH MENJADI HOS BAHARU ‘RODA PANAS’
Pertama sekali apa yang boleh saya cakap ia umpama impian menjadi realiti. Sebagai seseorang yang ‘gila’ kereta, throttle dan enjin memang sudah lama saya ada pasang impian untuk menjadi pengacara atau hos program permotoran seperti ini. Kalau diikutkan jadual saya memang penuh sangat. Namun sebab minat itu mendalam, saya cuba adjust dan akhirnya dapat juga tunaikan komitmen untuk jadi hos ‘Roda Panas’.
Program seperti ini juga akan banyak memberi saya ilmu dan belajar dengan expert serta pemilik kereta yang menjadi tetamu undangan. Bila lihat content line up itu, saya terus teruja dan tak sabar untuk merealisasikannya.
PERBEZAAN YANG FIZO AKAN TAMPILKAN BERBEZA DENGAN REMY ISHAK PADA TAHUN LALU?
Remy is Remy. Fizo is Fizo. Ya, Remy juga merupakan seorang yang sangat sukakan motorsport terutamanya motosikal. Malah kami pernah juga ride sama-sama dulu. Mungkin perbezaan yang boleh saya bawakan ialah cara penyampaian. Saya seorang ‘kaki motor’ yang lebih santai dan sempoi. Jadi bahasa penyampaian itu mungkin lebih kepada seorang macam abang-abang kaki motor atau kaki auto yang biasa orang lihat.
Nak tahu apa perbezaan saya bawakan janganlah lupa untuk tonton ‘RODA PANAS’ ya!
APAKAH KEISTIMEWAAN ‘RODA PANAS’ BAGI FIZO?
Musim pertama telah mendapat respon yang sangat baik. Ia secara tidak langsung menunjukkan ada ramai penonton yang mahukan kandungan seperti motorsport. Jadi musim kedua ini ‘RODA PANAS’, setiap episod akan ditampilkan dengan lebih teliti, menyeluruh danjuga agresif.
Lihat sahajalah pelbaai kandungan di atas talian tentang motorsport. Memang jumlah tontonannya cukup tinggi. Ia niche market yang ramai orang setia untuk ikuti. Oleh itu saya ambil kesempatan untuk ucapkan terima kasih kepada Ideaktiv dan Astro kerana lahirkan program seperti ini.
KERETA PERTAMA PERNAH FIZO MILIKI?
Kereta pertama saya adalah Perodua Kancil yang ‘dibikin’ menjadi Daihatsu Mira. Waktu itu ubah suai kereta kancil seperti ini memang sangat popular. Ia merupakan kereta yang mempunyai nilai sentimental tersendiri untuk saya. Masa beli kereta ini, saya masih lagi belajar. Arwah ayah banyak mengajar saya cari duit sendiri dan berdikari.
Demi menampung perbelanjaan dan bayaran ansuran kereta sebanyak RM180 sebulan, saya berniaga nasi lemak. Dari situ saya belajar hargai rezeki yang diperolehi. Sebab itulah kereta itu masih saya simpan dengan rapi di kampung saya, Kelantan.
Ia mempunyai nilai sentimental yang sangat istimewa. Bayangkan pada masa tu saya baru 19 tahun dan sedang belajar bagaimana untuk mencari wang.
BAGAIMANA PULA DENGAN KERETA SEKARANG?
Saya ada beberapa buah kereta yang saya gunakan untuk ikut tujuan berbeza. Saya ada kereta untuk offroad, kereta untuk layan corner dan juga MINI , MINI AGRperfect small car, kereta untuk family sepeti SUV dan MPV untuk acara kerja. Kenderaan lasak 4×4 untuk hardcore atau suatu hari nanti. Untuk motosikal pula saya sekarang lebih suka BMW GS yang bagi saya lebih santai untuk touring.
Ikuti lebih banyak perkongsian menarik dari Fizo Omar bersama MASKULIN dan juga program TV RODA PANAS nanti ya! Jangan lupa temu janji kita pada 16 Januari 2022 jam 6 petang di Astro RIA.
Ingat RODA GEMPAK, INGAT RODA PANAS!