SPARK Club Jadi Medium Penyatuan, Ribuan Mat Motor SeMalaysia Join Sekaki!

Share

Kelab Sinar Permotoran Amatur Kebangsaan atau lebih mesra dengan gelaran Spark Malaysian Club telah ditubuhkan pada 5 Oktober 2018 oleh seorang selebriti yang popular menerusi filem Remp-it dan Mat Moto iaitu Zul Huzaimy.

Zul Huzaimy, 40, menubuhkan Spark Malaysian Club dengan harapan dapat mengumpulkan seberapa ramai mat-mat motosikal yang ada dalam negara ini bermula dari utara sehinggalah selatan Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.

Mahu ubah persepsi

Sebelum ini, asalkan ada mana-mana individu menunggang motosikal sahaja, mereka terus dilabelkan sebagai mat rempit. Lebih menyedihkan, ada segelintir masyarakat gemar pukul rata ke atas mereka yang menunggang motosikal.

Jika dakwaan baik yang dilontarkan tidak mengapa namun apabila ada yang bersuara dengan perkataan yang kurang enak seperti mat rempit tiada arah tujuan dan sampah masyarakat, ayat itu serba sedikit mengguris hati ramai pihak.

Sehubungan itu, Zul bangkit dan mahu membawa ahli-ahli Spark Malaysia Club ke satu peringkat yang lebih tinggi sekali gus mengubah persepsi buruk orang awam terhadap individu yang bermotosikal.

Bilangan ahli cecah lebih 13,000 orang

Menurut Exco Negeri kelab tersebut, Azlym Aziz, 28, sejak penubuhannya pada Oktober tahun lalu, Spark Malaysian Club kini memiliki bilangan ahli berdaftar seramai 13, 650 orang dan bilangan ini dijangka akan terus meningkat.

Tujuan Spark Malaysia Club ditubuhkan selain merapatkan ukhwah sesama mat motor, ia juga berfungsi sebagai badan bukan kerajaan (NGO) yang amat menitik beratkan kebajikan penunggang motosikal.

Perkenalkan pelan insurans khairat kematian

Misalnya jika sebelum ini pengunggang motosikal sering terdedah kepada bahaya dan kemalangan di jalan raya, Spark Malaysian Kelab mengambil langkah memperkenalkan pelan insurans khairat kematian kepada ahli-ahlinya.

Ujar Spark Malaysian Club, mereka mengenakan yuran pendaftaran bernilai RM35 dan yuran tahunan RM10 untuk mendapatkan kelayakan bagi menerima pelan insurans khairat kematian tersebut sebagai langkah persediaan.

Tambahan pula, pelan insurans khairat kematian ini diperkenalkan kerana ramai penunggang motosikal kurang faham dan tidak sedar mereka berada dalam graf teratas bagi individu yang berisiko tinggi terlibat dalam pelbagai kemalangan.

Bersatu menerusi aktiviti permotoran

Kongsi Azlym yang sudah bersama Spark Malaysian Club sejak awal penubuhannya berkongsi cerita, kesemua ahli kelab menunjukkan kerjasama dan semangat setiakawan yang tinggi menerusi aktiviti permotoran yang dijalankan.

Antara aktiviti yang pernah dijalankan adalah seperti Spark Malaysian Club Gathering 2018, All Riders Gathering 2019, Lefestour Motoshow, Mini Gathering Penang serta pelbagai lagi program yang melibatkan motosikal.

Dalam setiap program itu, ahli bukan sahaja dapat menyertai perlumbaan motosikal secara sah malah dari segi keselamatan juga, Spark Malaysian Club benar-benar menjadi kualitinya demi manfaat semua ahli.

Menariknya lagi, boleh dikatakan setiap aktiviti yang dianjurkan Spark Malaysian Club mendapat penyertaan ramai sehingga pernah mencecah 50,000 orang dalam satu masa yang menyokong penyatuan kesemua mat motor di Malaysia.

Konvoi besar-besaran 24 Mac ini

Berkongsi cerita aktiviti baharu, Spark Malaysian Club mengumumkan satu konvoi secara besar-besaran akan diadakan sekali lagi pada 24 Mac ini menuju ke acara perlumbaan Cub Prix Jasin.

Juga dalam acara tersebut, ikon-ikon Spark Malaysian Club seperti Zul Huzaimy, Cat Farish, Achey, Black, Kazar Saisi, Azlym Aziz serta ramai lagi akan turut sama-sama hadir bagi menyemarakkan semangat dalam kalangan penunggang motosikal.

IKLAN